Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Kolose 1 >> 

1Daripada Paulus, rasul Isa al-Masih dengan kehendak Allah dan daripada saudara kita Timotius,

2Kepada semua orang salih dan saudara-saudara yang beriman kepada al-Masih di Kolose: Kasih kurnia dan sejahtera daripada Bapa kita Allah.

Ucapan syukur dan doa

3Kami mengucapkan syukur kepada Allah, Bapa Junjungan kita Isa al-Masih, dan kami sentiasa mendoakan kamu,

4sejak kami mendengar bahawa kamu beriman kepada Isa al-Masih dan mengasihi semua orang salih

5kerana harapan yang ada bagimu di syurga, yang telah kamu dengar dalam kata kebenaran, iaitu Injil,

6yang telah datang kepadamu. Di seluruh dunia, Injil ini sedang membuahkan manfaat dan tersebar luas, seperti di kalanganmu sejak kamu mendengar dan mengetahui kasih kurnia Allah dalam segala kebenarannya.

7Kamu telah mendengar juga daripada teman sekerja kami yang dikasihi, Epafras, yang menjadi hamba al-Masih yang beriman bagi kami,

8yang juga telah menceritakan kepada kami kasihmu dalam Roh.

9Oleh itu, sejak kami mendengarnya, kami juga tidak putus-putus mendoakan kamu, dan memohon supaya kamu dipenuhi pengetahuan tentang kehendak-Nya dalam segala kebijaksanaan dan pengertian rohani.

10Kami mendoakan demikian supaya hidupmu layak di hadapan Tuhan, dan kamu mendapat sepenuh keredaan-Nya dalam segala hal: membuahkan manfaat dalam setiap pekerjaan yang baik, bertambah-tambah mengenal Allah,

11diteguhkan dengan segala kekuatan berdasarkan kuasa-Nya yang mulia, yang mendatangkan kesabaran dan kebahagiaan.

12Kita mengucapkan syukur kepada Bapa kita yang telah melayakkan kita menerima sebahagian warisan orang yang salih dalam cahaya.

13Dia telah melepaskan kita daripada kuasa kegelapan dan memindahkan kita ke dalam kerajaan Putera yang dikasihi-Nya,

14melalui Dialah kita ditebus dan mendapat pengampunan dosa.

Keulungan al-Masih

15Dia adalah gambar Allah yang tidak kelihatan, Dialah anak sulung antara segala yang diciptakan.

16Kerana melalui Dia segala sesuatu diciptakan: yang wujud di bumi dan di syurga, yang kelihatan dan tidak kelihatan, baik semua roh yang berkuasa mahupun yang memerintah; segala-galanya telah dicipta melalui-Nya dan untuk-Nya.

17Dia terdahulu daripada segalanya, dan setiap yang wujud ada dalam-Nya.

18Dan Dia adalah kepala kepada tubuh iaitu jemaah; Dia adalah permulaan, anak sulung yang bangkit daripada kematian, supaya dalam segalanya Dialah yang terutama.

19Kerana Allah berkenan bahawa seluruh diri-Nya berada dalam Dia.

20Juga melalui Dia, Allah mendamaikan segalanya dengan diri-Nya, baik yang di bumi mahupun di syurga, dengan mengadakan perdamaian melalui pencurahan darah-Nya di atas salib.

21Kamu dahulu tersisih daripada Allah dan merupakan seteru dalam pemikiranmu kerana perbuatanmu yang jahat.

22Akan tetapi, sekarang Allah telah mendamaikan kamu dengan diri-Nya melalui kematian tubuh-Nya, supaya Dia dapat memperhadapkan kamu sebagai orang suci, yang tidak bercela dan tidak bersalah di hadapan-Nya

23jika kamu tetap beriman, mantap dan berdiri teguh, tidak berganjak daripada harapan Injil yang kamu dengar. Inilah Injil yang diajarkan kepada seluruh ciptaan di bawah langit, dan yang aku, Paulus, menjadi hambanya.

Pengabdian Paulus untuk jemaah

24Aku sekarang bersukacita atas penderitaanku untukmu, dan aku menyempurnakan dengan tubuhku apa yang kurang dalam kesengsaraan al-Masih, untuk tubuh-Nya yang suci, iaitu jemaah.

25Aku sudah dijadikan hamba jemaah, menurut amanat Allah yang telah diberikan kepadaku untuk kamu, bagi menyampaikan firman Allah dengan sepenuhnya

26iaitu rahsia yang telah tersembunyi daripada segala zaman dan keturunan tetapi sekarang telah dinyatakan kepada orang salih-Nya.

27Kepada mereka Allah berkehendak supaya diberitahu betapa kayanya kemuliaan rahsia itu di kalangan orang bukan bani Israel, iaitu al-Masih dalam kamu, harapan untuk mendapat kemuliaan.

28Al-Masihlah yang kami ajarkan. Kami menasihati dan mengajar setiap orang dengan sepenuh bijaksana, supaya dapat kami hadapkan setiap orang dalam keadaan sempurna dalam Isa al-Masih.

29Untuk tujuan inilah juga aku berusaha, berjuang dengan segala kekuatan kuasa-Nya yang bertindak hebat dalam diriku.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kolose 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel