Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 1 >> 

Nabi Yahya

1Inilah permulaan Injil tentang Isa al-Masih, Putera Allah,

2Seperti yang tersurat dalam nubuat Nabi Yasyaya: ‘Lihatlah, Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu, dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu’

3‘satu suara berseru di gurun, “Sediakanlah jalan bagi Tuhan, luruskanlah jalan bagi-Nya.”’

4Demikianlah Yahya muncul di gurun, mengimadkan orang dan mengkhabarkan firman

5Ramailah orang yang datang dari Yudea dan Baitulmaqdis untuk mendengar kata-kata Yahya. Mereka mengakui dosa mereka lalu Yahya mengimadkan mereka di Sungai Yordan.

6Yahya berpakaian yang dibuat daripada bulu unta dengan tali pinggang daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun.

7Inilah beritanya: ‘Seorang yang lebih besar daripadaku akan datang selepasku. Tali kasut-Nya pun tidak layak kuurai.

8Aku mengimadkanmu dengan air, tetapi Dia akan mengimadkanmu dengan Roh Suci.’

Yahya mengimadkan Isa

9Kemudian Isa datang dari Nasaret di Galilea, lalu diimadkan oleh Yahya di Sungai Yordan.

10Ketika Isa keluar dari sungai itu, Dia melihat langit terbuka dan Roh Suci seperti burung merpati turun hinggap ke atas-Nya.

11Lalu kedengaran suara dari syurga: ‘Engkaulah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan.’

12Lantas, Roh Suci memimpin Isa ke gurun.

13Isa di situ selama empat puluh hari dan digoda oleh Iblis serta dikelilingi binatang liar. Para malaikat datang melayani-Nya.

Pengikut Isa yang pertama

14Setelah Yahya dipenjarakan, Isa pergi ke Galilea lalu mengkhabarkan Injil daripada Allah.

15Isa berkata, ‘Sudah genap masanya dan kerajaan Allah hampir tiba. Bertaubatlah dan percayalah akan Injil ini!’

16Ketika Isa sedang berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia terpandang dua orang nelayan, Simon dan saudaranya Andreas, sedang menjala ikan.

17Isa berkata kepada mereka, ‘Ikutlah Aku. Aku akan menjadikan kamu penjala insan.’

18Mereka terus meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya.

19Sejurus berjalan, Isa melihat dua orang lagi adik-beradik, bernama Yakobus dan Yahya, anak Zebedeus. Mereka sedang duduk mengemaskan jala di dalam perahu.

20Isa terus memanggil mereka. Kedua-dua beradik itu meninggalkan bapa mereka dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Isa.

Isa membentak roh durjana

21Isa dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Isa masuk ke saumaah lalu mengajar.

22Semua yang mendengar-Nya kagum kerana Dia mengajar dengan penuh kewibawaan, berbeza dari guru-guru Taurat.

23Ketika itu seorang yang dirasuk roh durjana berada di saumaah. Dia berseru:

24‘Apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Isa orang Nasaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau. Engkau Yang Suci daripada Allah!’

25Isa membentak roh itu, ‘Diam! Keluar daripada orang ini!’

26Roh durjana itu menggoncang-goncang tubuh orang yang dirasuknya lalu keluar sambil menjerit.

27Hal ini menyebabkan semua orang tercengang lalu berbisik sesama sendiri, ‘Adakah ini suatu ajaran baru? Dia memerintah roh-roh durjana dengan penuh kuasa dan mereka menurut kata-Nya.’

28Dengan demikian, khabar tentang Isa segera tersebar ke seluruh Galilea.

Isa menyembuhkan ramai orang

29Isa dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yahya, keluar dari saumaah itu lalu ke tempat kediaman Simon dan Andreas.

30Ibu mertua Simon sedang demam terbaring di tempat tidur. Setibanya Isa di situ, Dia diberitahu tentang hal itu.

31Isa menghampiri ibu mertua Simon, memegang tangannya dan menolongnya bangun. Demam wanita itu hilang lalu dia melayani mereka.

32Apabila malam menjelang, semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa.

33Semua penduduk kota berhimpun di hadapan rumah itu.

34Isa menyembuhkan ramai orang daripada pelbagai penyakit. Dia juga menghalau roh-roh iblis sambil memerintahkan mereka diam kerana mereka tahu siapa Dia.

Isa mengajar di kota-kota lain

35Keesokannya, pada waktu subuh, Isa bangun lalu pergi ke luar kota ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa.

36Simon dan rakan-rakannya pergi mencari Isa.

37Setelah menjumpai-Nya, mereka berkata: ‘Semua orang sedang mencari-Mu!’

38Isa berkata, ‘Kita mesti ke kota-kota lain di negeri ini supaya Aku dapat menyebarkan Injil di sana. Kerana tujuan inilah, maka Aku datang.’

39Lalu Isa menjelajah ke serata Galilea, mengajar di saumaah dan menghalau roh-roh iblis.

Isa menyembuhkan seorang yang sakit kusta

40Seorang yang menghidap penyakit kusta datang kepada Isa lalu berlutut meminta pertolongan-Nya. Katanya, ‘Jika Engkau mahu, Engkau dapat mentahirkanku.’

41Isa berbelas kasihan lalu menghulurkan tangan-Nya menyentuh orang itu sambil berkata, ‘Aku mahu. Tahirlah!’

42Pada saat itu juga orang itu ditahirkan daripada penyakit kusta.

43Isa menyuruhnya pergi dengan memberi suatu peringatan keras:

44‘Dengar baik-baik. Jangan beritahu sesiapapun hal ini. Tetapi pergi kepada imam, kemudian persembahkan korban sebagaimana diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada mereka bahawa kamu benar-benar sudah ditahirkan.’

45Tetapi orang itu menyebarkan hal itu merata-rata dan terus-menerus, sehingga Isa tidak dapat masuk ke bandar terang-terangan. Isa tinggal di luar kota di tempat-tempat yang lengang, namun orang dari pelbagai kawasan datang kepada-Nya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Markus 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel