Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 12 >> 

Junjungan atas hari Sabat

1Pada suatu hari Sabat, Isa berjalan melalui ladang gandum. Para pengikut-Nya lapar lalu memetik dan memakan gandum.

2Apabila orang Farisi melihat perkara ini, mereka berkata kepada Isa, ‘Lihatlah, pengikut-Mu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!’

3Isa menjawab, ‘Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud apabila dia dan anak buahnya lapar?

4Daud masuk ke dalam khemah Allah, lalu dia dan anak buahnya makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang iaitu hanya imam dibenarkan makan roti itu.

5Tidakkah kamu baca dalam Taurat Musa betapa setiap hari Sabat imam di rumah ibadat melanggar hukum hari Sabat? Namun, mereka tidak disalahkan.

6Aku berkata kepadamu: Di sini ada yang lebih besar daripada rumah ibadat.

7Ada tersurat: “Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban binatang.” Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentulah tidak kamu salahkan orang yang tidak bersalah;

8kerana Putera Insan adalah Junjungan atas hari Sabat.

9Isa beredar dari situ lalu pergi ke sebuah saumaah.

10Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya. Beberapa orang di sana cuba mencari salah Isa supaya dapat mendakwa-Nya. Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Tidakkah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar hukum?’

11Isa menjawab, ‘Apakah yang akan kamu lakukan jika seorang daripadamu mempunyai seekor domba, dan pada hari Sabat domba itu terjatuh ke dalam lubang yang dalam? Tentulah kamu berusaha menyelamatkannya.

12Betapa lebih berharganya manusia daripada domba? Oleh itu, berbuat baik pada hari Sabat tidak melanggar hukum.’

13Setelah itu, Isa berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, ‘Hulurkanlah tanganmu.’ Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh lalu pulih sama seperti tangan yang sebelahnya.

14Ketika itu orang Farisi beredar dari situ lalu berpakat hendak membunuh Isa.

Isa Hamba Allah

15Apabila Isa mengetahui pakatan itu, Dia pun meninggalkan tempat itu. Ramai orang mengikut-Nya dan ramai yang disembuhkan-Nya daripada pelbagai penyakit.

16Dia berpesan kepada mereka supaya jangan memberitahu sesiapa tentang-Nya.

17Dengan demikian terjadilah firman Allah melalui Nabi Yasyaya:

18‘Inilah hamba-Ku yang telah Kupilih, Yang Kukasihi dan Kuredai Roh-Ku akan Kuanugerahkan kepada-Nya, dan keadilan-Ku akan diisytiharkan-Nya kepada semua bangsa.

19Dia tidak akan bertengkar atau membentak, ataupun bersuara lantang di jalan raya.

20Buluh yang halus terkulai tidak akan dipatahkan-Nya, Pelita yang malap tidak akan dipadamkan-Nya, Dia akan berjuang sehingga tercapai keadilan,

21Bangsa-bangsa asing akan bersandar harap kepada-Nya.’

Isa dan Beelzebul

22Setelah itu seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa lalu disembuhkan-Nya.

23Orang ramai di situ ketakjuban lalu bertanya sama sendiri, ‘Mungkinkah dia ini Anak Daud?’

24Apabila orang Farisi mendengar tentang itu, mereka menjawab, ‘Dia dapat menghalau roh-roh iblis kerana diberi kuasa oleh Beelzebul, ketua roh iblis.’

25Isa mengetahui isi hati orang Farisi itu lalu berkata kepada mereka, ‘Negeri yang berpecah kepada beberapa bahagian yang bermusuhan tidak akan wujud lama. Bandar atau keluarga yang berpecah dan berlawan sesama sendiri akan hancur lebur.

26Begitu juga, andainya Iblis mengusir Iblis, dia akan berpecah belah, dan bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan?

27Kamu berkata Aku menghalau roh-roh iblis kerana diberi kuasa oleh Beelzebul. Kalau begitu, siapa yang memberikan kuasa menghalau roh-roh iblis kepada pengikut-pengikutmu? Oleh itu merekalah yang akan menjadi hakimmu.

28Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan Roh Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah mula bertapak di kalanganmu.

29‘Atau bagaimanakah orang dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas harta bendanya sekiranya orang yang gagah itu tidak diikat terlebih dahulu? Selepas itu, barulah dia dapat merompak rumahnya.

30‘Jika seseorang tidak berpihak kepada-Ku, ini bererti dia menentang-Ku. Jika seseorang tidak mengumpulkan bersama-Ku, ini bererti dia mencerai-beraikan.

31Ketahuilah: Orang yang berbuat dosa atau mengucapkan kata-kata kufur akan diampuni, tetapi mereka yang mengkufuri Roh Suci tidak akan diampuni.

32Orang yang menentang Putera Insan dengan kata-katanya dapat diampuni, tetapi mereka yang menghina Roh Suci tidak dapat diampuni, baik di dunia mahupun di akhirat.

33‘Jika kamu ingin mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya pokok diketahui daripada buahnya.

34Hai kamu yang seperti ular berbisa, bagaimana dapat kamu tuturkan perkara yang baik sedangkan dirimu jahat? Orang mengucapkan apa yang terkandung dalam hatinya.

35Seorang yang baik menuturkan hal-hal baik kerana hatinya penuh kebaikan. Seorang yang jahat menuturkan hal-hal jahat kerana hatinya penuh kejahatan.

36Aku berkata kepadamu: Pada hari penghakiman, setiap orang harus mempertanggungjawabkan setiap katanya yang tidak sewajarnya dituturkan.

37Kata-katamu sendiri akan dijadikan ukuran sama ada kamu bersalah atau tidak.’

Alamat Nabi Yunus

38Selepas itu beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami ingin melihat suatu alamat mukjizat daripada-Mu.’

39Tetapi Isa menjawab, ‘Manusia zaman durjana dan tidak setia ini ingin melihat alamat mukjizat. Tetapi satu alamat pun tidak akan ditunjukkan kepadanya kecuali alamat Nabi Yunus.

40Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut ikan besar, begitu jugalah Putera Insan akan tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut bumi.

41Pada hari akhir, penduduk Niniwe akan bangkit bersama kamu, orang zaman ini. Mereka akan menuduhmu, kerana apabila mereka mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Yunus, mereka telah bertaubat; sedangkan kamu tidak, pada hal di hadapanmu sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus.

42Pada hari akhir, Ratu Syeba dari Selatan akan bangkit bersama kamu, orang zaman ini. Ratu itu akan menuduhmu, kerana dia telah datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran Raja Sulaiman yang bijaksana; sedangkan kamu tidak mendengar ajaran daripada yang ada di hadapanmu sekarang dan yang lebih besar daripada Raja Sulaiman.

43‘Apabila roh durjana keluar daripada tubuh seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat tinggal. Sekiranya tempat tinggal tidak ditemuinya,

44roh itu akan berkata, “Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.” Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu kosong, bersih dan kemas.

45Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu. Inilah yang akan terjadi kepada manusia durjana zaman ini.’

Isa dan sanak saudara-Nya

46Sedang Isa berbicara dengan orang ramai, ibu dan saudara-saudara-Nya datang berdiri di luar kerana hendak bercakap dengan Isa.

47Seorang daripada orang ramai itu memberitahu Isa, ‘Ibu dan saudara-saudara lelaki-Mu hendak bercakap dengan-Mu.’

48Tetapi Isa menjawab, ‘Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara lelaki-Ku?’

49Dia menunjuk kepada para pengikut-Nya lalu berkata, ‘Inilah ibu-Ku dan saudara-saudara lelaki-Ku.

50Sesiapa yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga, merekalah saudara lelaki, saudara perempuan dan ibu-Ku.’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Matius 12 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel