Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 10 >> 

Ibarat tentang seorang gembala yang baik

1“Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika seseorang memasuki kandang domba dengan cara lain, bukan melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak.

2Orang yang masuk melalui pintu ialah gembala domba.

3Penjaga kandang membuka pintu untuknya, dan kawanan domba itu mendengar suaranya. Dia memanggil nama setiap dombanya. Gembala itu pun memimpin domba-domba itu keluar.

4Setelah semua domba keluar, gembala itu berjalan di hadapan dan domba-domba mengikutnya kerana mengenal suaranya.

5Kawanan domba itu tidak akan mengikut orang lain, malah akan lari daripadanya, kerana tidak mengenal suaranya.”

6Yesus bercerita secara kiasan, tetapi mereka tidak faham akan maksud-Nya.

7Oleh yang demikian, Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu.

8Orang yang datang sebelum Aku ialah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka.

9Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput.

10Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah.

11Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawanya untuk kawanan dombanya.

12Orang upahan yang bukan gembala atau pemilik kawanan domba itu akan lari apabila melihat serigala datang. Maka serigala menerkam domba itu dan menyebabkannya lari bertempiaran.

13Orang upahan itu lari kerana dia bekerja semata-mata untuk mendapat upah. Dia tidak peduli akan kawanan domba itu.

14Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku,

15sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku.

16Aku miliki domba-domba lain yang bukan daripada kawanan ini. Mereka juga mesti Kupimpin, dan mereka akan mengikut suara-Ku. Kesemuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.

17Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti.

18Sesiapa pun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah perintah yang Kuterima daripada Bapa-Ku.”

19Setelah mendengar kata-kata Yesus, orang Yahudi berselisih pendapat lagi.

20Sebilangan besar berkata, “Dia dirasuk roh iblis! Dia tidak siuman! Mengapa kamu mendengar kata-Nya?”

21Namun demikian, ada yang berkata, “Orang yang dirasuk roh iblis tidak akan dapat bercakap begini. Dan bagaimanakah roh iblis dapat mencelikkan orang buta?”

Yesus ditolak orang Israel

22Di Yerusalem, Perayaan Pentahbisan sedang disambut.

23Ketika itu musim sejuk, dan Yesus sedang berjalan di serambi Salomo di dalam Bait Suci.

24Orang Yahudi pun berkumpul di sekeliling-Nya lalu berkata, “Sampai bilakah Engkau membiarkan kami bertanya-tanya? Katakanlah dengan jelas: Adakah Engkau ini Kristus?”

25Yesus menjawab, “Aku sudah pun mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Segala yang Kulakukan dengan nama Bapa-Ku memberikan kesaksian tentang diri-Ku.

26Kamu tidak percaya kerana kamu bukan kawanan domba-Ku.

27Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku.

28Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada tangan-Ku.

29Bapa-Ku yang mengurniakan mereka kepada-Ku lebih besar daripada siapa pun. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada Bapa.

30Aku dan Bapa adalah satu.”

31Selepas itu, orang Yahudi yang hadir pun memungut batu sekali lagi untuk merejam Yesus.

32Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Aku telah banyak melakukan perbuatan baik yang diserahkan Bapa kepada-Ku. Perbuatan manakah yang mendorong kamu merejam-Ku?”

33Orang Yahudi itu menjawab, “Kami hendak merejam Kamu bukan kerana perbuatan-Mu yang baik, tetapi kerana Kamu mengkufuri Allah. Kamu hanyalah seorang manusia, tetapi Kamu menganggap diri-Mu Allah!”

34Yesus berkata kepada mereka, “Tidakkah tersurat dalam hukum Taurat kamu: Allah berfirman, ‘Kamu ialah tuhan’?

35Jika Allah menyebut orang sebagai ‘ilahi’ kerana firman Allah datang kepada mereka, (apa yang tersurat dalam Kitab Suci tidak dapat dibatalkan)

36bagaimana dengan Dia yang telah disucikan dan diutus ke dunia oleh Bapa? Wajarkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku berkata, ‘Aku Anak Allah’?

37Andainya Aku tidak melakukan kehendak Bapa, janganlah percaya kepada-Ku.

38Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Kulakukan, kalaupun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian akan fahamlah kamu bahawa Bapa di dalam Aku dan Aku di dalam Bapa.”

39Mereka mencuba lagi menangkap Yesus, tetapi Yesus dapat melepaskan diri daripada tangan mereka.

40Yesus kembali ke seberang Sungai Yordan lalu tinggal di tempat Yohanes membaptis orang dahulu.

41Ramai orang datang kepada Yesus. Mereka berkata, “Yohanes tidak melakukan mukjizat, namun kata-katanya tentang orang ini semuanya benar.”

42Ramai orang di kawasan itu percaya kepada Yesus.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yohanes 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran