Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 2 >> 

Kelahiran Isa

1Pada masa itu Kaisar Augustus menitahkan penduduk di seluruh kerajaan Rom dibanci.

2Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria.

3Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri.

4Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nasaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Baitlahim di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud.

5Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maryam, tunangnya yang sedang hamil.

6Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin.

7Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan.

Gembala dan malaikat

8Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka.

9Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan.

10Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, ‘Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat.

11Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu al-Masih, Junjungan itu.

12Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.’

13Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan besar dari syurga yang memuji-muji Allah:

14‘Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.’

15Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, ‘Marilah kita pergi ke Baitlahim untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.’

16Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maryam dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung.

17Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu.

18Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka;

19tetapi Maryam mengingati segala perkara ini dan merenunginya.

20Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka.

Isa dipersembahkan di rumah ibadat

21Lapan hari kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan bayi itu, lalu Dia diberikan nama Isa, seperti yang dikatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maryam.

22Setelah tamat masa penyucian mengikut hukum Taurat Musa, mereka pun membawa Isa ke Baitulmaqdis untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan.

23Tersurat dalam Hukum Tuhan bahawa setiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan.

24Mereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati.

25Pada masa itu ada seorang yang bernama Simeon di Baitulmaqdis. Dia seorang yang benar dan bertakwa kepada Allah, dan Roh Suci bersertanya.

26Roh Suci telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat al-Masih yang dijanjikan oleh Tuhan.

27Atas pimpinan Roh dia masuk ke dalam rumah ibadat. Ketika Isa, anak itu, dibawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu,

28Simeon mendukung Dia dan bersyukur kepada Allah lalu berkata:

29‘Ya Tuhan, sekarang biarlah hamba-Mu pergi dengan sejahtera, menurut firman-Mu:

30kerana mataku telah melihat penyelamatan-Mu

31yang telah Kausediakan di hadapan segala bangsa,

32satu cahaya yang akan menunjukkan jalan kepada bangsa-bangsa asing dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel.’

33Ibu bapa-Nya kagum mendengar apa yang dikatakan tentang anak itu.

34Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maryam, ibu anak itu, ‘Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan ramai orang Israel kelak; Dia menjadi tanda daripada Allah yang akan dibantahi orang

35supaya fikiran dalam hati mereka didedahkan. Dan jiwamu sendiri akan ditusuk oleh pedang.’

36Ada pula seorang nabiah yang bernama Hana binti Fanuel, daripada suku Asyer. Dia telah lanjut usianya. Dia berkahwin selama tujuh tahun

37dan menjadi balu selama lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan rumah ibadat, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam.

38Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu berkata tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan pembebasan bagi Baitulmaqdis.

39Setelah ibu bapa-Nya menunaikan segala yang wajib menurut Hukum Tuhan, mereka pulang ke kota Nasaret, kota tempat tinggal mereka di Galilea.

40Anak itu semakin membesar dan bertambah kuat serta penuh dengan kebijaksanaan. Kasih kurnia Tuhan ada pada-Nya.

Isa di rumah ibadat

41Tiap-tiap tahun ibu bapa-Nya pergi ke Baitulmaqdis untuk menyambut perayaan Paska.

42Ketika Isa berusia dua belas tahun, mereka pergi menghadiri perayaan itu seperti biasa.

43Setelah tamat perayaan itu, mereka pun berangkat pulang; tetapi Isa, anak mereka itu tertinggal di Baitulmaqdis dan ibu bapa-Nya tidak menyedari hal itu.

44Mereka menyangka Dia ada bersama teman-teman seperjalanan. Oleh itu mereka berjalan sepanjang hari sebelum mereka mencari-cari Isa di kalangan kaum keluarga dan kenalan mereka.

45Apabila mereka tidak menjumpai-Nya, mereka kembali ke Baitulmaqdis untuk mencari-Nya.

46Selepas tiga hari, mereka akhirnya menemui Isa di dalam rumah ibadat. Dia duduk dikelilingi oleh guru-guru Taurat sambil mendengar pengajaran mereka dan menanya soalan.

47Semua orang yang mendengar Isa kagum akan pengertian dan jawapan-Nya.

48Ketika ibu bapa-Nya melihat-Nya, mereka juga kagum lalu ibu-Nya berkata, ‘Anakku, mengapakah Engkau berbuat demikian terhadap kami? Ibu dan ayah begitu bimbang mencari-Mu.’

49Lalu Isa menjawab, ‘Mengapakah ibu dan ayah mencari Aku? Tidakkah ibu dan ayah mengetahui Aku harus melakukan kerja Bapa-Ku?’

50Tetapi mereka tidak memahami apa yang dikatakan-Nya kepada mereka.

51Kemudian Dia pulang bersama mereka ke Nasaret. Dia taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan segala perkara ini dalam hatinya.

52Isa semakin membesar dan bijaksana. Dia diredai oleh Allah dan manusia.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Lukas 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran