Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 4 >> 

Ibarat tentang seorang penabur

1Isa mula mengajar lagi di pinggir laut. Begitu ramainya orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya sehingga Dia terpaksa duduk di dalam sebuah perahu di laut itu manakala orang ramai berdiri di pantai.

2Isa mengajar mereka banyak perkara melalui ibarat. Dalam ajaran-Nya itu, Dia berkata:

3‘Dengarlah! Seorang peladang pergi menabur benih.

4Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan, lalu habis dimakan burung.

5Ada yang jatuh di tempat yang berbatu dan kurang tanahnya. Benih itu cepat tumbuh kerana tanahnya tidak dalam.

6Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak mempunyai akar.

7Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri, lalu semak membesar dan membantutkannya sehingga tidak berbuah.

8Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu bertunas, membesar dan berbuah, hasilnya tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.’

9Lalu kata-Nya, ‘Jika kamu bertelinga, dengarlah.’

10Ketika Isa bersendirian, dua belas pengikut-Nya dan beberapa orang yang ada bersama-Nya menanya Dia erti ibarat itu.

11Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan Allah. Tetapi orang luar akan mendengarnya melalui ibarat,

12supaya ‘“Mereka terus melihat tetapi tidak nampak, mereka terus mendengar tetapi tidak faham; kerana sekiranya mereka mengerti, mereka akan bertaubat dan diampuni!”’

13Kemudian Isa bertanya kepada mereka, ‘Jika kamu tidak memahami ibarat itu, bagaimanakah kamu dapat mengerti ibarat yang lain?

14Peladang itu menabur firman.

15Ada orang seperti benih di jalan, tempat firman itu ditabur. Sebaik-baik mereka mendengar firman, datanglah Iblis untuk mengambil firman yang sudah ditabur di dalam hati mereka.

16Ada orang lain seperti benih yang ditabur di tempat berbatu. Mereka mendengar firman itu dan segera menerimanya dengan sukacita,

17tetapi akarnya tidak dalam di hati, maka tidak tahan lama. Apabila orang itu menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, mereka segera berpaling.

18Ada yang lain seperti benih yang ditabur di tengah semak berduri. Mereka mendengar firman itu,

19tetapi kerunsingan tentang hidup, tarikan palsu harta benda dan aneka kemahuan lain membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah.

20Dan yang lain seperti benih yang ditabur di tanah subur. Mereka mendengar dan menyambut firman itu lalu mendatangkan hasil: tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.’

Ibarat tentang pelita

21Isa berkata pula, ‘Pernahkah orang memasang pelita lalu meletakkannya di bawah pasu atau katil? Tentu diletakkannya di atas kaki pelita.

22Yang tersembunyi akan dinyatakan, yang dirahsiakan akan didedahkan.

23Jika kamu bertelinga, dengarlah.’

24Selepas itu Isa berkata, ‘Perhatikan apa yang kamu dengar. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu, malah lebih berat lagi.

25Sesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak ada, sedikit yang ada padanya pun akan diambil daripadanya.’

Ibarat tentang benih yang tumbuh

26Isa berkata seterusnya, ‘Kerajaan Allah ibarat seorang yang menabur benih di ladangnya.

27Malam dia tidur, siang dia bekerja. Benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Dia tidak faham bagaimana hal itu terjadi.

28Tanahlah yang menumbuhkan tanaman hingga berbuah

29Setelah masak, buahnya dituai oleh orang itu kerana musim menuai telah tiba.’

Ibarat tentang biji sesawi

30‘Bagaimanakah kerajaan Allah?’ kata Isa lagi. ‘Apakah ibarat yang dapat digunakan untuk menjelaskannya?

31Keadaannya seperti biji sesawi yang ditabur di tanah, iaitu benih terkecil di dunia.

32Tetapi apabila ditabur, benih itu tumbuh dan menjadi tumbuhan yang terbesar. Dahannya begitu rimbun sehingga burung membuat sarang di bawah keteduhannya.’

33Dengan banyak ibarat yang semacam itu Isa mengajar tentang firman kepada mereka, setakat yang dapat mereka faham.

34Dia tidak berkata-kata kepada mereka tanpa ibarat. Tetapi apabila Dia sendirian dengan para pengikut-Nya, Dia menerangkan segala-galanya.

Angin ribut diredakan

35Pada petang itu juga, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah kita pergi ke seberang sana.’

36Ketika itu Isa di dalam perahu. Para pengikut-Nya meninggalkan orang ramai itu di pantai lalu belayar bersama-Nya. Ada beberapa perahu lain yang belayar bersama-sama.

37Lalu angin bertiup kencang dan ombak melanda perahu sehingga hampir dipenuhi air.

38Ketika itu Isa sedang tidur di bahagian belakang perahu, kepala-Nya beralaskan bantal. Para pengikut-Nya mengejutkan Dia lalu berkata, ‘Tuan Guru, tidakkah Engkau peduli? Kita hampir karam!’

39Isa bangun lalu memarahi angin dan berkata kepada ombak, ‘Diam! Tenanglah!’ Angin pun reda dan laut menjadi tenang.

40Kemudian Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Mengapa kamu begitu takut? Mengapa kamu masih tidak percaya?’

41Mereka berasa gerun lalu berkata sesama sendiri, ‘Siapakah Dia ini? Angin dan ombak pun taat kepadanya!’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Markus 4 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran