Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 14 >> 

Isa menyembuhkan seorang yang sakit

1Pada hari Sabat Isa pergi makan di rumah seorang Farisi yang terkemuka. Orang terus memerhatikan Isa dengan teliti.

2Dan di situ seorang lelaki yang sakit busung berada di hadapan Isa

3Kemudian Isa bertanya kepada ahli-ahli Taurat dan orang Farisi, ‘Adakah Taurat membenarkan orang disembuhkan pada hari Sabat atau tidak?’

4Tetapi mereka diam sahaja. Lalu Isa memanggil orang itu dan menyembuhkannya serta menyuruhnya pulang.

5Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Jikalau lembu atau keldaimu jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, siapakah antara kamu yang tidak menariknya keluar dengan serta-merta pada hari Sabat itu juga?’

6Mereka tidak dapat memberikan jawapan tentang perkara itu.

Murah hati dan rendah hati

7Ketika Isa melihat bagaimana tetamu memilih tempat duduk yang terbaik di jamuan itu, Dia mengatakan suatu ibarat kepada mereka:

8‘Apabila kamu dijemput orang ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Mungkin seorang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput,

9dan tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, “Berikanlah tempatmu kepada orang ini.” Lalu dengan malu sahaja kamu berpindah ke tempat yang paling belakang.

10Oleh itu, apabila kamu dijemput orang, pergilah duduk di tempat yang paling belakang supaya tuan rumah datang dan berkata kepadamu, “Saudara, silakanlah ke tempat yang lebih baik.” Dengan itu, kamu mendapat penghormatan di hadapan semua orang jemputan itu.

11Sesiapa yang memuliakan dirinya akan direndahkan dan yang merendahkan dirinya akan dimuliakan.’

12Kemudian Isa berkata kepada tuan rumah, ‘Apabila mengadakan suatu majlis makan tengah hari atau malam, janganlah jemput sahabat-sahabatmu atau adik-beradikmu atau sanak-saudaramu atau jiran tetanggamu yang kaya kerana mereka akan menjemputmu pula dan itulah sahaja balasan atas perbuatanmu.

13Apabila mengadakan suatu jamuan, jemputlah orang miskin, orang kudung, orang tempang dan orang buta.

14Diberkatilah kamu kelak kerana mereka tidak dapat membalas jemputanmu, tetapi kamu akan dianugerahi Allah pada hari kebangkitan orang yang benar daripada kematian.’

Ibarat jamuan besar

15Salah seorang jemputan itu mendengar kata-kata Isa lalu berkata, ‘Diberkatilah orang yang akan dijamu di dalam kerajaan Allah.’

16Isa berkata kepadanya: ‘Ada seorang yang mengadakan jamuan besar dan dia menjemput ramai orang.

17Apabila tiba masanya, dia menyuruh hambanya pergi memberitahu para jemputannya, “Silakanlah, kerana semuanya siap sedia.”

18‘Tetapi masing-masing mula berdalih. Yang pertama berkata, “Aku telah membeli sebuah ladang dan aku harus pergi ke sana. Aku minta maaf.”

19‘Seorang yang lain berkata, “Aku telah membeli lima pasang lembu dan harus pergi mencuba lembu-lembu itu. Aku minta maaf.”

20‘Seorang yang lain lagi berkata, “Aku baru berkahwin. Oleh itu, aku tidak dapat datang.”

21‘Hamba itu pulang dan memberitahu tuannya hal ini. Tuan rumah itu sangat marah dan menyuruh hambanya, “Pergilah dengan segera ke jalan-jalan dan lorong-lorong kota dan bawalah orang miskin, orang kudung, orang buta dan orang tempang ke mari.”

22‘Hamba itu berkata, “Tuan, apa yang tuan suruh telah dilakukan tetapi masih ada tempat lagi.”

23‘Tuan rumah berkata kepada hambanya, “Pergilah ke jalan-jalan raya dan lorong-lorong di luar kota serta suruh orang datang supaya rumahku penuh.

24Aku berkata kepadamu bahawa tiada seorang pun antara mereka yang telah dijemput itu, akan menikmati jamuanku ini.”’

Pengorbanan menjadi pengikut Isa

25Orang ramai sedang mengiringi Isa apabila Dia berpaling dan berkata kepada mereka:

26‘Jikalau seseorang datang kepada-Ku dan dia lebih mengasihi ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya, adik-beradiknya dan dirinya, dia tidak boleh menjadi pengikut-Ku.

27Sesiapa yang tidak memikul salibnya dan mengikut-Ku tidak boleh menjadi pengikut-Ku.

28‘Jikalau seseorang antara kamu ingin membina sebuah menara, dia akan terlebih dahulu duduk dan menganggarkan perbelanjaannya untuk memastikan sama ada dia mempunyai wang yang cukup untuk menyiapkan pembinaan itu.

29Jikalau dia sudah meletakkan asas menara itu, tetapi tidak dapat menyiapkan pembinaannya, semua orang yang melihat hal itu akan mengejeknya.

30“Orang ini telah memulakan pembinaan itu, tetapi tidak dapat pula menyiapkannya.”

31‘Jikalau seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak keluar berperang dengan raja lain yang membawa dua puluh ribu orang askar untuk menyerangnya, dia akan mempertimbangkan dahulu sama ada dia cukup kuat untuk menentang raja tersebut.

32Kalau dia tidak dapat berbuat demikian, dia akan memerintah utusan-utusannya untuk bertanyakan syarat-syarat perdamaian semasa musuhnya masih jauh lagi.

33Begitu juga sesiapa antara kamu yang tidak meninggalkan segala miliknya, tidak boleh menjadi pengikut-Ku.

34‘Garam itu baik tetapi jikalau menjadi tawar, bagaimanakah garam itu dapat dimasinkan semula?

35Garam itu tidak berguna untuk menyuburkan tanah atau dijadikan baja kecuali dibuang sahaja. Orang yang bertelinga, dengarlah.’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Lukas 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel