Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 1 >> 

Pendahuluan

1Kepada yang dihormati Teofilus, Ramai orang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatat peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di kalangan kita

2sebagaimana yang diberitahu kepada kita oleh saksi-saksi pertama peristiwa ini yang juga merupakan pemberita Firman.

3Oleh sebab aku telah mengkaji perkara-perkara ini dari mulanya, aku berfikir eloklah aku mengarang cerita-Nya dengan teratur untuk tuan Teofilus.

4Aku berbuat demikian supaya tuan akan mengetahui kebenaran yang sepenuhnya tentang perkara-perkara yang telah diajarkan kepada tuan.

Pemberitahuan tentang kelahiran Yahya Pengimad

5Pada zaman Herodes, raja negeri Yudea, ada seorang imam yang bernama Zakaria. Dia terdiri daripada golongan Abia. Isterinya, Ashba, juga daripada keturunan Harun.

6Kedua-duanya orang yang lurus di hadapan Allah, dan mengikut segala perintah serta hukum Tuhan dengan sepenuhnya.

7Tetapi mereka tidak mempunyai anak kerana Ashba mandul, dan kedua-duanya pun telah lanjut usia.

8Pada suatu hari Zakaria melaksanakan tugasnya sebagai imam di hadapan Allah menurut gilirannya bertugas.

9Mengikut peraturan keimaman, dia diundi masuk ke dalam rumah ibadat Tuhan untuk membakar kemenyan.

10Orang ramai berhimpun di luar untuk beribadat sewaktu kemenyan dibakar.

11Kelihatanlah kepada Zakaria, malaikat Tuhan berdiri di sebelah kanan tempat pembakar kemenyan itu.

12Hati Zakaria berdebar apabila melihatnya dan dia berasa amat takut.

13Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, ‘Janganlah takut, hai Zakaria, kerana permohonanmu telah dikabulkan. Isterimu Ashba akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Kamu hendaklah menamainya Yahya.

14Kamu akan bergembira dan bersukacita apabila dia dilahirkan. Begitu juga ramai orang lain

15kerana dia akan menjadi mulia di sisi Tuhan. Dia tidak akan minum air anggur atau minuman keras kerana dia akan dipenuhi dengan Roh Suci sejak dari rahim ibunya.

16Dia akan mengembalikan ramai orang Israel kepada Allah, Tuhan mereka,

17dan dia akan melangkah di hadapan Tuhan dengan roh dan kuasa Ilyas untuk mendamaikan bapa dengan anak dan mengembalikan orang ingkar ke jalan orang benar, supaya menyediakan suatu kaum yang bersiap sedia bagi Tuhan.’

18Zakaria berkata kepada malaikat itu, ‘Bagaimanakah aku dapat mengetahui perkara ini akan berlaku? Aku telah tua dan isteriku pun telah lanjut usianya.’

19Malaikat itu menjawab lagi, ‘Akulah Jibrail yang berdiri di hadirat Allah. Aku telah diutuskan untuk menyampaikan perkhabaran yang baik ini kepadamu.

20Ingatlah: oleh sebab engkau tidak mempercayai kata-kataku ini yang akan berlaku pada masanya, engkau akan menjadi bisu dan tidak dapat bertutur hingga pada hari semua perkara ini berlaku.’

21Sementara itu, orang yang berhimpun itu ternanti-nanti akan Zakaria; mereka sangat hairan kerana dia begitu lama di dalam rumah ibadat.

22Apabila dia keluar, dia tidak dapat bertutur kepada mereka. Lalu mereka menyedari Zakaria telah nampak sesuatu di dalam rumah ibadat. Oleh sebab dia tidak dapat bertutur, dia menggunakan isyarat dengan tangannya.

23Setelah tamat masa perkhidmatannya, Zakaria kembali ke rumahnya.

24Kemudian, Ashba, isterinya pun hamil lalu dia tidak meninggalkan rumahnya selama lima bulan. Dia berkata,

25‘Akhirnya, Tuhan telah menolongku. Dia menghapuskan aibku di kalangan masyarakat.’

Pemberitahuan tentang kelahiran Isa

26Dalam bulan yang keenam, malaikat Jibrail diutus Allah ke Nasaret, sebuah kota di jajahan Galilea,

27kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maryam.

28Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, ‘Salam kepadamu yang amat diredai Allah! Tuhan bersamamu!’

29Hati Maryam runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut.

30Seterusnya, malaikat itu berkata kepadanya, ‘Janganlah takut, hai Maryam, kerana engkau telah diredai Allah.

31Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Isa.

32Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Putera Allah Yang Maha Tinggi. Allah, Tuhan kita akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya.

33Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaannya berkekalan.’

34Lalu Maryam berkata kepada malaikat itu, ‘Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?’

35Malaikat itu menjawab, “Roh Suci akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Putera Allah.

36Tambahan pula, saudaramu Ashba yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua.

37Sebab bagi Allah tidak ada yang mustahil.

38Maryam berkata, ‘Aku ini hamba Tuhan. Jadilah kepada aku mengikut kata-katamu itu.’ Lalu malaikat pun meninggalkannya.

Maryam melawat Ashba

39Setelah itu, Maryam bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yudea.

40Dia masuk ke dalam rumah Zakaria dan memberi salam kepada Ashba.

41Apabila Ashba mendengar salam Maryam, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Ashba dipenuhi Roh Suci.

42Dia berseru, ‘Diberkati engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu.

43Siapakah aku ini sehingga ibu Junjunganku datang kepadaku?

44Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan.

45Diberkatilah kamu kerana mempercayai apa yang dikatakan kepadamu daripada Tuhan akan berlaku!’

Nyanyian pujian Maryam

46Maryam berkata, ‘Jiwaku meninggikan Tuhan;

47rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku,

48kerana Dia mengingati hamba-Nya yang hina ini. Dari sekarang hingga selama-lamanya, orang akan berkata aku diberkati,

49kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar untuk aku. Sucilah Nama-Nya.

50Dia memberkati mereka yang takut akan Dia, daripada satu keturunan kepada satu keturunan yang lain.

51Dia telah menunjukkan kekuatan tangan-Nya; Dia telah mencerai-beraikan mereka yang berhati bongkak.

52Dia telah menurunkan raja-raja daripada takhta mereka dan mengangkat tinggi orang yang hina;

53Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong.

54Dia menolong bangsa Israel, hamba-Nya kerana Dia ingat akan belas kasihan-Nya

55yang dijanjikan kepada nenek moyang kita dan semua keturunannya untuk selama-lamanya.’

56Maryam tinggal bersama Ashba selama tiga bulan. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya.

Kelahiran Yahya Pengimad

57Tibalah masanya untuk Ashba bersalin dan dia melahirkan seorang anak lelaki.

58Apabila jiran tetangga dan saudara-maranya mendengar bahawa Tuhan telah melimpahkan berkat kepadanya, mereka turut bergembira bersamanya.

59Pada hari yang kelapan, mereka datang untuk menyunatkan bayi itu. Mereka mahu menamainya Zakaria seperti nama bapanya.

60Tetapi ibunya berkata, ‘Tidak! Namanya ialah Yahya.’

61Mereka berkata kepada Ashba, ‘Tiada seorang pun daripada kaum keluargamu yang bernama sedemikian.’

62Lalu mereka bertanya kepada bapanya dengan menggunakan isyarat nama yang hendak diberikan kepada anaknya itu.

63Dia meminta papan tulis lalu menulis demikian, ‘Namanya Yahya.’ Semuanya kehairanan.

64Pada ketika itu juga, Zakaria dapat bercakap dan dia memuji Allah.

65Semua jirannya sangat takut dan segala perkara ini tersebar ke seluruh jajahan Yudea.

66Semua orang yang mendengarnya berkata dalam hati masing-masing, ‘Bagaimanakah gerangan halnya anak ini kelak?’ Jelaslah bahawa tangan Tuhan memimpin-Nya.

Nubuat Zakaria

67Bapanya, Zakaria, dipenuhi dengan Roh Suci lalu berkata,

68‘Segala puji bagi Allah, Tuhan bangsa Israel! Kerana Dia telah datang dan menebus umat-Nya;

69Dia telah mengurniai kita seorang Penyelamat yang berkuasa, seorang daripada keturunan hamba-Nya, Daud.

70Demikianlah firman-Nya dengan perantaraan nabi-nabi-Nya yang suci dari zaman dahulu kala,

71Dia berjanji menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita, dan daripada tangan semua orang yang membenci kita;

72Dia mengasihani nenek moyang kita, dan mengingati perjanjian-Nya yang suci,

73Dia berjanji kepada nenek moyang kita, Ibrahim,

74untuk menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita supaya tanpa rasa takut kita beribadat kepada-Nya

75dalam kesucian dan kebenaran sepanjang hidup kita.

76Engkau, anakku, akan digelar nabi Allah Yang Maha Tinggi kerana engkau mendahului Tuhan demi menyediakan jalan-Nya,

77dan memberitahu umat-Nya bahawa mereka diselamatkan apabila dosa mereka diampunkan.

78Oleh sebab Allah, Tuhan kita mengasihani kita, cahaya matahari akan terbit

79untuk menerangi orang yang tinggal dalam kegelapan dan bayang maut, serta memimpin kita ke jalan damai.’

80Anak itu membesar dan bertambah kuat dari segi kerohaniannya. Dia tinggal di gurun sehinggalah dia muncul di khalayak bangsa Israel.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Lukas 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel