Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 13 >> 

Paulus dan Barnabas dihantar kepada bangsa asing

1Di antara jemaah di Antiokhia ada beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang bergelar Niger, Lukius dari Kirene, Menahem, yang dibesarkan bersama raja Herodes, dan Saul.

2Sedang mereka beribadat dan berpuasa, Roh Suci berkata kepada mereka, ‘Khaskan Barnabas dan Saul untuk-Ku, bagi melaksanakan tugas yang telah Kutetapkan untuk mereka.’

3Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas Barnabas dan Saul lalu melepaskan mereka pergi.

Di Siprus

4Barnabas dan Saul diutus ke Seleukia oleh Roh Suci. Dari situ mereka belayar ke pulau Siprus.

5Apabila sampai di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di saumaah-saumaah, dibantu oleh Yahya.

6Mereka pergi ke serata pulau itu hingga sampai di Pafos. Di situ mereka bertemu dengan seorang ahli sihir bernama Bar-Yusha, seorang nabi palsu Yahudi.

7Dia berkawan baik dengan Sergius Paulus, pemerintah pulau itu, seorang yang bijaksana. Sergius Paulus memanggil Barnabas dan Saul kerana ingin mendengar firman Allah.

8Akan tetapi Elimas ahli sihir itu (ini namanya dalam bahasa Yunani) cuba menghalang pemerintah itu daripada percaya kepada Isa.

9Saul, yang juga disebut Paulus, dipenuhi oleh Roh Suci lalu merenung ahli sihir itu dan

10berkata, ‘Hai kamu anak Iblis, seteru segala yang benar, kamu yang penuh dengan tipu daya! Tiadakah kamu mahu berhenti memesongkan jalan Tuhan yang betul?

11Tuhan akan menghukum kamu pada saat ini juga. Kamu akan buta, tidak dapat melihat cahaya matahari buat beberapa waktu.’ Dalam sekelip mata Elimas merasa kabus gelap menyelaputi matanya. Dia pun berjalan teraba-raba mencari orang yang dapat memimpinnya.

12Apabila pemerintah itu melihat apa yang terjadi, dia pun mempercayai Isa dan amat kagum akan pengajaran Tuhan.

Di Pisidia

13Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos ke kota Perga di tanah Pamfilia. Dari situ Yahya meninggalkan mereka lalu pulang ke Baitulmaqdis.

14Yang lain meneruskan perjalanan dari Perga ke kota Antiokhia di Pisidia. Pada hari Sabat mereka masuk ke rumah ibadat lalu duduk di situ.

15Selepas pembacaan Taurat Musa dan Surah Nabi-nabi, ketua-ketua saumaah itu menghantar orang berkata kepada kedua-dua rasul itu, ‘Saudara-saudara, sekiranya ada sesuatu nasihat untuk menggalakkan orang di sini, silalah sampaikan.’

16Paulus bangkit, memberikan isyarat lalu berkata, ‘Saudara-saudara orang Israel dan sekalian yang taat kepada Allah, dengarlah!

17Allah, Tuhan umat Israel, telah memilih nenek moyang kita untuk dijadikan bangsa besar, ketika mereka tinggal menumpang di Mesir. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya.

18Selama empat puluh tahun di gurun, Dia bersabar dengan kelakuan mereka.

19Dia membinasakan tujuh bangsa di tanah Kanaan dan menjadikan kawasan itu kepunyaan umat-Nya.

20Segala ini berlaku selama 450 tahun. ‘Selepas itu Allah mengurniai mereka hakim-hakim sampai ke zaman Nabi Samuel.

21Kemudian mereka memohonkan seorang Raja lalu Allah memberi mereka Saul anak Kis daripada suku Benyamin sebagai raja mereka selama empat puluh tahun.

22Setelah Allah memecatnya daripada takhtanya, Allah memberi mereka Daud pula sebagai raja. Allah berfirman tentang Daud, “Aku mendapati Daud, anak Isai, seorang yang menyenangkan hati-Ku; dia akan melakukan segala yang Kuingini.”

23‘Dari keturunan Daud inilah Allah membangkitkan Isa, seorang Penyelamat bagi umat Israel sebagaimana telah dijanjikan-Nya.

24Sebelum Isa memulakan tugas-Nya, Yahya menyeru supaya semua orang Israel bertaubat daripada dosa dan diimadkan.

25Ketika tugas Yahya hampir selesai, dia berkata kepada orang ramai, “Siapakah aku ini pada sangkaanmu? Aku bukanlah Dia yang kamu nanti-nantikan itu. Dia akan datang kemudian, dan aku ini tidak layak membuka kasut-Nya pun.”

26‘Hai saudara-saudara keturunan Ibrahim, dan semua yang takut akan Allah! Kepada kitalah Allah telah menyampaikan berita penyelamatan itu.

27Penduduk Baitulmaqdis dan ketua-ketua mereka tidak sedar bahawa Penyelamat itu ialah Isa. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, maka mereka menghukum Isa. Dengan tindakan mereka itu, segala yang telah dinubuatkan oleh nabi-nabi menjadi kenyataan.

28Walaupun mereka tidak ada apa-apa asas untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada Isa, mereka mendesak Pilatus menjatuhkan hukuman itu ke atas-Nya.

29Setelah mereka melakukan segala yang tersurat di dalam Kitab Suci tentang-Nya, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam makam.

30Akan tetapi Allah membangkitkan-Nya daripada kematian.

31Selepas itu selama beberapa hari Dia menampakkan diri-Nya kepada mereka yang dahulu mengiringi-Nya dalam perjalanan dari Galilea ke Baitulmaqdis. Kini mereka itu menjadi saksi bagi-Nya kepada umat Israel.

32‘Dengan demikian kami datang ke sini untuk menyampaikan berita baik ini kepada kamu.

33Allah telah melaksanakan untuk kita apa yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kita, dengan membangkitkan Isa daripada kematian, sebagaimana yang tersurat di dalam Zabur bab dua: ‘“Engkaulah Putera-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.”

34Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian. Dia tidak akan mati lagi. Tentang ini Allah berfirman: ‘“Aku akan memberkati-Mu dengan berkat yang suci, sebagaimana telah Kujanjikan kepada Daud.”

35Dalam suatu ayat lagi firman-Nya: ‘“Engkau tidak akan membiarkan Hamba-Mu yang setia itu reput di dalam kubur.”

36‘Daud melakukan suruhan Allah ketika dia hidup. Apabila dia wafat dia dimakamkan di sisi nenek moyangnya dan jasadnya reput.

37Namun, ini tidak terjadi kepada Dia yang dibangkitkan Allah daripada kematian.

38‘Oleh itu, ketahuilah saudara-saudara, melalui Isa berita pengampunan dosa disampaikan kepada saudara sekalian.

39Setiap orang yang percaya kepada-Nya diampunkan segala dosanya yang tidak dapat diampunkan melalui Taurat Musa.

40Berhati-hatilah, supaya apa yang telah disebutkan oleh nabi-nabi tidak menimpa saudara sekalian:

41‘“Dengarlah hai orang yang menghina Allah! Kamu akan terkejut dan punah! Apa yang Kulakukan kini tidak akan kamu percayai, walaupun diterangkan kepadamu!”’

42Apabila Paulus dan Barnabas hendak meninggalkan rumah ibadat itu, orang Yahudi meminta mereka datang lagi pada hari Sabat berikutnya untuk meneruskan penerangan mereka tentang hal-hal tersebut.

43Setelah bersurai perhimpunan di rumah ibadat itu, ramai orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang telah memeluk agama Yahudi mengikut Paulus dan Barnabas. Kedua-dua rasul itu menasihati mereka supaya sentiasa hidup berpegang teguh kepada kasih kurnia Allah.

44Pada hari Sabat berikutnya, hampir seluruh penduduk kota itu berhimpun mendengar firman Allah.

45Setelah dilihat oleh orang Yahudi betapa ramainya orang datang itu, timbullah hasad dengki dalam hati mereka lalu mereka membangkang kata-kata Paulus serta mencelanya.

46Namun demikian, Paulus dan Barnabas bercakap dengan berani. Mereka berkata, ‘Memang seharusnya firman Allah disampaikan kepada kamu terlebih dahulu. Akan tetapi disebabkan kamu menolak firman-Nya dan menganggap dirimu tidak layak menerima hidup kekal, kami berpaling daripadamu dan pergi kepada bangsa asing.

47Inilah perintah Tuhan kepada kami: ‘“Aku telah menetapkan bahawa kamu menjadi cahaya kepada semua bangsa asing, dan melalui-Mu Allah akan menyelamatkan seluruh dunia.”’

48Orang bangsa asing bersukacita dan memuji firman Allah setelah mendengar kata-kata itu. Mereka yang dipilih Allah untuk menerima hidup kekal pun percayalah kepada Isa.

49Firman Tuhan tersebar di serata daerah itu.

50Orang Yahudi menghasut orang yang berkuasa di kota itu dan wanita-wanita terkemuka bangsa asing yang takut akan Allah. Mereka mula menganiaya Paulus dan Barnabas lalu mengusir kedua-duanya dari daerah tersebut.

51Rasul-rasul itu pun mengebaskan debu dari kaki mereka sebagai bantahan terhadap orang di situ lalu pergi ke Ikonium.

52Bagaimanapun, para pengikut Isa amat bergembira dan dipenuhi Roh Suci.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kisah Para Rasul 13 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2018
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran