Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Amsal 14 >> 

1Wanita yang bijak membina rumah tangganya, tetapi wanita yang bodoh meruntuhkan rumah tangganya sendiri.

2Orang yang jujur akan takut dan hormat kepada TUHAN, tetapi orang yang curang menghina Dia.

3Orang bodoh yang sombong terhukum oleh kata-kata mereka, tetapi kata-kata orang bijak melindungi mereka.

4Tanpa lembu untuk membajak tanah, gudang menjadi kosong; tetapi dengan kekuatan lembu, gudang menjadi penuh.

5Saksi yang jujur sentiasa mengatakan yang benar, tetapi saksi yang tidak jujur selalu berdusta.

6Orang sombong tidak akan menjadi bijak, tetapi orang cerdas belajar dengan mudah.

7Jauhkanlah diri daripada orang bodoh; mereka tidak dapat mengajarkan apa-apa.

8Orang yang bijak tahu apa yang harus dilakukannya; orang yang bodoh tertipu oleh kebodohannya sendiri.

9Orang bodoh tidak peduli sama ada dosa mereka diampunkan atau tidak, tetapi orang baik mahu dosa mereka diampunkan.

10Suka duka seseorang dirasakannya sendiri; tiada sesiapa dapat ikut merasakannya.

11Rumah orang baik tetap kukuh, tetapi rumah orang jahat akan roboh.

12Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut.

13Ketawa mungkin dapat menyembunyikan kesedihan, tetapi apabila kegembiraan berakhir, kesedihan tetap ada.

14Orang jahat akan menerima akibat kejahatan mereka, tetapi orang baik akan menerima ganjaran untuk kebaikan mereka.

15Orang bodoh percaya kepada apa-apa sahaja, tetapi orang bijak melangkah dengan hati-hati.

16Orang bijak berhati-hati dan menjauhi kejahatan, tetapi orang bodoh tidak berhati-hati dan bertindak tanpa berfikir dahulu.

17Orang yang lekas marah bertindak dengan bodoh; orang bijak sentiasa bersikap tenang.

18Orang yang tidak berpengetahuan mengalami akibat kebodohan, tetapi orang yang pandai akan bertambah pengetahuan.

19Orang jahat akan tunduk kepada orang yang lurus hati untuk memohon belas kasihan.

20Orang miskin tidak disukai bahkan oleh jiran mereka sendiri, tetapi orang kaya mempunyai banyak kawan.

21Orang yang mengasihani orang miskin akan berbahagia; orang yang menghina orang lain berbuat dosa.

22Orang yang berbuat baik akan dipercayai dan dihormati, tetapi orang yang berbuat jahat melakukan kesalahan.

23Setiap usaha menghasilkan keuntungan; bercakap kosong membuat orang jatuh miskin.

24Orang bijak dipuji kerana kebijaksanaan mereka, tetapi orang bodoh terkenal kerana kebodohan mereka.

25Saksi yang jujur menyelamatkan orang, tetapi saksi yang berdusta mengkhianati orang.

26Hormat dan takut kepada TUHAN memberi seseorang serta keluarganya keyakinan dan keselamatan.

27Jika hendak menjauhkan diri daripada maut, hormatlah dan takutlah kepada TUHAN kerana Dia sumber kehidupan.

28Kebesaran raja bergantung kepada bilangan rakyatnya; tanpa rakyat, raja bukan apa-apa.

29Orang yang bertenang itu bijak, tetapi orang yang cepat marah itu bodoh.

30Hati yang tenang menyihatkan badan, tetapi iri hati bagaikan penyakit barah yang menjadikan tulang reput.

31Sesiapa yang menindas orang miskin, menghina Pencipta mereka; sesiapa yang baik terhadap orang miskin, menghormati Allah.

32Orang jahat binasa kerana kejahatan mereka sendiri; orang baik terlindung kerana ketulusan mereka.

33Hikmat terdapat pada fikiran orang bijak; orang bodoh sama sekali tidak mengenal hikmat.

34Keadilan meninggikan martabat bangsa, tetapi dosa mendatangkan hinaan kepada bangsa.

35Raja berkenan kepada pegawai yang cekap tetapi menghukum orang yang gagal menjalankan tugas.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Amsal 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel