Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Efesus 6 >> 

Anak-Anak dan Ibu Bapa

1Hai anak-anak, sebagai pengikut Kristus, kamu harus taat kepada ibu bapa, kerana hal itulah yang seharusnya kamu lakukan.

2"Hormatilah ibu bapamu" adalah perintah pertama daripada Allah yang disertai janji: "supaya kamu hidup bahagia dan berumur panjang di bumi."

3(6:2)

4Hai bapa-bapa, janganlah perlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah. Sebaliknya, didiklah mereka dengan ajaran dan nasihat Tuhan.

Abdi dan Tuan

5Hai abdi, hormatilah tuan kamu dan taatilah mereka dengan sepenuhnya. Lakukanlah semuanya dengan hati yang ikhlas, seperti kamu melakukan apa yang diperintahkan oleh Kristus.

6Janganlah berbuat demikian hanya pada masa kamu diawasi, untuk mendapat pujian mereka. Tetapi sebagai abdi Kristus, kamu harus melakukan kehendak Allah dengan sepenuh hati.

7Lakukanlah kerja kamu sebagai abdi dengan hati yang gembira, seolah-olah kamu bekerja untuk Tuhan, dan bukan hanya untuk manusia.

8Ketahuilah bahawa setiap orang, baik abdi ataupun orang bebas, akan menerima pahala daripada Tuhan bagi semua perbuatan baik yang dilakukannya.

9Hai pemilik abdi, perlakukanlah abdi kamu dengan sepatutnya. Jangan lagi gunakan ancaman. Ketahuilah bahawa kamu dan abdi kamu dimiliki oleh satu tuan, iaitu Tuhan yang di syurga, yang menghakimi semua orang dengan adil.

Perlengkapan Senjata daripada Allah

10Akhirnya, binalah kekuatan kamu dengan menerima kekuatan daripada kuasa Tuhan, kerana kamu hidup bersatu dengan Dia.

11Pakailah seluruh perlengkapan senjata daripada Allah, supaya kamu dapat mempertahankan diri daripada muslihat Iblis yang jahat.

12Hal itu demikian kerana kita tidak berjuang melawan manusia, tetapi melawan segala kuasa jahat di angkasa, iaitu roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah zaman yang gelap ini.

13Oleh itu, sekarang, pakailah seluruh perlengkapan senjata daripada Allah, supaya pada hari yang jahat kamu dapat mempertahankan diri daripada serangan musuh. Dengan demikian setelah kamu berjuang sampai akhir, kamu tidak akan berganjak sedikit pun.

14Oleh itu, kamu harus bersiap sedia! Gunakanlah ajaran benar tentang Allah sebagai tali pinggang dan ketulusan sebagai perisai dada.

15Hendaklah kesediaan untuk mengisytiharkan Berita Baik yang membawa kesejahteraan menjadi seperti kasutmu.

16Hendaklah kamu sentiasa gunakan kepercayaan kamu kepada Allah sebagai perisai di tangan. Dengannya kamu dapat memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat.

17Terimalah penyelamatan daripada Allah sebagai topi besi, dan firman Allah sebagai pedang daripada Roh Allah.

18Lakukanlah semuanya sambil berdoa untuk meminta pertolongan daripada Allah. Berdoalah sentiasa, sebagaimana Roh Allah memimpin kamu. Oleh itu, bersiap sedialah dan janganlah menyerah. Berdoalah sentiasa untuk semua umat Allah.

19Berdoalah untukku juga, supaya Allah memberitahu aku apa yang harus aku katakan, ketika menyampaikan perkhabaran. Berdoalah supaya dengan berani aku dapat memberitahukan rahsia Berita Baik itu.

20Kerana Berita Baik itulah, aku menjadi seorang duta, walaupun aku sekarang dipenjarakan. Berdoalah supaya aku berani berkata-kata tentang Berita Baik itu, sebagaimana yang harus aku lakukan.

Salam Terakhir

21Tikhikus, saudara yang kita kasihi dan hamba yang setia dalam pekerjaan Tuhan, akan memberitahu kamu segala sesuatu tentang aku, supaya kamu mengetahui keadaanku.

22Itulah sebabnya aku mengutus dia kepada kamu untuk memberitahu kamu keadaan kami semua, supaya kamu berbesar hati.

23Semoga Allah Bapa dan Tuhan Yesus Kristus menolong semua orang Kristian hidup rukun, saling mengasihi, dan tetap percaya kepada Kristus.

24Semoga Allah memberkati semua orang yang mengasihi Tuhan kita Yesus Kristus dengan kasih yang tidak kunjung padam.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Efesus 6):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Efesus 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel