Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Samuel 22 >> 

Nyanyian Kemenangan Raja Daud

1Selepas TUHAN menyelamatkan Daud daripada Raja Saul dan musuh-musuhnya yang lain, Daud menyanyikan lagu ini bagi TUHAN:

2TUHAN ialah pelindungku; Dia bagaikan kubu yang kuat bagiku.

3Allahku tempat perlindunganku, aku selamat bersama dengan Dia. Dia melindungi aku seperti perisai; Dia membela dan menjaga aku supaya aku selamat. Dialah penyelamatku; Dia melindungi aku dan menyelamatkan aku daripada keganasan.

4Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku.

5Ombak maut mengelilingi aku, banjir kebinasaan menggenangi aku.

6Bahaya maut mengelilingi aku, dan kubur memasang perangkap untukku.

7Dalam kesusahan aku berseru kepada TUHAN; Aku berseru kepada Allahku minta pertolongan. Di dalam Rumah-Nya Dia mendengar suaraku; Dia memperhatikan seruanku.

8Kemudian bumi bergegar dan bergoncang; dasar langit bergetar dan bergoyang, kerana Allah murka!

9Asap berhembus dari hidung-Nya, api dan bara keluar dari mulut-Nya.

10Dia membelah langit lalu turun dengan awan gelap di bawah kaki-Nya.

11Dia terbang laju dengan mengendarai kerub; Dia melayang di atas sayap angin.

12Dia menyelubungi diri-Nya dengan kegelapan; awan mendung yang tebal mengelilingi Dia;

13Bara api menyala-nyala dari kilat yang di hadapan-Nya.

14Kemudian TUHAN mengguntur dari angkasa, dan Yang Maha Tinggi memperdengar suara-Nya.

15Dia melepaskan anak panah-Nya, dan mencerai-beraikan musuh-Nya. Dia memancarkan kilat sehingga menyebabkan mereka lari.

16Dasar lautan tersingkap, dan asas bumi terdedah, ketika TUHAN menegur musuh-Nya, dan bertempik dengan murka terhadap mereka.

17Dari atas TUHAN menghulurkan tangan-Nya, Dia memegang aku, lalu menarik aku keluar dari air yang dalam.

18Dia menyelamatkan aku daripada musuhku yang kuat, dan daripada mereka yang membenci aku, kerana mereka terlalu kuat bagiku.

19Ketika aku dalam kesusahan, mereka menyerang aku, tetapi TUHAN melindungi aku.

20Dia melepaskan aku daripada bahaya; Dia menyelamatkan aku kerana Dia berkenan kepadaku.

21TUHAN mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar; Dia memberkati aku kerana aku tidak bersalah.

22Aku mematuhi Taurat TUHAN; aku tidak meninggalkan Allahku.

23Aku telah mentaati segala hukum-Nya; aku tidak pernah mengingkari perintah-Nya.

24Dia tahu bahawa aku tidak bercela, dan aku menjauhkan diri daripada kesalahan.

25Oleh itu Dia mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar, kerana Dia tahu bahawa aku tidak bersalah.

26Ya TUHAN, Engkau setia kepada orang yang setia kepada-Mu, dan Engkau sangat baik kepada orang yang baik.

27Engkau menyatakan diri-Mu suci kepada orang yang suci, tetapi Engkau memusuhi orang yang jahat.

28Engkau menyelamatkan orang yang rendah hati, tetapi Engkau merendahkan orang yang sombong.

29Ya TUHAN, Engkaulah cahayaku; Engkau menerangi kegelapanku.

30Engkau memberi aku kekuatan untuk menyerang musuhku, dan kuasa untuk menembusi pertahanan mereka.

31Betapa sempurnanya perbuatan Allah ini, firman TUHAN dapat dipercayai. Dia umpama perisai bagi semua orang yang berlindung pada-Nya.

32TUHAN satu-satunya Allah; hanya Allah pembela kita.

33Dialah Allah yang melindungi aku; Dia menjadikan jalanku aman.

34Dia menguatkan kakiku seperti kaki rusa; Dia menjaga keselamatanku di pergunungan.

35Dia melatih aku untuk berperang, supaya aku dapat melengkungkan busur yang terkuat.

36Ya TUHAN, Engkau melindungi dan menyelamatkan aku; pertolongan-Mu telah menjadikan aku agung.

37Engkau menjaga aku supaya aku tidak ditawan, dan aku tidak pernah jatuh.

38Aku mengejar musuhku dan mengalahkan mereka; aku tidak berhenti sebelum aku membinasakan mereka.

39Aku memukul mereka sehingga mereka tidak dapat bangun; mereka rebah kerana kalah di hadapanku.

40Engkau memberi aku tenaga untuk bertempur, dan kemenangan atas musuhku.

41Engkau menyebabkan musuh lari daripadaku; aku membinasakan orang yang membenci aku.

42Mereka mencari pertolongan, tetapi tiada sesiapa pun menyelamatkan mereka; mereka berseru kepada TUHAN, tetapi Dia tidak menjawab.

43Aku menghancurkan mereka, sehingga mereka menjadi seperti debu; Aku memijak-mijak mereka seperti lumpur di jalan.

44Engkau menyelamatkan aku daripada umat yang memberontak, dan menjadikan aku pemerintah bangsa-bangsa; bangsa yang tidak aku kenal kini menjadi rakyatku.

45Bangsa asing tunduk kepadaku, dan taat apabila mereka mendengar perintahku.

46Mereka hilang keberanian; mereka gementar dan keluar dari kubu pertahanan.

47TUHAN hidup! Pujilah pembelaku! Isytiharkanlah keagungan Allah Penyelamatku!

48Dia memberi aku kemenangan atas musuhku; Dia menaklukkan bangsa-bangsa di hadapanku,

49dan menyelamatkan aku daripada lawanku. Ya TUHAN, Engkau memberi aku kemenangan atas musuhku, dan melindungi aku daripada orang ganas.

50Oleh itu aku memuji Engkau di kalangan bangsa-bangsa; aku menyanyikan lagu pujian untuk-Mu.

51Allah memberikan kemenangan besar kepada raja pilihan-Nya; Dia tetap mengasihi orang yang dilantik-Nya, iaitu Daud dan keturunannya, untuk selama-lamanya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Samuel 22 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel