Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 14 >> 

Isa diurapi

1Dua hari lagi akan tibalah perayaan Paska dan Jamuan Roti Tidak Beragi, ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat mencari jalan untuk memerangkap Isa secara tipu daya dan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya.

2Tetapi mereka berkata, ‘Janganlah pada waktu perayaan, takut orang akan merusuh.’

3Ketika itu Isa berada di Baitani di rumah Simon yang menghidap penyakit kusta. Sedang Isa duduk di meja, seorang wanita datang membawa bejana pualam berisi minyak narwastu murni yang amat mahal. Dia memecahkan bejana itu lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala Isa.

4Beberapa orang berkata-kata sesama sendiri dengan marah, ‘Mengapa dibazirkan minyak wangi ini?

5Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih tiga ratus keping wang perak dan wangnya diberikan kepada orang miskin.’ Mereka mengecam wanita itu dengan kata-kata yang tajam.

6Tetapi Isa berkata, ‘Biarkan dia. Mengapa kamu memarahinya? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku.

7Orang miskin akan sentiasa ada di kalanganmu, dan bila-bila sahaja kamu mahu, kamu dapat berbuat kebajikan kepada mereka. Tetapi Aku tidak akan sentiasa ada bersamamu.

8Dia telah melakukan apa yang terdaya olehnya. Dia telah datang terlebih dahulu untuk menyediakan tubuhku bagi pengebumian.

9Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana sahaja Injil ini disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan diceritakan juga sebagai kenangan kepadanya.’

10Selepas itu Yudas Iskariot, seorang daripada pengikut Isa yang dua belas itu, pergi kepada ketua-ketua imam untuk mengkhianati-Nya dan menyerahkan-Nya kepada mereka.

11Ketika mendengar kata-katanya mereka pun sukacita dan berjanji akan memberinya wang. Sejak itu Yudas mencari jalan yang terbaik untuk mengkhianati Isa.

Perjamuan Tuhan

12Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, ketika mereka menyembelih anak domba Paska, para pengikut Isa berkata kepada-Nya, ‘Di manakah Engkau mahu kami pergi menyediakan jamuan Paska untuk-Mu?’

13Dia menghantar dua orang pengikut-Nya dan berkata kepada mereka, ‘Pergilah ke dalam kota. Seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia.

14Di mana dia masuk, katakan kepada tuan rumah, “Tuan Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paska dengan para pengikut-Ku?”

15Dia akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas, lengkap dengan perabot dan telah siap disediakan. Di situlah kamu membuat persiapan untuk kita.’

16Kedua-dua pengikut-Nya itu keluar, pergi ke dalam kota, dan mendapati segala-galanya tepat seperti yang telah dikatakan-Nya kepada mereka. Mereka pun menyediakan jamuan Paska.

17Pada waktu lewat petang, Dia datang bersama para pengikut-Nya yang dua belas itu.

18Sedang mereka duduk menikmati jamuan, Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripada kamu yang makan bersama-Ku akan mengkhianati-Ku.’

19Mereka mula berdukacita. Seorang demi seorang berkata kepada-Nya, ‘Akukah orang itu?’

20Isa menjawab, ‘Dia seorang daripada yang dua belas yang mencecah roti bersama ke dalam bekas.

21Putera Insan memang mesti pergi, seperti yang tersurat tentang-Nya. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Putera Insan! Lebih baiklah baginya jika dia tidak dilahirkan ke dunia ini.’

22Sedang mereka makan, Isa mengambil roti lalu memberkatinya dan kemudian membahagikannya kepada mereka dan berkata, ‘Ambil, makanlah, ini tubuh-Ku.’

23Kemudian dia mengambil cawan air anggur, dan selepas mengucap syukur, Dia memberikannya kepada mereka, lalu mereka semua minum darinya.

24Dia berkata kepada mereka, ‘Ini darah-Ku bagi perjanjian baru, ditumpahkan untuk beberapa ramai manusia.

25Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hingga Aku minum yang baru dalam kerajaan Allah.’

26Setelah menyanyikan sebuah lagu suci, mereka keluar ke Bukit Zaitun.

Petrus akan menyangkal Isa

27Isa berkata kepada mereka, ‘Malam ini, iman kamu semua akan goyah kerana-Ku, seperti yang tersurat: ‘“Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.”

28‘Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahuluimu pergi ke Galilea.’

29Petrus berkata kepadanya, ‘Kalaupun semua yang lain goyah imannya, aku tidak akan goyah.’

30Isa berkata kepadanya, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.’

31Tetapi Petrus berkata dengan lebih tegas lagi, ‘Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu.’ Semua yang lain pun berkata demikian.

Isa di Getsemani

32Mereka sampai di suatu tempat yang dinamakan Getsemani. Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Duduklah di sini sementara Aku berdoa.’

33Dia membawa Petrus, Yakobus dan Yahya bersama-Nya, dan Dia mula berasa gundah dan amat terseksa.

34Dia berkata kepada mereka, ‘Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini, dan berjagalah.’

35Dia pergi jauh sedikit lagi, lalu sujud di tanah, dan berdoa kiranya dapat semoga saat itu diedarkan daripada-Nya.

36Kata-Nya, ‘Abba, Bapa, segala-galanya dapat Kaulakukan. Edarkanlah cawan ini daripada-Ku. Namun, berlakulah kehendak-Mu, bukan kehendak-Ku.’

37Kemudian dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan mendapati mereka sedang tidur, lalu Dia berkata kepada Petrus, ‘Simon, kamu tidur? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga?

38Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.’

39Dia pergi berdoa lagi, dengan kata-kata yang sama.

40Apabila Dia kembali, didapati-Nya mereka telah tertidur lagi, kerana mata mereka amat mengantuk. Mereka tidak tahu apa yang hendak dijawab kepada-Nya.

41Setelah Dia datang kepada mereka bagi kali ketiga, Dia berkata, ‘Adakah kamu masih tidur dan berehat? Cukuplah! Waktunya sudah tiba. Lihat, Putera Insan sedang dikhianati dan diserahkan ke tangan orang berdosa.

42Bangunlah! Mari kita pergi! Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba!’

Isa ditangkap

43Sesaat kemudian, ketika Dia masih berkata-kata, seorang daripada pengikut-Nya yang dua belas itu iaitu Yudas datang dengan orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua.

44Pengkhianat Isa telah menetapkan satu isyarat dengan mereka: ‘Sesiapa yang kucium, itulah Dia. Tangkap Dia dan bawalah Dia pergi dengan selamat.’

45Sebaik-baik Yudas tiba, dia pergi kepada Isa sambil berkata, ‘Tuan Guru!’ lalu mencium-Nya.

46Mereka pun menangkap-Nya dan membawa-Nya pergi.

47Seorang daripada yang berdiri di situ menghunus pedangnya lalu menetak hamba Imam Besar, sehingga terputus telinganya.

48Isa berkata kepada mereka, ‘Patutkah kamu datang bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi?

49Setiap hari Aku di kalanganmu, mengajar di rumah ibadat, tidak kamu tangkap. Tetapi yang tersurat di dalam Kitab Suci mesti berlaku.’

50Setelah itu semua pengikut Isa meninggalkan-Nya dan melarikan diri masing-masing.

51Seorang pemuda mengikut-Nya, dengan hanya sehelai kain linen membalut tubuhnya. Pemuda-pemuda lain menangkapnya,

52lalu dia melucutkan kain linen itu dan melarikan diri daripada mereka dalam keadaan telanjang.

Isa di hadapan Majlis Agama

53Isa dibawa kepada Imam Besar. Bersamanya berhimpun semua ketua imam, tua-tua, dan guru-guru Taurat.

54Petrus mengikut Isa dari jauh, turut masuk ke laman dalam rumah Imam Besar, dan duduk di kalangan hamba-hamba, berdiang di situ.

55Ketua-ketua imam dan semua ahli Majlis Agama berusaha mencari kesaksian untuk mendakwa Isa, tetapi tidak berjaya.

56Ramai yang memberi kesaksian palsu terhadap-Nya, tetapi kesaksian mereka semua bercanggah.

57Kemudian beberapa orang bangkit memberi kesaksian palsu terhadap-Nya dengan berkata,

58‘Kami telah mendengar Dia berkata, “Aku akan membinasakan rumah ibadat yang diperbuat dengan tangan ini, dan dalam tiga hari Aku akan membina rumah ibadat yang diperbuat tanpa tangan.”’

59Tetapi kesaksian mereka masih bercanggah.

60Imam Besar bangkit berdiri di tengah-tengah kesaksian itu lalu bertanya kepada Isa, ‘Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang disaksikan oleh mereka ini terhadap-Mu?’

61Tetapi Isa berdiam diri, tidak menjawab sepatah pun. Imam Besar itu bertanya lagi kepada-Nya, ‘Adakah Kamu al-Masih, Putera Allah Maha Suci?’

62Isa menjawab, ‘Ya, Akulah Dia. Kamu akan melihat Putera Insan duduk di kanan Allah Maha Kuasa, dan datang dengan awan syurga.’

63Imam Besar lalu mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, ‘Adakah kita perlukan saksi lagi?

64Kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya sendiri! Apakah pendapatmu?’ Lalu mereka semua menjatuhkan hukum ke atas-Nya, bahawa Dia patut dibunuh.

65Kemudian sesetengah mereka mulai meludahi-Nya, membalut mata-Nya lalu memukul-Nya dan berkata kepada-Nya, ‘Bernubuatlah!’ Pengawal-pengawal pula menampar-Nya.

Petrus menyangkal Isa

66Petrus ada di bawah, di laman dalam. Seorang hamba perempuan Imam Besar datang ke situ.

67Apabila dia melihat Petrus sedang berdiang memanaskan tubuhnya, dia memandang Petrus dan berkata, ‘Kamu juga bersama Isa orang Nasaret.’

68Petrus menyangkal, katanya, ‘Aku tidak tahu dan tidak faham apa yang kaukatakan.’ Dia keluar ke serambi depan, lalu ayam berkokok.

69Hamba perempuan itu melihatnya lagi, lalu mula berkata kepada orang yang berdiri di situ, ‘Ini seorang daripada mereka.’

70Petrus menyangkalnya lagi. Sejurus kemudian, mereka yang berdiri di situ berkata pula kepada Petrus, ‘Tentu sekali kamu seorang daripada mereka, kerana kamu orang Galilea. Ini nyata daripada cara percakapanmu.’

71Petrus mengucapkan kutuk dan sumpah, ‘Aku tidak kenal orang yang kaukatakan itu!’

72Ayam pun berkokok bagi kali kedua. Lalu Petrus teringat kata-kata Isa kepadanya: ‘Sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.’ Memikirkan perkara itu, Petrus menangis.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Markus 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran