Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 9 >> 

1Isa berkata lagi, ‘Sesungguhnya, ada beberapa orang di sini yang tidak akan mati sebelum melihat kerajaan Allah datang dengan kuasa.’

Penjelmaan

2Enam hari kemudian, Isa membawa Petrus, Yakobus, dan Yahya, pergi ke sebuah gunung yang tinggi di mana mereka bersendirian. Di situ Isa berubah rupa di depan mata mereka.

3Pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan laksana salji, tiada siapa di bumi ini dapat memutihkan kain sehingga seputih itu.

4Ilyas dan Musa muncul di hadapan mereka lalu berkata-kata dengan Isa.

5Lalu Petrus berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah

6(Sebenarnya Petrus tidak tahu apa yang hendak dikatakannya, kerana ketiga-tiganya ketakutan.)

7Segumpal awan datang menaungi mereka. Suatu suara terdengar dari dalam awan itu, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi. Dengarlah kata-kata-Nya!’

8Tiba-tiba, ketika mereka memandang sekeliling, mereka tidak lagi melihat sesiapa di situ bersama mereka, selain Isa.

9Sewaktu berjalan turun dari gunung itu, Isa memperingatkan mereka supaya tidak memberitahu sesiapa segala yang telah mereka lihat, sehingga Putera Insan bangkit daripada kematian.

10Mereka mentaati pesan itu, sambil tertanya-tanya apa maksud ‘bangkit daripada kematian.’

11Mereka bertanya kepada Isa, ‘Mengapa guru-guru Taurat berkata Ilyas mesti datang dulu?’

12Isa menjawab, ‘Benar, Ilyas akan datang dulu dan memulihkan segala-galanya. Tetapi bagaimana dengan apa yang tersurat tentang Putera Insan, bahawa Dia akan banyak menanggung penderitaan dan penghinaan?

13Aku berkata kepadamu, Ilyas sudahpun datang dan orang memperlakukannya sesuka hati, tepat seperti yang tersurat tentang dirinya.’

Isa menyembuhkan seorang anak lelaki yang bisu

14Apabila mereka pulang mendapatkan para pengikut yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan para pengikut Isa.

15Sebaik-baik orang ramai itu melihat Isa, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya.

16Isa bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?’

17Seorang daripada orang ramai itu menjawab, ‘Tuan Guru, aku membawa anakku kepada pengikut-pengikut-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu.

18Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon pengikut-pengikut-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.’

19Isa berkata kepada mereka, ‘Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lamakah aku mesti tinggal bersamamu? Berapa lamakah aku harus bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.’

20Mereka pun membawa anak itu kepada Isa. Sebaik-baik roh itu melihat Isa, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih.

21Isa bertanya kepada bapa anak itu, ‘Sejak bila dia begini?’ Bapa anak itu menjawab, ‘Sejak dia kecil lagi.

22Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.’

23Isa berkata kepadanya, ‘Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.’

24Bapa itu segera berseru, ‘Aku percaya; tolonglah agar aku lebih percaya lagi!’

25Ketika Isa melihat orang ramai datang berkerumun, Dia memerintah roh durjana itu, ‘Hai roh bisu tuli, Aku perintahkan kamu keluar daripada anak ini dan jangan memasukinya lagi.’

26Roh itu menjerit dan membuat tubuh anak itu terkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat lalu semua orang berkata, ‘Dia sudah mati.’

27Tetapi Isa memegang tangannya dan menolongnya bangun. Anak itu pun berdiri.

28Selepas itu Isa masuk ke rumah. Ketika tiada lagi orang lain di situ, para pengikut-Nya bertanya kepada-Nya, ‘Mengapa kami tidak dapat menghalau roh itu?’

29Isa menjawab, ‘Jenis ini tidak dapat dihalau dengan cara apapun, kecuali dengan doa.’

30Setelah itu Isa dan para pengikut-Nya beredar dari situ dan meneruskan perjalanan melalui Galilea. Dia tidak mahu orang tahu Dia di mana

31kerana Dia sedang mengajar para pengikut-Nya. Dia berkata kepada mereka, ‘Putera Insan akan diserahkan ke dalam tangan manusia dan akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari Dia akan bangkit semula.’

32Mereka tidak faham erti kata-kata itu tetapi takut hendak bertanya kepada Isa.

Siapa yang terbesar?

33Mereka tiba di Kapernaum. Setelah tiba di rumah, Isa bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Apa yang kamu persoalkan di jalan tadi?’

34Mereka tidak menjawab, kerana dalam perjalanan mereka telah mempersoalkan siapa yang terbesar.

35Isa duduk lalu memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu. Dia berkata kepada mereka, ‘Kalau sesiapa ingin menjadi yang pertama, dia mestilah menjadi yang terakhir dan hamba kepada semua orang.’

36Selepas itu Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Dia mendakap kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka,

37‘Sesiapa yang menerima kanak-kanak seperti ini kerana-Ku, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Allah yang mengutus-Ku.’

Menghalau roh iblis

38Yahya berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami melihat seorang lelaki menghalau roh-roh iblis dengan nama-Mu, lalu kami larang dia, kerana dia bukan dalam kumpulan kita.’

39Tetapi Isa berkata, ‘Jangan larang dia, kerana seseorang yang melakukan mukjizat dengan nama-Ku tidak mungkin mencela-Ku sejurus selepas itu.

40Orang yang tidak menentang kita, memihak kepada kita.

41Sesiapa yang memberimu secawan air dalam nama-Ku, kerana kamu pengikut al-Masih, sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, dia pasti akan mendapat ganjarannya.

Menyebabkan orang lain berdosa

42‘Tetapi sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak yang percaya kepada-Ku ini berdosa, maka lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia dicampakkan ke dalam laut.

43Jika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan kudung sebelah tangan, daripada mempunyai dua tangan tetapi terhumban ke neraka.

44Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.

45Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu. Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan pincang, daripada memiliki dua kaki tetapi terhumban ke neraka.

46Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.

47‘Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu keluar. Lebih baik kamu memasuki kerajaan Allah dengan sebelah mata sahaja, daripada memiliki dua mata tetapi terhumban ke neraka.

48Di sana ‘“cacingnya tidak akan mati, dan apinya tidak akan padam.”’

49‘Setiap orang akan disaluti api.

50‘Garam itu baik, tetapi jika hilang rasanya, bagaimana kamu dapat mengembalikan rasanya? Adakanlah garam pengukuh dalam dirimu, dan hiduplah rukun damai sesamamu.’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Markus 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2018
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran