Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Zakharia 14 >> 

Kemenangan terakhir: TUHAN memerintah di Yerusalem

1Sesungguhnya, hari TUHAN akan datang apabila harta benda kamu akan dibahagi-bahagikan seperti jarahan di tengah-tengah kamu.

2“Aku akan mengumpulkan semua bangsa untuk memerangi Yerusalem. Kota itu akan direbut, rumah-rumah akan dijarah, dan perempuan-perempuan akan dirogol. Separuh daripada penduduk kota itu akan berada dalam buangan, tetapi umat selebihnya itu tidak akan dilenyapkan daripada kota.”

3Setelah itu, TUHAN akan maju berperang melawan bangsa-bangsa itu seperti ketika Dia berperang pada hari pertempuran.

4Pada hari itu Dia akan berdiri di atas Bukit Zaitun, yang berhadapan dengan Yerusalem di sebelah timur. Bukit Zaitun akan terbelah dua dari timur ke barat, sehingga terjadilah sebuah lembah yang amat besar. Separuh daripada bukit itu akan berpindah ke sebelah utara, manakala separuh lagi ke sebelah selatan.

5Kamu akan lari melalui lembah pergunungan-Ku itu, sebab lembah pergunungan itu akan sampai ke Azal. Kamu akan lari seperti kamu pernah lari kerana gempa bumi pada zaman Uzia, raja Yehuda. Kemudian TUHAN, Allahku, akan datang bersama-sama semua orang suci-Nya.

6Pada waktu itu tidak akan ada cahaya, cuaca dingin ataupun air yang membeku.

7Tetapi akan ada satu hari tanpa siang dan tanpa malam – TUHAN mengetahuinya. Pada waktu malam cahaya akan tetap ada.

8Pada waktu itu air kehidupan akan mengalir dari Yerusalem, sebahagian menuju laut timur dan sebahagian menuju laut barat. Hal itu akan terus berlangsung baik pada musim panas mahupun pada musim sejuk.

9Maka TUHAN akan menjadi raja atas seluruh bumi. Pada hari itu TUHAN ialah satu-satunya dan nama-Nya satu-satunya.

10Seluruh negeri itu akan berubah menjadi dataran, iaitu dari Geba sampai ke Rimon di sebelah selatan Yerusalem. Kota itu akan menjulang tinggi dan tetap tegak di tempatnya, dari Pintu Gerbang Benyamin sampai ke tempat pintu gerbang terdahulu serta ke Pintu Gerbang Sudut; juga dari Menara Hananeel sampai ke tempat pemerasan anggur raja.

11Orang akan tinggal di dalamnya kerana tidak akan berlakunya kemusnahan lagi. Yerusalem akan hidup dengan aman.

12Inilah wabak yang akan ditimpakan TUHAN kepada semua bangsa yang memerangi Yerusalem: Daging mereka akan membusuk sementara mereka berdiri di atas kaki mereka, mata mereka akan membusuk dalam rongganya, dan lidah mereka akan membusuk di dalam mulut mereka.

13Pada waktu itu kegemparan daripada TUHAN akan melanda mereka. Setiap orang akan menyentap tangan kawannya dan mengangkat tangan melawan kawannya.

14Yehuda pun akan berperang di Yerusalem. Kekayaan segala bangsa yang ada di sekeliling mereka akan dikumpulkan, iaitu emas, perak, dan pakaian yang begitu banyak jumlahnya.

15Tulah seperti itu juga akan menimpa kuda, baghal, unta, keldai, dan semua binatang yang ada dalam kesemua perkhemahan itu.

16Maka semua orang yang terselamat daripada semua bangsa yang pernah datang menyerang Yerusalem akan datang tahun demi tahun untuk sujud menyembah Sang Raja, iaitu TUHAN alam semesta, dan untuk merayakan Perayaan Pondok Daun.

17Sesiapa daripada kalangan kaum-kaum di bumi yang tidak mahu datang ke Yerusalem untuk sujud menyembah Sang Raja, iaitu TUHAN alam semesta, bagi mereka tidak akan turun hujan.

18Jika kaum orang Mesir tidak mahu datang dan tidak mahu masuk menghadap, maka bagi mereka pun tidak akan turun hujan. Suatu wabak akan ditimpakan TUHAN atas bangsa-bangsa yang tidak mahu datang untuk merayakan Perayaan Pondok Daun.

19Itulah hukuman bagi Mesir dan hukuman bagi semua bangsa yang tidak mahu datang untuk merayakan Perayaan Pondok Daun.

20Pada waktu itu, pada loceng-loceng hiasan kuda akan tertulis “Suci Bagi TUHAN” dan kuali-kuali di Bait TUHAN akan menjadi seperti bokor-bokor di hadapan mazbah.

21Setiap kuali di Yerusalem dan Yehuda akan menjadi suci bagi TUHAN alam semesta, dan semua orang yang mempersembahkan korban akan datang mengambil kuali itu lalu menggunakannya untuk memasak. Pada waktu itu tidak akan ada lagi pedagang di dalam rumah TUHAN alam semesta.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Zakharia 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel