Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Korintus 7 >> 

Soalan tentang Perkahwinan

1Sekarang aku akan membincangkan masalah yang kamu tulis kepadaku. Jika seorang lelaki tidak berkahwin, hal itu baik.

2Tetapi supaya tidak tergoda untuk melakukan perbuatan yang cabul, lebih baik setiap lelaki mempunyai isteri masing-masing dan setiap wanita mempunyai suami masing-masing.

3Seorang suami harus memenuhi kewajipannya sebagai suami kepada isterinya, dan seorang isteri harus memenuhi kewajipannya sebagai isteri kepada suaminya. Masing-masing harus memenuhi kewajipannya kepada yang lain.

4Seorang isteri tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi suaminya yang berkuasa atas tubuhnya. Begitu juga seorang suami tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi isterinya yang berkuasa atas tubuhnya.

5Janganlah saling jauhkan diri dalam hubungan sebagai suami isteri, kecuali kedua-dua belah pihak bersetuju, dan hanya untuk sementara waktu, supaya masing-masing dapat berdoa dengan tekun. Tetapi setelah itu kamu harus melanjutkan hubungan sebagai suami isteri. Dengan demikian Iblis tidak dapat menyebabkan kamu berdosa kerana kamu tidak dapat menahan nafsu.

6Aku mengatakan hal ini bukan sebagai perintah, melainkan sebagai nasihat.

7Sebenarnya aku lebih suka jika kamu semua menjadi seperti aku. Tetapi setiap orang sudah menerima kurnia yang khas daripada Allah. Seorang mempunyai kurnia ini, dan yang lain mempunyai kurnia itu.

8Kepada mereka yang belum berkahwin dan kepada wanita yang sudah menjadi balu, inilah nasihatku: Lebih baik kamu tetap hidup sendirian seperti aku.

9Tetapi jika kamu tidak dapat menahan nafsu, maka berkahwinlah. Lebih baik kamu berkahwin daripada nafsu berahi kamu berkobar-kobar.

10Kepada mereka yang sudah berkahwin, beginilah perintahku. Sebenarnya bukan aku yang memberikan perintah ini, tetapi Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya.

11Tetapi jika seorang isteri meninggalkan suaminya, dia harus tetap tidak bersuami, atau dia kembali kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya.

12Kepada yang lain aku berkata begini (ini nasihatku sendiri, bukan nasihat Tuhan): Jika seorang lelaki Kristian mempunyai isteri yang bukan Kristian, dan isterinya itu bersetuju hidup bersama-sama dia, orang itu tidak boleh menceraikan isterinya.

13Jika seorang wanita Kristian mempunyai suami yang bukan Kristian, dan suaminya bersetuju hidup bersama-sama dia, maka isteri itu tidak boleh menceraikan suaminya.

14Seorang suami yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan isteri yang percaya kepada Kristus. Begitu juga seorang isteri yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan suami yang percaya kepada Kristus. Jika tidak demikian halnya, anak-anak mereka akan menjadi seperti anak-anak orang yang tidak mengenal Allah. Sebenarnya anak-anak itu diterima oleh Allah.

15Tetapi jika seorang yang bukan Kristian ingin meninggalkan isteri atau suaminya yang Kristian, biarlah dia berbuat demikian. Dalam hal yang demikian, suami atau isteri yang Kristian itu bebas membuat pilihan, tetapi Allah mahu kamu hidup damai.

16Hai isteri yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan suami kamu? Begitu juga, hai suami yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan isteri kamu?

Hiduplah Sebagaimana Kamu Dipimpin oleh Tuhan

17Hendaklah masing-masing hidup menurut pimpinan Tuhan seperti yang sudah ditentukan Tuhan baginya, semasa Allah memanggil dia. Inilah peraturan yang aku ajarkan kepada jemaah.

18Umpamanya, jika seseorang sudah bersunat semasa Allah memanggilnya, maka orang itu tidak boleh mencuba menghapuskan tanda sunat itu. Begitu juga jika seseorang tidak bersunat semasa Allah memanggilnya, orang itu tidak usah minta disunat.

19Tidaklah penting sama ada orang bersunat atau tidak. Yang penting adalah mentaati perintah Allah.

20Hendaklah tiap-tiap orang tetap hidup dalam keadaan seperti pada masa Allah memanggilnya dahulu.

21Jika kamu hamba, semasa dipanggil oleh Allah, janganlah hal ini menyusahkan hati kamu. Tetapi jika kamu mendapat peluang untuk menjadi orang bebas, gunakanlah peluang itu.

22Hamba yang percaya kepada Tuhan, menjadi orang bebas di sisi Tuhan. Demikian juga orang bebas yang percaya kepada Kristus, menjadi hamba Kristus.

23Allah sudah membeli kamu dan membayar harganya dengan lunas. Oleh itu, janganlah jadi hamba manusia.

24Saudara-saudaraku, hendaklah setiap orang hidup bersama-sama Allah seperti dalam keadaan pada waktu dipanggil oleh Allah.

Tentang Orang yang Belum Berkahwin dan Wanita Balu

25Aku tidak menerima perintah daripada Tuhan tentang orang yang belum berkahwin. Tetapi biarlah aku menasihati kamu, kerana oleh belas kasihan Tuhan, aku patut dipercayai.

26Memandangkan segala kesusahan yang mengancam sekarang ini, aku berpendapat lebih baik seorang lelaki hidup dalam keadaannya seperti sekarang.

27Jika kamu sudah beristeri, janganlah cuba ceraikan isterimu. Jika kamu belum beristeri, janganlah berkahwin.

28Tetapi jika kamu berkahwin, kamu tidak berdosa. Begitu juga jika seorang gadis berkahwin, dia tidak berdosa. Tetapi orang yang berkahwin menghadapi banyak kesusahan, dan aku ingin kamu terhindar daripada kesusahan itu.

29Saudara-saudaraku, maksudku begini: Kita tidak mempunyai banyak masa. Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri hendaklah hidup seolah-olah dia tidak beristeri;

30orang yang menangis hendaklah hidup seolah-olah tidak berdukacita; orang yang tertawa hendaklah hidup seolah-olah tidak gembira; orang yang membeli barang hendaklah bersikap seolah-olah tidak memiliki barang yang dibeli;

31orang yang berurusan dengan hal-hal dunia, hendaklah hidup seolah-olah tidak sibuk dengan hal-hal itu. Kamu harus berbuat demikian kerana dunia dalam keadaan yang sekarang, akan segera lenyap.

32Aku mahu kamu bebas daripada kekhuatiran. Seorang yang tidak beristeri akan menumpukan perhatian kepada hal-hal Tuhan, kerana dia ingin menyenangkan hati Tuhan.

33Tetapi seorang yang beristeri menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia ini, kerana dia ingin menyenangkan hati isterinya.

34Akibatnya, hatinya berbelah bagi. Seorang wanita yang tidak bersuami, atau seorang gadis yang tidak berkahwin menumpukan perhatian kepada hal-hal Tuhan, kerana dia ingin mengabdikan seluruh jiwa raga kepada Tuhan. Tetapi seorang wanita yang sudah bersuami menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia ini, kerana dia ingin menyenangkan hati suaminya.

35Aku memberikan nasihat demikian kerana aku ingin menolong kamu. Aku tidak mahu mengadakan larangan ini itu bagi kamu. Sebaliknya aku ingin kamu melakukan apa yang benar dan patut, serta mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuh hati.

36Inilah nasihat untuk pasangan yang sudah bertunang, tetapi mengambil keputusan untuk tidak berkahwin. Jika lelaki itu merasa tidak bertindak dengan sepatutnya terhadap tunangnya dan jika dia tidak dapat menahan nafsunya, serta merasa harus berkahwin dengan gadis itu, hendaklah dia melakukan apa yang dikehendakinya. Dia tidak berdosa, jika mereka berkahwin.

37Tetapi jika seorang lelaki, tanpa paksaan sesiapa pun, mengambil keputusan untuk tidak berkahwin dengan tunangnya, dan jika dia dapat mengawal nafsunya dengan baik serta tahu akan apa yang hendak dilakukannya, maka lebih baik dia tidak berkahwin dengan tunangnya.

38Dengan demikian orang yang berkahwin, melakukan perbuatan yang baik. Tetapi orang yang tidak berkahwin, melakukan perbuatan yang lebih baik.

39Seorang wanita yang sudah berkahwin, terikat kepada suaminya hanya selama suaminya hidup. Setelah suaminya meninggal, wanita itu bebas berkahwin lagi dengan orang yang disukainya; tetapi lelaki itu haruslah seorang Kristian.

40Tetapi wanita itu akan lebih berbahagia jika dia tidak berkahwin lagi. Hal ini pendapatku sendiri, tetapi aku berpendapat bahawa aku dipimpin oleh Roh Allah.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (1 Korintus 7):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  1 Korintus 7 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel