Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 18 >> 

Ibarat seorang balu dan seorang hakim

1Kemudian Isa menceritakan ibarat ini untuk mengajar mereka bahawa mereka harus sentiasa berdoa dan tidak putus asa.

2Isa berkata, ‘Di dalam sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah atau mempedulikan sesiapa.

3Di kota itu juga ada seorang balu yang kerapkali datang kepada hakim itu untuk menuntut keadilan terhadap lawannya.

4‘Sekian lama hakim itu menolak tuntutannya, tetapi akhirnya dia berkata dalam hatinya, ‘Walaupun aku tidak takut akan Allah dan tidak pedulikan sesiapapun,

5tetapi disebabkan balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku mengadili tuntutannya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan mengganggu aku!’

6Junjungan menambah, ‘Dengarlah apa yang dikatakan oleh hakim yang tidak adil itu.

7Tidakkah Allah akan membela umat-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam? Adakah Dia akan bertangguh untuk melaksanakan keadilan bagi mereka?

8Aku berkata kepadamu bahawa Allah akan melaksanakan keadilan bagi mereka dengan segera. Tetapi, apabila Putera Insan datang, adakah Dia akan menjumpai iman di bumi ini?’

Ibarat seorang Farisi dan seorang pemungut cukai

9Isa juga menceritakan ibarat ini kepada orang yang menganggap diri mereka sebagai orang yang benar dan menghina orang lain:

10‘Dua orang masuk ke dalam rumah ibadat untuk berdoa. Seorang daripadanya orang Farisi dan seorang lagi pemungut cukai.

11Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya: “Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu kerana aku tidak tamak, menipu atau tidak bermoral seperti orang lain. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini.

12Aku berpuasa dua kali seminggu dan mempersembahkan sepersepuluh daripada semua pendapatanku.”

13‘Akan tetapi, pemungut cukai itu berdiri jauh sedikit, tidak berani menengadah ke langit melainkan menebah dada sambil berkata, “Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini.”

14‘Aku berkata kepadamu bahawa pemungut cukai ini pulang ke rumahnya dengan diperkenankan Allah tetapi orang Farisi itu tidak. Sesiapa yang meninggikan dirinya akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan dirinya akan ditinggikan.’

Isa memberkati kanak-kanak

15Orang membawa anak mereka kepada Isa supaya Dia memberkati mereka. Tetapi apabila pengikut-pengikut Isa melihat hal ini, mereka menegur orang itu.

16Namun Isa memanggil anak-anak itu datang kepada-Nya lalu Dia berkata, ‘Biarlah anak-anak ini datang kepada-Ku. Janganlah melarang mereka kerana kerajaan Allah menjadi milik orang yang sedemikian.

17Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa yang tidak menyambut kerajaan Allah seperti seorang anak menerimanya, tidak dapat masuk ke dalam kerajaan itu.’

Seorang yang kaya

18Seorang pemimpin bangsa Yahudi bertanya kepada Isa, ‘Ya Guru yang baik, apakah harus aku buat untuk beroleh hidup yang kekal?’

19Isa menjawab, ‘Mengapakah engkau mengatakan Aku ini baik? Tiada sesiapapun yang baik kecuali Allah.

20Engkau mengetahui hukum-hukum Allah, iaitu: “Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan berdusta, hormati bapa dan ibumu.”’

21Pemimpin itu berkata, ‘Semua ini telah kuturuti sejak kecil.’

22Apabila Isa mendengar ini, Dia berkata kepadanya, ‘Satu perkara sahaja yang perlu kaulakukan. Juallah segala hartamu dan dermakan wangnya kepada orang miskin. Engkau akan beroleh harta di syurga. Kemudian, ikutlah Aku.’

23Tetapi apabila pemimpin itu mendengar demikian, dia menjadi sangat sedih kerana dia seorang yang amat kaya.

24Isa nampak kesedihannya lalu berkata, ‘Alangkah sukar bagi orang kaya masuk ke dalam kerajaan Allah!

25Lebih mudah seekor unta masuk ke lubang jarum daripada seorang kaya masuk ke dalam kerajaan Allah.’

26Orang yang mendengar-Nya berkata, ‘Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?’

27Isa menjawab, ‘Apa yang mustahil bagi manusia itu tidak mustahil bagi Allah.’

28Petrus berkata, ‘Kami telah meninggalkan rumah untuk mengikut-Mu.’

29Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa sahaja yang telah meninggalkan rumah, atau isteri, atau adik-beradik, atau ibu bapa, atau anak-anak demi kerajaan Allah

30akan menerima ganjaran berkali-kali gandanya pada masa ini dan hidup yang kekal di akhirat.’

Kali ketiga Isa berkata tentang kematian-Nya

31Isa membawa dua belas pengikut-Nya ke suatu tempat dan berkata kepada mereka, ‘Kita akan pergi ke Baitulmaqdis dan segala yang tersurat dalam kitab-kitab nabi tentang Putera Insan akan berlaku di sana.

32Dia akan diserahkan ke tangan bangsa asing. Dia akan dicela dan dimaki serta diludahi orang. Mereka akan menyebat Dia dan membunuh-Nya.

33Pada hari yang ketiga Dia akan bangkit semula.’

34Tetapi pengikut-pengikut-Nya tidak mengerti sepatah kata pun. Maksud kata-kata ini dirahsiakan daripada mereka. Mereka tidak memahami apa yang dikatakan oleh Isa.

Isa menyembuhkan seorang pengemis yang buta

35Ketika Isa menghampiri kota Yerikho, ada seorang buta yang duduk di tepi jalan meminta sedekah.

36Apabila dia mendengar bunyi orang ramai lalu, dia bertanya, ‘Apakah yang sedang berlaku?’

37Orang memberitahu dia bahawa Isa, orang Nasaret, sedang lalu.

38Dia pun berseru, ‘Isa, Anak Daud, kasihanilah aku!’

39Orang yang di hadapannya memarahinya dan menyuruh dia diam, tetapi dia berseru dengan lebih kuat, ‘Ya Anak Daud, kasihanilah aku!’

40Isa berhenti dan menyuruh orang membawa dia kepada-Nya. Apabila dia mendekati Isa, Isa bertanya,

41‘Apakah yang engkau hendak Aku buat bagimu?’ Dia berkata, ‘Junjungan, aku mahu melihat kembali.’

42Isa berkata kepadanya, ‘Terimalah penglihatanmu kembali, imanmu telah menyembuhkanmu.’

43Seketika itu juga, dia dapat melihat lalu dia mengikut Isa sambil memuji Allah. Semua orang yang menyaksikan kejadian ini memuji Allah.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Lukas 18 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel