Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 54 >> 

Perjanjian damai dengan Sion

1“Bersorak-sorailah, wahai perempuan mandul yang tidak pernah melahirkan anak! Bergembiralah dengan sorak-sorai dan memekiklah, wahai engkau yang tidak pernah mengalami sakit bersalin! Kerana anak daripada perempuan yang ditinggalkan suaminya akan lebih ramai daripada anak daripada perempuan yang bersuami,” demikianlah firman TUHAN.

2“Luaskanlah tempat khemahmu dan biarlah dibentangkan kain-kain khemah penghunianmu, jangan ditahan-tahan. Panjangkanlah tali-talimu dan kukuhkanlah pancang-pancangmu,

3kerana engkau akan mengembang ke kanan dan ke kiri. Keturunanmu akan memiliki bangsa-bangsa dan menduduki kota-kota yang sunyi sepi.

4Jangan takut, kerana engkau tidak akan mendapat malu. Jangan berasa tercela, kerana engkau tidak akan dihina. Engkau akan melupakan aib semasa mudamu, dan cela kejandaanmu tidak akan kauingat lagi.

5Sesungguhnya, Dia yang menjadikan engkau seperti suami bagimu, TUHAN alam semesta ialah nama-Nya. Penebusmu ialah Yang Maha Suci, Allah Israel. Dia disebut Allah semesta bumi.

6TUHAN memanggil engkau seperti memanggil isteri yang ditinggalkan dan yang bersusah hati, iaitu isteri yang dikahwin pada masa muda tetapi kemudian ditolak,” demikianlah firman Allahmu.

7“Seketika sahaja Aku meninggalkan engkau, tetapi dengan kasih sayang yang besar Aku akan mengumpulkan engkau.

8Dalam luapan murka-Ku Aku menyembunyikan hadirat-Ku daripadamu seketika sahaja, tetapi dengan kasih yang kekal Aku mengasihani engkau,” demikianlah firman TUHAN, Penebusmu.

9“Bagi-Ku hal ini seperti air bah pada zaman Nuh. Sebagaimana Aku bersumpah bahawa air bah pada zaman Nuh tidak akan melanda bumi lagi, demikianlah Aku bersumpah bahawa Aku tidak akan murka lagi kepadamu atau mengherdik engkau.

10Sekalipun gunung-ganang dipindahkan dan bukit-bukit bergoyang, kasih abadi-Ku tidak akan berpindah daripadamu dan perjanjian damai-Ku tidak akan bergoyang,” demikianlah firman TUHAN, yang mengasihani engkau.

11“Wahai engkau yang tertindas, diserbu badai, dan tidak dihiburkan! Sesungguhnya, Aku akan menghamparkan alasmu daripada batu serawak dan meletakkan dasarmu daripada batu nilam.

12Puncak-puncak menaramu akan Kubuat daripada batu delima, pintu-pintu gerbangmu daripada batu manikam, dan seluruh tembok perbatasanmu daripada batu permata.

13Semua anakmu akan menjadi pengikut TUHAN, besarlah kesejahteraan anak-anakmu itu.

14Engkau akan dikukuhkan dalam perbenaran, engkau akan jauh daripada penganiayaan, kerana engkau tidak akan takut lagi. Engkau akan jauh daripada kengerian, kerana hal itu tidak akan mendekatimu.

15Kalaupun orang berkumpul menyerbu, itu bukan berasal daripada-Ku. Sesiapa pun yang berkumpul untuk melawan engkau akan jatuh.

16Sesungguhnya, Akulah yang menciptakan tukang besi yang menghembus-hembus api arang dan menghasilkan senjata menurut kegunaannya. Tetapi Aku jugalah yang menciptakan pemusnah untuk melakukan pemusnahan.

17Setiap senjata yang dibentuk untuk melawan engkau tidak akan berhasil, dan setiap lidah yang mendakwa engkau dalam pengadilan akan kaubuktikan salah. Inilah harta pusaka hamba-hamba TUHAN dan kebenaran yang diterima mereka daripada-Ku,” demikianlah firman TUHAN.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 54 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel