Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Timotius 1 >> 

1Surat ini daripada Paulus, rasul Isa al-Masih, dengan kehendak Allah, menurut apa yang telah dijanjikan, iaitu hidup di dalam Isa al-Masih,

2Kepada Timotius, anakku yang dikasihi: Semoga Allah Bapa dan Isa al-Masih, Junjungan kita, menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan kesejahteraan.

Kesetiaan dalam iman

3Aku bersyukur kepada Allah yang kusembah dengan hati nurani yang suci sebagaimana telah dilakukan oleh nenek moyangku. Aku sentiasa mengingatimu dalam doaku siang malam.

4Apabila aku mengenang air matamu, aku sungguh ingin bertemu kembali denganmu supaya hatiku dipenuhi rasa bahagia.

5Aku juga mengingati imanmu yang tulus ikhlas, yang mula tersemai di jiwa nenekmu Lois dan ibumu Eunike, dan aku yakin bertapak dalam dirimu juga.

6Oleh itu aku mengingatkanmu supaya menggerakkan kurnia Allah yang berada dalam dirimu sejak aku meletakkan tangan ke atasmu.

7Allah tidak memberi kita semangat ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib.

8Oleh yang demikian, janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Junjungan kita atau malu bahawa aku terpenjara kerana-Nya, tetapi bersamalah denganku menanggung penderitaan kerana Injil menurut kuasa Allah.

9Allah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk hidup suci, bukanlah kerana amalan yang telah kita lakukan, tetapi kerana tujuan dan kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Isa al-Masih sebelum permulaan zaman.

10Sekarang segala ini telah dinyatakan dengan kedatangan Penyelamat kita Isa al-Masih, yang melenyapkan kematian dan memberikan penerangan tentang hidup kekal selama-lamanya melalui Injil.

11Aku telah ditugaskan menjadi seorang daripada pemberita Injil, rasul, dan guru.

12Oleh itu aku menanggung segala penderitaan ini. Namun, aku tidak berasa malu, kerana aku tahu akan Tuhan yang kupercayai dan aku yakin Dia dapat memelihara apa yang kuserahkan kepada-Nya hingga pada Hari itu.

13Berpegang teguhlah kepada rangkaian kata-kata benar yang telah kamu dengar daripadaku, dengan iman dan kasih dalam Isa al-Masih.

14Peliharalah perkara baik yang diamanahkan kepadamu dengan Roh Suci yang berada dalam diri kita.

15Kamu tahu bahawa semua yang di Asia telah berpaling daripadaku, termasuk Figelus dan Hermogenes.

16Semoga Tuhan menunjukkan kasihan kepada Onesiforus sekeluarga, kerana dia sering menyegarkan tubuh dan jiwaku, serta tidak malu bahawa aku dipenjarakan,

17malah apabila dia tiba di Rom, dia telah mencariku sedaya upaya sehingga bertemu.

18Semoga Tuhan mengurniainya supaya mendapat belas kasihan daripada-Nya pada Hari itu! Engkau cukup mengetahui pelbagai cara dia telah menolongku di Efesus.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Timotius 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2018
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran