Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Raja-raja 13 >> 

1Pada masa itu, ada seorang nabi dari Yehuda. Dia disuruh oleh TUHAN untuk pergi ke Betel. Nabi itu tiba di sana ketika Raja Yerobeam berdiri di depan mazbah untuk mempersembahkan korban.

2Atas perintah TUHAN, nabi itu mengecam mazbah di sana, katanya, "Hai mazbah, mazbah, demikianlah firman TUHAN: Seorang anak yang bernama Yosia akan dilahirkan dalam keluarga Raja Daud. Di atasmu, hai mazbah, dia akan menyembelih imam-imam yang bertugas di tempat penyembahan berhala, dan yang mempersembahkan korban di atasmu. Dia akan membakar tulang-tulang manusia di atasmu."

3Nabi itu meneruskan lagi, "Mazbah ini akan roboh, dan abu yang ada di atasnya akan bertaburan. Itulah buktinya bahawa TUHAN telah berfirman melalui aku."

4Apabila Raja Yerobeam mendengar hal itu, baginda bertitah sambil menunjuk nabi itu, "Tangkap dia!" Ketika itu juga lengan raja menjadi kejang sehingga baginda tidak dapat menariknya semula.

5Mazbah itu tiba-tiba roboh dan abunya bertaburan di tanah, seperti yang dinubuatkan oleh nabi itu atas nama TUHAN.

6Raja Yerobeam bertitah kepada nabi itu, "Tolonglah berdoa kepada TUHAN, Allahmu untuk beta, dan mintalah supaya Dia menyembuhkan lengan beta!" Nabi itu berdoa kepada TUHAN, maka lengan raja disembuhkan.

7Lalu raja bertitah kepada nabi itu, "Marilah makan di rumah beta. Beta akan menghadiahi kamu bagi jasamu itu."

8Nabi itu menjawab. "Walaupun tuanku memberi hamba separuh daripada harta tuanku, hamba tidak akan ikut tuanku, atau makan minum bersama-sama tuanku.

9TUHAN telah memerintah hamba supaya tidak makan atau minum apa pun dan tidak pulang mengikut jalan hamba datang dahulu."

10Demikianlah nabi itu tidak pulang mengikut jalan yang diikutinya dahulu, tetapi mengambil jalan yang lain.

Seorang Nabi Tua di Betel

11Pada masa itu, ada seorang nabi tua yang tinggal di Betel. Anak-anaknya datang memberitahu dia apa yang telah dibuat oleh nabi dari Yehuda pada hari itu di Betel, dan apa yang telah dikatakannya kepada Raja Yerobeam.

12Nabi tua itu bertanya kepada anak-anaknya, "Nabi dari Yehuda itu mengambil jalan yang mana ketika dia pulang?" Mereka menunjukkan jalan yang diikuti nabi itu kepadanya.

13Nabi tua itu menyuruh anak-anaknya memasang pelana pada keldainya. Setelah mereka berbuat demikian, dia menunggang keldai itu

14lalu mengejar nabi dari Yehuda itu. Kemudian dia menjumpai nabi itu sedang duduk di bawah sepohon pokok besar. Nabi tua itu bertanya kepadanya, "Kamukah nabi dari Yehuda itu?" "Ya," jawab nabi itu.

15"Marilah pulang dan makan bersama-sama saya," kata nabi tua itu.

16Tetapi nabi dari Yehuda itu menjawab, "Saya tidak boleh ikut tuan, atau masuk ke rumah tuan. Saya tidak boleh minum atau makan apa-apa di sini.

17TUHAN telah melarang saya makan atau minum apa-apa pun, dan melarang saya pulang mengikut jalan saya datang dahulu."

18Lalu nabi tua dari Betel itu berkata kepadanya, "Saya pun seorang nabi seperti kamu. Atas perintah TUHAN, satu malaikat menyuruh saya membawa kamu pulang dan menjamu kamu di rumah saya." Sebenarnya nabi tua itu berbohong.

19Oleh itu nabi dari Yehuda itu mengikut dia pulang dan makan bersama-samanya.

20Sedang mereka makan, TUHAN berfirman kepada nabi tua itu,

21lalu dia menyampaikan firman itu kepada nabi yang dari Yehuda, "TUHAN berfirman bahawa kamu tidak taat kepada-Nya, dan bahawa kamu tidak melakukan perintah-Nya.

22Sebaliknya, kamu balik dan makan di tempat yang telah dilarang-Nya. Oleh itu kamu akan dibunuh, dan mayatmu tidak akan dikebumikan di perkuburan keluargamu."

23Setelah makan, nabi tua itu memasang pelana keldai untuk nabi dari Yehuda,

24lalu nabi itu pun pergi. Di tengah jalan, seekor singa menerkam dia dan membunuhnya. Mayatnya terletak di tengah jalan, sementara keldai dan singa itu berdiri di sisinya.

25Beberapa orang yang lalu di situ nampak mayat itu dan singa yang berdiri di sisinya. Mereka pergi ke Betel dan melaporkan hal itu.

26Apabila nabi tua itu mendengarnya, dia berkata, "Itulah nabi yang tidak taat kepada perintah TUHAN! Oleh itu TUHAN mengirim seekor singa untuk menerkam dan membunuhnya, seperti yang difirmankan TUHAN."

27Setelah itu dia berkata kepada anak-anaknya, "Pasanglah pelana keldaiku." Mereka pun berbuat demikian.

28Dia menunggang keldainya, lalu pergi. Dia menjumpai mayat nabi itu terlentang di tengah jalan, dan keldai serta singa berdiri di sisinya. Singa itu tidak makan mayat itu ataupun menerkam keldai.

29Nabi tua itu mengangkat mayat itu, meletakkannya di atas keldainya, lalu membawanya pulang ke Betel. Dia meratapinya lalu mengebumikannya di perkuburan keluarganya sendiri. Dia dan anak-anaknya meratapinya, dan berkata, "Kasihan engkau, hai saudaraku, saudaraku!"

30(13:29)

31Kemudian nabi itu berkata kepada anak-anaknya, "Apabila aku meninggal, kuburlah aku di kubur ini, dan letakkanlah mayatku di sisi mayatnya.

32Firman TUHAN yang disampaikannya terhadap mazbah di Betel itu dan semua tempat sembahyang di kota-kota Samaria pasti akan berlaku."

Raja Yerobeam Berbuat Dosa

33Raja Yerobeam, di Israel masih tidak meninggalkan perbuatannya yang jahat. Baginda tetap memilih imam daripada keluarga bukan suku Lewi untuk bertugas di mazbah-mazbah yang dibinanya. Raja melantik sesiapa sahaja yang mahu menjadi imam.

34Dosa raja ini membawa keruntuhan dan kemusnahan pemerintahan keturunannya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Raja-raja 13 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel