Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 15 >> 

Perintah Allah dan adat istiadat

1Setelah itu beberapa orang Farisi dan guru Taurat dari Baitulmaqdis datang mendapatkan Isa lalu bertanya,

2‘Mengapa pengikut-Mu melanggar adat nenek moyang kita? Mereka tidak membasuh tangan sebelum makan!’

3Isa menjawab, ‘Mengapa kamu membelakangi perintah Allah demi mematuhi adat istiadatmu?

4Allah berfirman, “Hormatilah ibu bapamu” dan “Orang yang mencaci ibu bapanya mesti dihukum mati.”

5Sebaliknya kamu mengajar, “Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang patut kugunakan untuk menolong ayah dan ibu, telah kupersembahkan kepada Allah,’

6maka tidak perlulah orang itu menghormati ibu bapanya.”

7Kamu munafik! Benarlah nubuat Nabi Yasyaya tentangmu:

8“Allah berfirman: Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.

9Sia-sialah mereka menyembah-Ku, sedangkan ajaran yang mereka ajarkan ialah peraturan manusia.”’

10Kemudian Isa memanggil orang ramai itu lalu berkata kepada mereka, ‘Dengar dan fahamlah!

11Apa yang masuk ke mulut seseorang tidak menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari mulutnya, itulah yang menajiskannya.’

12Selepas itu para pengikut Isa mendapatkan-Nya dan berkata, ‘Junjungan, tahukah Engkau bahawa orang Farisi tersinggung dengan kata-kata-Mu?’

13Isa menjawab, ‘Segala tanaman selain yang ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut.

14Jangan hiraukan orang Farisi. Mereka itu orang buta yang memimpin orang buta. Apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya masuk ke dalam parit.’

15Petrus berkata, ‘Terangkanlah maksud ibarat tadi kepada kami.’

16Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Kamu masih tidak faham.

17Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang turun ke perut lalu keluar semula.

18Sebaliknya, apa yang keluar dari mulut datang dari hati, dan inilah yang menajiskan.

19Dari hati timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah.

20Segala itulah yang menajiskan, bukan makan dengan tidak membasuh tangan mengikut adat.’

Wanita Kanaan yang percaya

21Isa beredar dari situ, dan pergi ke kawasan berhampiran bandar Tirus dan Sidon.

22Seorang wanita Kanaan yang tinggal di situ datang mendapatkan Isa sambil berseru, ‘Wahai Tuan, Anak Daud! Kasihanilah aku! Anak perempuanku dirasuk roh iblis, dan menderita!’

23Isa diam tidak menjawab. Para pengikut-Nya memohon kepada-Nya, ‘Suruhlah wanita itu pergi. Dia mengikut kita meraung-raung.’

24Isa berkata kepada wanita itu, ‘Aku diutus khusus kepada orang Israel yang seperti domba sesat.’

25Wanita itu mendekati Isa dan menyembah-Nya sambil berkata, ‘Tuan, tolonglah aku.’

26Isa menjawab, ‘Tidaklah wajar mengambil makanan anak-anak dan mencampakkannya kepada anak-anak anjing.’

27‘Benar, Tuan,’ balas wanita itu, ‘tetapi anak-anak anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.’

28Oleh yang demikian Isa berkata kepadanya, ‘Kamu seorang wanita yang teguh iman. Apa yang kamu inginkan itu akan berlaku.’ Serta-merta anak wanita itu pulih.

Isa menyembuhkan ramai orang

29Isa beredar dari situ lalu berjalan menyusur pesisiran Laut Galilea. Setelah itu Dia mendaki sebuah bukit dan duduk di situ.

30Ramailah yang datang mendapatkan-Nya, membawa orang yang tempang, buta, lumpuh, bisu dan yang mengidap pelbagai penyakit. Isa menyembuhkan mereka.

31Orang ramai tercengang melihat yang bisu bercakap, yang cacat dipulihkan, yang tempang berjalan, dan yang buta melihat, lalu mereka memuji Tuhan orang Israel.

Empat ribu orang diberi makan

32Isa memanggil para pengikut-Nya lalu berkata, ‘Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-Ku; sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kalau-kalau pengsan nanti di tengah jalan.’

33Para pengikut-Nya berkata, ‘Di manakah dapat kami cari makanan yang cukup untuk orang seramai itu sedangkan kawasan ini terpencil?’

34Isa bertanya, ‘Berapa banyak roti yang ada padamu?’ ‘Tujuh buku,’ sahut mereka, ‘dan beberapa ekor ikan kecil.’

35Isa menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah.

36Dia mengambil tujuh buku roti dan ikan itu, mengucap syukur kepada Allah lalu membahagikan makanan itu dan menghulurkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai.

37Setiap orang makan sehingga kenyang, malah lebihan makanan yang dikumpulkan oleh para pengikut-Nya tujuh bakul.

38Jumlah yang makan empat ribu orang lelaki; belum dikira wanita dan kanak-kanak.

39Setelah itu Isa menyuruh orang ramai itu pulang, lalu Dia berperahu ke daerah Magadan.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Matius 15 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2018
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran