Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 3 >> 

1Kemudian Isa kembali ke saumaah. Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya.

2Ada beberapa orang yang ingin mencari alasan untuk membuat tuduhan terhadap Isa. Mereka memerhatikan dengan teliti sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat.

3Isa berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, ‘Berdiri, marilah ke depan.’

4Kemudian Dia menyoal orang di situ, ‘Manakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau jahat? Menyelamatkan atau membinasakan orang?’ Tetapi semuanya berdiam diri.

5Isa memandang orang di sekeliling-Nya dengan rasa marah dan amat dukacita dengan mereka yang begitu keras kepala. Lalu Dia berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, ‘Hulurkan tanganmu.’ Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh, tangan itu terus sembuh.

6Orang Farisi keluar dari situ lalu segera berpakat dengan beberapa anggota golongan Herodes untuk membunuh Isa.

Orang ramai mengikut Isa

7Isa beredar ke laut bersama pengikut-pengikut-Nya. Ramai orang Galilea datang kepada-Nya. Ada yang dari Yudea,

8Baitulmaqdis, Idumea, seberang Sungai Yordan, dan sekitar Tirus dan Sidon. Mereka datang berduyun-duyun kerana mendengar segala yang telah dilakukan-Nya.

9Begitu ramainya orang sehingga Isa menyuruh pengikut-Nya menyediakan perahu untuk-Nya supaya Dia tidak terhimpit.

10Ramai orang telah disembuhkan-Nya. Oleh itu, orang sakit berebut-rebut hendak menyentuh-Nya.

11Apabila orang yang dirasuk roh-roh durjana melihat-Nya, mereka sujud di hadapan-Nya lalu berseru, ‘Engkau Putera Allah.’

12Isa melarang keras mereka mengatakan siapa Dia.

Isa memanggil dua belas rasul

13Kemudian Isa naik ke bukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya lalu mereka datang kepada-Nya.

14Isa memilih dua belas orang antara pengikut-Nya itu untuk menyertai-Nya dan untuk diutus-Nya memberitakan Injil

15serta dikurniai kuasa untuk menghalau roh-roh iblis.

16Dua belas orang yang dipilih-Nya itu ialah: Simon (yang juga dipanggil-Nya Petrus);

17Yakobus dan saudaranya Yahya iaitu anak-anak Zebedeus (dua orang adik-beradik ini digelar-Nya Boanerges, yang bermakna Anak Petir);

18Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadeus, Simon orang Patriot

19dan juga Yudas Iskariot yang kelak mengkhianati-Nya.

Isa dan Beelzebul

20Selepas itu Isa masuk ke sebuah rumah, tetapi begitu ramainya orang yang datang berkumpul semula sehingga Isa dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan.

21Apabila keluarga Isa mendengar perkara ini, mereka juga datang untuk mengambil-Nya apabila mendengar orang berkata, ‘Dia tidak siuman.’

22Sebilangan guru Taurat dari Baitulmaqdis berkata, ‘Dia dirasuk Beelzebul! Dengan kuasa penghulu roh iblis Dia menghalau roh-roh iblis.’

23Oleh itu Isa memanggil semua orang itu lalu bercakap melalui beberapa ibarat: ‘Bagaimana Iblis dapat menghalau Iblis?

24Kalau satu kerajaan berpecah belah, kerajaan itu tidak dapat bertahan.

25Dan jika keluarga berpecah belah, keluarga itu akan hancur.

26Dan jika Iblis berontak melawan dirinya sendiri dan berpecah belah, dia tidak dapat bertahan; sudah sampailah saat kemusnahannya.

27Tiada siapa dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas hartanya, kecuali orang gagah itu dapat diikatnya dahulu.

28Ingatlah: Segala dosa dan kata kufur manusia dapat diampunkan.

29Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Suci tidak akan diampunkan; dia bersalah kerana berbuat dosa kekal.’

30Isa berkata demikian kerana ada orang berkata, ‘Dia dirasuk roh durjana.’

Isa dan saudara-saudara-Nya

31Apabila ibu dan saudara-saudara Isa tiba, mereka menanti di luar dan menyuruh orang memanggil-Nya.

32Pada waktu itu, orang ramai duduk di sekeliling Isa berkata kepada-Nya, ‘Lihatlah! Ibu dan saudara-saudara-Mu ada di luar. Mereka memanggil Engkau.’

33Isa menjawab, ‘Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?’

34Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, ‘Lihat, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku!

35Sesiapa yang melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Markus 3 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel