Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 21 >> 

Persembahan seorang balu

1Isa memandang di sekeliling lalu nampak orang kaya memasukkan wang persembahan mereka ke dalam peti persembahan di rumah ibadat.

2Dia nampak juga seorang balu yang sangat miskin memasukkan dua keping wang tembaga.

3Lalu Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa balu yang miskin ini telah memasukkan lebih banyak daripada semua yang lain,

4kerana yang lain memasukkan persembahan daripada kemewahan masing-masing tetapi perempuan ini walaupun sangat miskin, telah memasukkan seluruh nafkahnya.’

Robohnya rumah ibadat

5Beberapa orang berkata-kata tentang rumah ibadat yang dihiasi dengan batu-batu permata yang indah serta barang-barang yang dipersembahkan kepada Allah.

6Isa pun berkata, ‘Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan dan tiada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya.’

Kesusahan dan penganiayaan

7Mereka bertanya kepada Isa, ‘Tuan Guru, bilakah semua perkara ini akan terjadi? Apakah alamat-alamatnya bahawa masanya sudah tiba?’

8Isa berkata, ‘Berjaga-jagalah supaya kamu tidak terpedaya oleh orang. Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, “Akulah dia,” dan “Masanya sudah tiba.” Janganlah kamu ikut mereka.

9Apabila kamu mendengar tentang peperangan dan pemberontakan, janganlah kamu ketakutan. Peristiwa-peristiwa ini akan berlaku terlebih dahulu tetapi ini tidaklah bererti bahawa akhir zaman telah sampai.’

10Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Bangsa akan berperang dengan bangsa dan kerajaan dengan kerajaan;

11gempa bumi dan kebuluran serta wabak yang dahsyat akan terjadi di beberapa tempat. Perkara-perkara dahsyat dan alamat-alamat yang hebat akan kelihatan di langit.

12‘Tetapi sebelum segala perkara yang disebut ini berlaku, kamu akan ditawan dan dianiayai. Kamu akan didakwa di majlis saumaah-saumaah dan dipenjarakan. Kamu akan didakwa di hadapan raja-raja dan gabenor-gabenor kerana nama-Ku.

13Inilah peluang bagimu untuk memberitakan perkhabaran baik.

14Jadi, teguhkanlah hatimu supaya tidak bimbang bagaimana hendak membela diri

15kerana Aku akan memberimu kata-kata dan kebijaksanaan yang tidak dapat dinafikan oleh seorang pun daripada musuh-musuhmu.

16Kamu akan dikhianati oleh ibu bapamu, adik-beradikmu, sanak saudaramu dan sahabat handaimu. Mereka akan membunuh beberapa orang di antara kamu

17dan kamu akan dibenci oleh semua kerana-Ku.

18Tetapi sehelai rambutmu pun tidak akan hilang.

19Bertahanlah, keteguhan hatimu akan menyelamatkan kamu.

Isa memperkatakan keruntuhan Baitulmaqdis

20‘Apabila kamu melihat kota Baitulmaqdis terkepung oleh tentera-tentera, ketahuilah kamu bahawa kebinasaannya telah hampir.

21Pada masa itu mereka yang berada di jajahan Yudea hendaklah melarikan diri ke gunung; mereka yang ada di dalam kota hendaklah meninggalkannya dan mereka yang ada di luar kota janganlah masuk ke kota itu.

22Inilah hari-hari hukuman apabila segala perkara yang tersurat dalam Kitab Suci akan terjadi.

23Malangnya bagi perempuan yang mengandung atau ibu yang menyusui anak pada masa itu! Kesengsaraan yang teruk akan melanda bumi dan kemurkaan akan menimpa bangsa ini.

24Mereka akan dibunuh dengan pedang dan ada pula yang akan dibawa ke negeri lain sebagai orang tawanan. Kota Baitulmaqdis akan diinjak-injak oleh bangsa-bangsa asing sehingga tamat tempoh yang ditetapkan untuk mereka.

Kedatangan Putera Insan

25‘Alamat akan kelihatan pada matahari, bulan dan bintang-bintang. Di muka bumi ini semua bangsa kelak sengsara dan bingung akan deru serta gelora lautan.

26Sementara menantikan apa yang akan datang ke muka bumi, manusia akan jatuh pengsan kerana takut dan bimbang terhadap apa yang akan terjadi di dunia. Cakerawala di angkasa lepas akan terpesong daripada peredarannya.

27Lalu mereka akan melihat Putera Insan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar.

28Apabila segala perkara ini mula terjadi, teguhkanlah hatimu dan angkat kepalamu kerana masa penyelamatanmu telah hampir tiba.’

29Isa menceritakan suatu ibarat kepada mereka: ‘Tengoklah pokok ara dan segala pokok kayu yang lain!

30Apabila pokok itu penuh menguntum, kamu tahu bahawa musim panas hampir tiba.

31Demikian juga apabila kamu melihat segala perkara ini terjadi, ketahuilah bahawa kerajaan Allah hampir tiba.

32‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sebelum orang zaman ini mati, segala perkara itu akan terjadi.

33Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku berkekalan.

Perlunya berjaga-jaga

34‘Berjaga-jagalah! Janganlah leka dengan kesia-siaan dan kemabukan serta kekhuatiran terhadap kehidupan duniawi sehingga kamu tidak bersedia menghadapi hari itu yang datang dengan tidak disangka-sangka.

35Hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua manusia di seluruh muka bumi ini.

36Kamu hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu diteguhkan untuk menghadapi segala perkara yang akan terjadi itu lalu dapat berdiri di hadirat Putera Insan.’

37Pada siang hari Isa mengajar di dalam rumah ibadat. Pada waktu malam Dia keluar dari kota itu dan bermalam di udara lapang di Bukit Zaitun.

38Pada pagi-pagi lagi orang ramai pergi ke rumah ibadat untuk mendengar Dia.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Lukas 21 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel