Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 10 >> 

Isa mengutus dua belas rasul

1Isa memanggil dua belas orang pengikut-Nya lalu memberi mereka kuasa untuk menghalau roh-roh durjana dan menyembuhkan pelbagai penyakit dan kesakitan.

2Dua belas orang itu ialah: Simon yang dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas; Yakobus dan saudaranya Yahya, iaitu anak-anak Zebedeus;

3Filipus dan Bartolomeus; Tomas, dan Matius yang dahulunya pemungut cukai; Yakobus anak Alfeus, dan Tadius;

4Simon orang Patriot, dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Isa.

5Isa mengutus dua belas orang rasul itu dengan petunjuk demikian: ‘Janganlah pergi ke daerah bangsa-bangsa asing atau ke kota orang Samaria.

6Pergilah kepada domba-domba sesat antara bani Israel.

7Pergilah dan khabarkanlah bahawa kerajaan syurga sudah dekat.

8Sembuhkanlah orang yang sakit, hidupkan orang yang mati; ubati orang yang berpenyakit kusta dan halaukan roh-roh iblis. Sebagaimana pemberian dilimpahkan kepadamu, limpahkanlah pemberian.

9Janganlah bawa wang emas, perak mahupun tembaga.

10Jangan bawa bekas untuk menerima sedekah, atau ganti pakaian, atau kasut, atau tongkat dalam perjalananmu. Seorang pekerja layak menerima apa yang diperlukannya.

11‘Apabila kamu sampai di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambutmu. Menetaplah di rumahnya hingga kamu beredar dari tempat itu.

12Ketika kamu masuk ke rumah itu, berilah salam.

13Jika penghuni di rumah itu layak, biarlah salam sejahteramu merestui mereka. Jika tidak, biarlah salammu itu kembali kepadamu.

14Sekiranya sesuatu rumah atau bandar enggan menyambutmu atau mendengar kata-katamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debunya daripada tapak kakimu.

15Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu: pada hari penghakiman itu, hukuman atas Sodom dan Gomora lebih ringan daripada atas bandar itu.

16Dengarlah: Aku mengutusmu seperti domba ke tengah-tengah sekawan serigala. Hendaklah kamu bijak seperti ular dan tulus seperti merpati.

17‘Berhati-hatilah, kerana kamu akan ditangkap lalu diseret ke mahkamah, dan akan disebat di saumaah mereka.

18Kerana-Ku, kamu akan dibawa ke hadapan penguasa dan raja sebagai saksi kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah.

19Ketika dihakimi, janganlah runsing tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila sampai saatnya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan.

20Bukanlah kata-katamu sendiri yang akan kamu ucapkan, tetapi kata-kata Roh Bapamu yang dituturkan melaluimu.

21‘Saudara akan berlaku khianat terhadap saudara, bapa terhadap anak, dan anak terhadap bapa, lalu menyerahkannya untuk dibunuh.

22Setiap orang akan membencimu kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga akhir akan diselamatkan.

23Apabila kamu dianiaya di sesuatu bandar, larilah ke bandar lain. Ketahuilah, Putera Insan akan datang semula sebelum kamu sempat menyampaikan ajaran-Ku di semua bandar di tanah Israel.

24‘Tiada murid yang melebihi gurunya; tiada hamba yang melebihi tuannya.

25Murid haruslah berpuas hati menjadi seperti gurunya; hamba haruslah berpuas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga dipanggil Beelzebul, betapa lagi ahli-ahli keluarganya!

26‘Jangan takut akan manusia. Segala yang tersembunyi akan dinyatakan; setiap rahsia akan didedahkan.

27Apa yang Kukatakan kepadamu secara sulit, sampaikanlah kepada orang ramai. Apa yang dibisikkan di telingamu, umumkanlah merata-rata.

28Jangan takut akan mereka yang hanya dapat membunuh jasad tetapi tidak berkuasa memusnahkan jiwa. Takutilah Allah yang berkuasa memusnahkan jasad dan jiwa di dalam neraka.

29Bukankah dua ekor burung pipit dibeli dengan harga satu sen? Namun tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa izin Bapamu.

30Setiap helai rambut di kepalamu pun dihitung.

31Oleh itu, usahlah takut. Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada burung pipit!

32‘Sesiapa mengakui-Ku di hadapan orang ramai, akan Kuakui di hadirat Bapa-Ku di syurga.

33Sebaliknya, sesiapa yang menyangkal-Ku di hadapan orang ramai, akan Kusangkal di hadirat Bapa-Ku di syurga.

34‘Jangan sangka Aku datang untuk membawa damai ke dunia. Aku datang bukan untuk membawa damai ke dunia melainkan pedang.

35Dengan kedatangan-Ku, “anak lelaki melawan bapanya, anak perempuan melawan ibunya, dan menantu perempuan melawan ibu mertuanya.

36Ahli keluarganya sendiri akan menjadi musuhnya.”

37‘Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Begitu juga, sesiapa yang lebih mengasihi anaknya daripada-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku.

38Sesiapa yang enggan memikul salibnya dan mengikut-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku.

39Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangannya, dan sesiapa yang kehilangan hidupnya kerana menjadi pengikut-Ku akan mendapat hidup kekal.

40‘Sesiapa yang menyambutmu, menyambut-Ku juga, dan sesiapa yang menyambut-Ku menyambut Dia yang mengutus-Ku.

41Sesiapa yang menyambut seorang pesuruh Allah kerana dia pesuruh Allah, akan menerima ganjaran seorang pesuruh Allah. Sesiapa yang menyambut seorang yang benar kerana dia seorang yang benar, akan menerima ganjaran seorang yang benar.

42Ingatlah: Sesiapa yang memberi minum walau hanya air sejuk kepada seorang pengikut-Ku yang paling rendah pun kerana dia pengikut-Ku, akan menerima ganjaran.’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Matius 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2018
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran