Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Ayub 38 >> 

Jawapan TUHAN kepada Ayub

1Kemudian dari angin ribut, TUHAN berfirman kepada Ayub,

2"Siapakah engkau, sehingga berani menyoal hikmat-Ku dengan kata-kata yang bodoh dan kosong itu?

3Sekarang, bersedialah untuk menghadapi Aku, dan jawablah soalan-soalan-Ku.

4Adakah engkau hadir ketika Aku mencipta dunia? Jika engkau sangat pandai, jawablah.

5Siapakah yang menentukan keluasan dunia? Siapakah yang merentangkan tali ukur untuk mengukurnya? Tahukah engkau jawapannya?

6Apakah yang menyangga tiang-tiang bumi? Siapakah yang meletakkan batu penjuru dunia ini,

7pada waktu bintang-bintang pagi bernyanyi bersama-sama, dan makhluk-makhluk syurga bersorak gembira?

8Siapakah yang menutup pintu untuk membendung samudera ketika air memancar keluar dari rahim bumi?

9Akulah yang meliputi laut dengan awan dan menyelimutinya dengan kegelapan.

10Aku menentukan sempadan samudera dan dengan pintu berpalang Aku membendungnya.

11Aku memberitahunya, ‘Hingga di sini sahaja, dan tidak lebih jauh lagi! Di sinilah ombakmu yang kuat mesti berhenti.’

12Hai Ayub, pernahkah dalam hidupmu engkau mendatangkan pagi, dan memerintah fajar merekah?

13Pernahkah engkau menyuruh fajar menguasai bumi dan mengebas orang jahat dari tempat mereka bersembunyi?

14Cahaya matahari menampakkan bukit dan lembah sejelas cap pada tanah liat dan lipatan pada jubah.

15Cahaya matahari terlalu cerah untuk orang yang melakukan kejahatan, dan menghalang mereka daripada melakukan keganasan.

16Pernahkah engkau turun ke sumber mata laut? Pernahkah engkau berjalan di dasar laut?

17Pernahkah sesiapa menunjukkan pintu gerbang maut kepada kamu, pintu yang menutup alam maut yang gelap gelita itu?

18Tahukah engkau keluasan dunia? Jawablah, jika engkau tahu segalanya.

19Tahukah engkau asalnya cahaya? Tahukah engkau tempatnya kegelapan?

20Dapatkah engkau menentukan batas di antara kegelapan dan cahaya, ataupun menghantar kedua-dua itu pulang setelah datang?

21Engkau menyangka bahawa engkau tahu jawapan semuanya, seolah-olah engkau hadir ketika Aku menciptakan dunia; tentunya engkau sudah sangat tua!

22Pernahkah engkau melawat ke gudang-gudang-Ku, tempat Aku menyimpan salji dan hujan batu?

23Aku menyediakannya untuk masa kesusahan, untuk hari pertempuran dan peperangan.

24Pernahkah engkau pergi ke tempat matahari terbit, ataupun ke tempat asal angin timur?

25Siapakah yang menggali terusan bagi hujan lebat, dan menyediakan jalan untuk guruh dan kilat?

26Siapakah yang menurunkan hujan ke tempat yang tidak didiami orang?

27Siapakah yang membasahi tanah yang kering dan tandus, sehingga rumput di sana bertunas?

28Adakah hujan mempunyai bapa kandung? Siapakah yang melahirkan embun?

29Adakah air batu mempunyai ibu? Siapakah yang melahirkan embun beku?

30Siapakah yang mengubah air menjadi batu dan menjadikan permukaan laut beku?

31Dapatkah engkau memberkas gugusan Bintang Kartika, ataupun melepaskan ikatan Bintang Orion?

32Dapatkah engkau membimbing bintang-bintang pada setiap musim, dan menuntun Biduk Besar dan Biduk Kecil?

33Tahukah engkau hukum-hukum di cakerawala, dan dapatkah engkau menerapkannya di dunia?

34Dapatkah engkau meneriakkan perintah kepada awan, dan menyuruhnya membasahi engkau dengan hujan?

35Jika engkau memerintah kilat supaya sabung-menyabung, adakah kilat datang kepadamu dan berkata, "Saya, tuan!"?

36Siapakah yang memberitahu burung ibis bahawa Sungai Nil akan banjir? Siapakah yang memberitahu ayam jantan bahawa hujan akan turun?

37Siapakah yang cukup bijak untuk mengira awan, dan mencondongkannya sehingga mencurahkan hujan,

38hujan yang mengeraskan debu menjadi gumpalan, dan tanah menjadi ketulan?

39Dapatkah engkau memburu mangsa untuk singa, dan mengenyangkan anak singa,

40apabila singa bersembunyi di dalam gua, atau menunggu mangsa di dalam sarangnya?

41Siapakah yang memberi makan kepada gagak hitam ketika burung itu merayau mencari makanan, ketika anak-anak burung berseru kepada-Ku meminta makanan?


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ayub 38 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel