Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Ayub 30 >> 

1Tetapi kini orang yang lebih muda daripada aku mengejek aku. Dahulu bapa mereka kupandang terlalu hina untuk menjaga dombaku bersama dengan anjing gembala.

2Bagiku mereka tidak berguna, kerana sudah kehabisan tenaga.

3Mereka miskin dan lapar sekali, sehingga mereka makan akar kering di gurun yang sunyi.

4Mereka mencabut belukar di gurun, lalu makan daun dan akarnya.

5Semua orang menghalau mereka dengan tengkingan, seperti orang mengusir pencuri.

6Mereka terpaksa tinggal di dalam gua, lubang-lubang di tebing gunung menjadi rumah mereka.

7Di hutan mereka meraung seperti binatang, dan berhimpit-himpit di bawah belukar.

8Mereka sekumpulan orang yang tidak berguna sama sekali! Mereka telah dihalau dari negeri ini.

9Tetapi kini mereka datang dan mentertawakan aku; aku menjadi bahan tertawaan mereka.

10Mereka membenci dan menghina aku, bahkan mereka meludahi mukaku.

11Oleh sebab Allah telah membuat aku lemah dan tidak berdaya, aku dilawan mereka dengan segala keganasan.

12Gerombolan itu menyerang aku dari depan; dan kejatuhanku dirancang oleh mereka.

13Mereka menyekat jalanku dan menjatuhkan aku; dan tidak seorang pun menghalangi mereka.

14Mereka memecahkan tembok pertahananku; beramai-ramai mereka masuk dengan meluru.

15Ketakutan meliputi aku; kehormatanku hilang seperti hembusan angin dan harapanku untuk menang, hilang seperti awan.

16Kini hampir matilah aku; penderitaan mencengkam aku.

17Pada waktu malam semua tulangku sakit sekali, dan kesakitan yang menusuk tidak kunjung berhenti.

18Allah mencekau aku pada leher bajuku dan merenyukkan pakaianku.

19Dia menghempaskan aku ke dalam lumpur, dan aku menjadi seperti kotoran.

20Aku berseru kepada-Mu, ya Allah, tetapi Engkau tidak memberikan jawapan; dan apabila aku berdoa, Engkau tidak memperhatikan.

21Engkau bersikap kejam terhadapku; Engkau menganiaya aku dengan segenap kekuatan-Mu.

22Engkau membiarkan angin menerbangkan aku, dan angin ribut mengumbang-ambingkan aku.

23Aku tahu bahawa Engkau membawa aku ke alam kematian, kepada kesudahan yang mesti dihadapi setiap orang.

24Mengapakah Engkau menyerang orang yang malang, yang tidak dapat berbuat apa-apa lagi kecuali mohon belas kasihan?

25Tidakkah aku menangis bersama-sama orang dalam kesusahan, dan mengasihani orang yang berkekurangan?

26Aku mengharapkan kebahagiaan dan cahaya, tetapi kesusahan dan kegelapan yang datang.

27Aku dihancurkan oleh kegelisahan dan kesakitan; hari demi hari aku menghadapi penderitaan.

28Dalam kegelapan, tanpa cahaya aku berkeliaran; aku berdiri di khalayak ramai dan minta pertolongan.

29Suaraku sedih dan penuh hiba, seperti lolong serigala atau bunyi burung unta.

30Kulitku menjadi hitam; tubuhku terbakar oleh demam.

31Dahulu aku mendengar muzik gembira, tetapi kini hanya ratapan tangis belaka.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ayub 30 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel