Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Korintus 1 >> 

Salam

1Daripada Paulus yang dengan kehendak Allah telah dilantik sebagai Rasul Isa al-Masih, dan daripada Sostenes, saudara kita;

2Kepada jemaah di Korintus, yang telah disucikan dalam Isa al-Masih, dan yang telah dipanggil untuk menjadi orang salih bersama semua orang di mana jua, yang berseru kepada Junjungan kita Isa al-Masih, Junjungan mereka dan Junjungan kita juga.

3Semoga Allah Bapa kita dan Junjungan Isa al-Masih menganugerahimu kasih kurnia dan sejahtera.

Ucapan syukur

4Aku sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu, sebab Dia telah menganugerahimu kasih kurnia dalam Isa al-Masih.

5Oleh sebab di dalam Isa al-Masih, kamu telah diperkayakan dalam segala hal: dalam segala perkataan dan dalam segala pengetahuan;

6bahkan kesaksian tentang al-Masih telah diperkukuh dalam dirimu,

7sehingga kamu tidak kekurangan satu kurnia pun sementara menunggu Junjungan kita Isa al-Masih dinyatakan.

8Dia akan menguatkanmu hingga akhir supaya kamu tidak bercela pada hari Junjungan kita Isa al-Masih.

9Allah setia. Allah telah memanggilmu hidup dalam keakraban dengan Putera-Nya, Isa al-Masih, Junjungan kita.

Perpecahan di kalangan Jemaah

10Saudara-saudaraku! Demi nama Junjungan kita Isa al-Masih aku berseru kepada kamu semua supaya seia sekata dan tidak wujud perpecahan. Dengan demikian, kamu bersatu hati dan fikiran sepenuhnya.

11Saudara-saudaraku, beberapa orang anggota keluarga Kloe telah menyatakan kepadaku bahawa berlaku sengketa antara kamu.

12Inilah yang kumaksudkan: Ada orang yang berkata, ‘Aku mengikut Paulus’; ada yang berkata, ‘Aku mengikut Apolos’; ada yang berkata, ‘Aku mengikut Petrus’; dan ada pula yang berkata, ‘Aku mengikut al-Masih.’

13Adakah al-Masih berbelah-bahagi? Bukannya Paulus yang mati di kayu salib untukmu! Bukanlah sebagai pengikut Paulus kamu telah diimadkan!

14Aku bersyukur kepada Allah kerana aku tidak mengimadkan kamu, kecuali Krispus dan Gayus.

15Oleh itu tiada siapapun dapat mengatakan kamu diimadkan dalam namaku.

16(Sebenarnya, aku juga mengimadkan Stefanus sekeluarga. Selain itu, aku tidak ingat siapakah lagi yang kuimadkan.)

17Al-Masih mengutusku bukan untuk mengimadkan orang, tetapi untuk menyebarkan Injil. Aku menyampaikannya bukan dengan kata-kata kebijaksanaan manusia. Dengan demikian salib al-Masih tidak menjadi sia-sia.

Kebijaksanaan Allah dan kebijaksanaan manusia

18Bagi mereka yang akan binasa, berita tentang salib dianggap suatu kebodohan. Namun, bagi kita yang diselamatkan Allah, berita itu menunjukkan kekuasaan-Nya.

19Telah tersurat: ‘Allah berfirman, “Aku akan memusnahkan kebijaksanaan orang yang bijak. Dan kepandaian orang yang pandai Aku akan ketepikan.”’

20Jadi, di manakah orang yang bijak? Di manakah ahli Taurat? Di manakah orang berilmu zaman ini? Bukankah Allah telah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia sebenarnya kebodohan semata-mata?

21Oleh sebab kebijaksanaan Allah, Dia telah menetapkan bahawa manusia tidak mungkin mengenal-Nya dengan kebijaksanaan sendiri. Allah berkenan menyelamatkan mereka yang beriman kepada-Nya melalui berita yang kami sampaikan, yang dianggap sebagai kebodohan.

22Orang Yahudi menuntut tanda berbentuk mukjizat, manakala orang Yunani menuntut kebijaksanaan.

23Sebaliknya kami memberitakan al-Masih yang disalib. Hal ini menjadi batu sandungan kepada orang Yahudi dan dipandang bodoh oleh bangsa-bangsa lain.

24Namun, bagi mereka yang dipanggil Allah, baik Yahudi mahupun Yunani, al-Masih kuasa Allah dan kebijaksanaan Allah.

25Kebodohan Allah lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia. Kelemahan Allah lebih kuat daripada kekuatan manusia.

26Saudara-saudara! Fikirkan keadaanmu ketika Allah memanggilmu. Di mata manusia, tidak ramai daripadamu yang bijak, atau berkuasa, atau bangsawan.

27Sememangnya Allah memilih orang yang bodoh di dunia untuk memalukan orang yang bijak. Allah memilih orang yang lemah di dunia, untuk memalukan orang yang kuat.

28Allah memilih yang rendah dan dihina di dunia bahkan yang tidak ada untuk meniadakan yang ada.

29Oleh itu, tiada siapapun dapat bermegah di hadapan Allah.

30Oleh sebab Allah, kamu berada dalam Isa al-Masih. Allah telah membuat Dia menjadi kebijaksanaan bagi kita, dan melalui Dia, Allah memperbenar, menyucikan, serta menebus kita.

31Dengan demikian, sebagaimana telah tersurat, ‘Jika sesiapa bermegah, maka hendaklah dia bermegah di dalam Tuhan.’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Korintus 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran