Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Amos 7 >> 

PENGLIHATAN TENTANG HUKUMAN DARIPADA TUHAN Belalang

1Aku mendapat suatu penglihatan daripada TUHAN Raja. Dalam penglihatan itu aku nampak Dia mencipta suatu kawanan belalang setelah orang selesai memotong rumput untuk raja. Pada masa itu rumput mula tumbuh lagi.

2Kawanan belalang itu memakan habis semua tumbuhan di tanah. Kemudian aku berkata, "Ya TUHAN Raja, ampunilah umat-Mu! Bagaimana mungkin mereka dapat bertahan? Mereka sangat kecil dan lemah!"

3TUHAN mengubah fikiran-Nya dan berfirman, "Hal yang engkau nampak itu tidak akan berlaku."

Api

4Aku mendapat suatu penglihatan lagi daripada TUHAN Raja. Aku nampak Dia sedang bersedia untuk menghukum umat-Nya dengan api. Api itu menghanguskan lautan besar di bawah bumi dan mula membakar tanah.

5Kemudian aku berkata, "Ya TUHAN Raja, tolong hentikan api itu! Bagaimana mungkin umat-Mu dapat bertahan? Mereka sangat kecil dan lemah!"

6TUHAN mengubah fikiran-Nya lagi dan berfirman, "Hal ini pun tidak akan berlaku."

Tali Unting

7Aku mendapat suatu penglihatan lain daripada Tuhan. Aku nampak Dia berdiri di sisi sebuah tembok yang dibina dengan menggunakan tali unting, dan Dia memegang seutas tali unting.

8Dia bertanya kepadaku, "Amos, apakah yang engkau nampak?" Aku menjawab, "Seutas tali unting." Kemudian Dia berfirman, "Aku menggunakan tali unting ini untuk menunjukkan bahawa umat-Ku seperti tembok yang tidak tegak. Aku tidak akan mengubah fikiran-Ku lagi; Aku akan menghukum mereka.

9Tempat-tempat yang digunakan oleh keturunan Ishak untuk beribadat akan dihancurkan. Tempat-tempat suci orang Israel akan menjadi reruntuhan. Aku akan mengakhiri pemerintahan keluarga Raja Yerobeam."

Amos dan Amazia

10Amazia, imam di Betel, mengirim laporan ini kepada Raja Yerobeam dari Israel, "Amos sedang berpakat dengan rakyat untuk melawan tuanku. Kata-katanya yang menghasut rakyat akan menyebabkan negeri ini hancur.

11Dia berkata, ‘Yerobeam akan terbunuh dalam pertempuran, dan orang Israel akan dibawa ke pembuangan, jauh dari negeri mereka sendiri.’"

12Kemudian Amazia berkata kepada Amos, "Hai nabi, pulanglah ke Yehuda! Bernubuatlah di sana. Biarlah mereka yang memberikan nafkah kepadamu!

13Jangan lagi bernubuat di sini, di Betel. Kota ini khas untuk raja beribadat, iaitu tempat ibadat negara."

14Amos menjawab, "Aku bukan seperti nabi-nabi lain yang bernubuat untuk mendapat upah. Sebenarnya aku seorang penternak dan pemelihara pokok ara.

15Tetapi TUHAN memanggil aku daripada pekerjaan menggembalakan ternak dan menyuruh aku menyampaikan perkhabaran-Nya kepada orang Israel.

16Oleh itu dengarlah firman TUHAN. Oleh sebab Amazia melarang aku bernubuat menentang umat Israel,

17demikianlah firman TUHAN, ‘Isterimu akan menjadi pelacur di jalan-jalan kota dan anak-anakmu dibunuh dalam peperangan. Tanahmu akan dibahagi-bahagi dan diberikan kepada orang lain; engkau sendiri akan meninggal di negeri orang yang tidak mengenal Allah. Penduduk Israel pasti akan dibawa ke pembuangan, jauh dari negeri mereka sendiri.’"


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Amos 7 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel