Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 17 >> 

Isa dimuliakan di atas gunung

1Enam hari selepas itu, Isa membawa Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus, pergi bersunyi di atas sebuah gunung yang tinggi.

2Apabila mereka memandang Isa, mereka mendapati-Nya berubah: Wajah-Nya bersinar seperti matahari dan pakaian-Nya putih berkilau-kilauan.

3Mereka melihat pula Ilyas dan Musa berkata-kata dengan Isa.

4Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, sungguh baik bagi kita berada di sini. Kalau Junjungan mahu, biar kudirikan tiga buah khemah suci; satu untuk Junjungan, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Ilyas.’

5Sedang Petrus berkata-kata, segumpal awan yang bersinar-sinar meliputi mereka. Dari awan itu kedengaran suara berkata, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan. Dengarlah kata-Nya!’

6Mendengar suara itu, para pengikut Isa ketakutan lalu meniarap di tanah.

7Isa datang menyentuh mereka sambil berkata, ‘Bangunlah. Jangan takut.’

8Apabila mereka memandang keliling, tiada siapapun kelihatan kecuali Isa.

9Mereka turun dari atas gunung itu. Isa mengeluarkan perintah, ‘Jangan beritahu sesiapapun apa yang telah kamu lihat, selagi Putera Insan belum dibangkitkan daripada kematian.’

10Para pengikut Isa bertanya kepada-Nya, ‘Mengapakah guru Taurat berkata Ilyas mesti datang dulu?’

11Isa menjawab, ‘Memang benar Ilyas mesti datang dulu untuk menyediakan semuanya.

12Tetapi sesungguhnya Aku berkata kepadamu, Ilyas sudahpun datang tetapi orang tidak mengenalnya. Mereka berbuat sesuka hati kepadanya. Begitulah mereka akan lakukan kepada Putera Insan.’

13Ketika itu barulah para pengikut Isa faham bahawa yang dimaksudkan-Nya ialah Yahya Pengimad.

Anak lelaki yang kerasukan roh iblis disembuhkan

14Setelah Isa dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya itu kembali kepada orang ramai, seorang lelaki datang berlutut di hadapan-Nya.

15Lelaki itu berkata, ‘Tuan, kasihanilah anakku! Dia mengidap sakit gila babi dan penyakitnya sungguh teruk. Seringkali dia terjatuh ke dalam air atau api.

16Aku sudahpun membawanya kepada pengikut-pengikut-Mu, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.’

17Isa menjawab, ‘Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini. Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke sini!’

18Isa mengherdik roh iblis itu. Roh iblis itu pun keluar dari anak itu lalu dia sembuh serta-merta.

19Para pengikut Isa mendapatkan-Nya dan bertanya ketika tiada orang lain di situ, ‘Mengapakah kami tidak dapat menghalau roh iblis itu?’

20Isa menjawab, ‘Kerana kamu tidak beriman. Sekiranya kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada bukit, “Beralihlah ke situ!” maka bukit itu akan beralih. Kamu dapat melakukan apa saja.

21Jenis ini hanya dapat dihalau dengan berdoa dan berpuasa.’

22Ketika semua pengikut Isa berhimpun di Galilea, Isa berkata kepada mereka, ‘Putera Insan akan diserahkan kepada manusia.

23Mereka akan membunuh-Nya, tetapi Dia akan dibangkitkan semula pada hari ketiga.’ Mendengar kata-kata itu, para pengikut Isa berdukacita.

Membayar cukai

24Apabila Isa dan para pengikut-Nya sampai di Kapernaum, pemungut-pemungut cukai rumah ibadat datang kepada Petrus lalu bertanya, ‘Adakah gurumu membayar cukai rumah ibadat?’

25Petrus menjawab, ‘Tentu sekali.’ Sebaik-baik Petrus masuk ke rumah, sebelum dia dapat berkata apa-apa, Isa bertanya, ‘Simon, bagaimana pandanganmu, daripada siapakah raja-raja dunia ini memungut cukai, daripada anak-anak mereka atau orang lain?’

26‘Orang lain,’ jawab Petrus. ‘Kalau begitu,’ kata Isa, ‘anak-anak tidak perlu membayar.

27Tetapi usahlah kita singgung perasaan orang. Pergilah memancing di laut. Ambillah ikan pertama yang kautangkap, dan bukalah mulutnya. Engkau akan mendapati sekeping duit syiling sebesar empat dirham. Ambillah duit itu dan berikan kepada mereka, untuk-Ku dan untukmu.’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Matius 17 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel