Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Hakim-hakim 6 >> 

Gideon

1Sekali lagi umat Israel berdosa terhadap TUHAN. Oleh itu TUHAN membiarkan orang Midian menjajah mereka selama tujuh tahun.

2Orang Midian lebih kuat daripada umat Israel. Itulah sebabnya umat Israel bersembunyi di dalam gua dan tempat lain yang selamat di bukit-bukit.

3Setiap kali orang Israel bercucuk tanam, orang Midian datang bersama dengan orang Amalek dan suku lain dari padang gurun, lalu menyerang orang Israel.

4Mereka berkhemah di negeri Israel lalu memusnahkan semua tanaman di sana sampai ke daerah di sekitar Gaza di selatan. Mereka merampas semua ternakan umat Israel -- domba, lembu, dan keldai. Tidak ada sesuatu pun yang ditinggalkan sehingga umat Israel tidak mempunyai makanan sama sekali.

5Mereka berduyun-duyun datang dengan ternakan dan khemah mereka yang banyak sekali, umpama kawanan belalang yang besar. Mereka dan unta mereka terlalu banyak sehingga tidak dapat dihitung. Mereka datang memusnahkan negeri itu,

6dan umat Israel tidak berdaya menentang mereka.

7Kemudian umat Israel berseru meminta TUHAN menolong mereka melawan orang Midian.

8Oleh itu TUHAN mengutus seorang nabi kepada mereka. Nabi itu berkata, "Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku telah menyelamatkan kamu daripada perhambaan di Mesir.

9Aku telah menyelamatkan kamu daripada orang Mesir dan penduduk negeri ini yang melawan kamu. Aku mengusir mereka ketika kamu menyerang mereka, lalu Aku memberi kamu negeri mereka.

10Aku memberitahu kamu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, dan bahawa kamu tidak boleh menyembah dewa-dewa orang Amori, yang negerinya kamu diami sekarang. Tetapi kamu tidak mentaati firman-Ku.’"

11Kemudian pada suatu hari malaikat TUHAN datang ke pekan Ofra dan duduk di bawah pokok oak kepunyaan Yoas, seorang daripada puak Abiezer. Anak lelaki Yoas yang bernama Gideon sedang mengirik gandum di tempat memeras anggur. Dia melakukan kerja itu dengan sembunyi-sembunyi supaya orang Midian tidak nampak dia.

12Malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Gideon di situ dan berkata, "TUHAN menyertai engkau, hai pemuda yang gagah berani!"

13Gideon berkata kepadanya, "Benarkanlah aku bertanya. Jika TUHAN sungguh menyertai kami, mengapakah segala perkara ini berlaku kepada kami? Di manakah segala perbuatan ajaib yang pernah dilakukan TUHAN dahulu, yang diceritakan oleh nenek moyang kami tentang TUHAN mengeluarkan mereka dari Mesir? Sekarang TUHAN telah meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke tangan orang Midian."

14Kemudian TUHAN memberikan perintah ini kepada Gideon, "Dengan segenap tenagamu, pergilah bebaskan orang Israel daripada orang Midian. Akulah yang mengutus engkau."

15Gideon menjawab, "Tetapi Tuhan bagaimana mungkin aku menyelamatkan umat Israel? Puakku yang paling lemah di kalangan suku Manasye. Lagi pun, akulah yang paling tidak penting dalam keluargaku."

16TUHAN berfirman kepadanya, "Aku akan menolong engkau, kerana itu engkau pasti berjaya. Engkau akan mengalahkan orang Midian seolah-olah engkau berhadapan dengan satu orang sahaja."

17Gideon berkata, "Jika aku betul-betul diperkenan oleh Tuhan, berilah aku bukti bahawa TUHAN yang memberikan perintah itu kepada aku.

18Tolong jangan pergi sebelum aku membawa persembahan untuk Tuhan." Dia menjawab, "Aku akan menunggu sehingga engkau kembali."

19Oleh itu Gideon pulang ke rumah lalu memasak seekor kambing muda. Dia juga mengambil sepuluh kilogram tepung, kemudian membuat roti yang tidak beragi. Dia meletakkan daging itu di dalam bakul dan kuahnya di dalam belanga, lalu membawa semua itu dan menghidangnya kepada malaikat yang sedang menunggu di bawah pokok oak.

20Malaikat TUHAN berkata kepadanya, "Letakkanlah daging dan roti itu di atas batu ini dan tuanglah kuah daging itu ke atas semuanya." Gideon berbuat demikian.

21Kemudian malaikat TUHAN menghulurkan kayu yang dipegangnya, dan menyentuh daging dan roti dengan hujung kayu itu. Batu itu menyala lalu menghanguskan daging dan roti itu. Kemudian malaikat itu hilang dari pandangan.

22Gideon menyedari bahawa yang telah datang kepadanya itu malaikat TUHAN. Dengan takut Gideon berkata, "Ya TUHAN Raja, aku telah berhadapan muka dengan malaikat-Mu!"

23Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, "Janganlah takut. Bertenanglah. Engkau tidak akan mati."

24Gideon membina sebuah mazbah untuk TUHAN di sana dan menamakannya "TUHAN Sumber Kesejahteraan". Sampai sekarang mazbah itu masih ada di Ofra, kota milik puak Abiezer.

25Pada malam itu TUHAN berfirman kepada Gideon, "Ambillah seekor lembu jantan milik bapamu, iaitu lembu jantan yang terbaik yang berumur tujuh tahun. Bongkarlah mazbah yang dibina oleh bapamu untuk Baal, dan robohlah tiang lambang Dewi Asyera yang di sisi mazbah itu.

26Binalah sebuah mazbah yang batunya disusun dengan baik di atas timbunan itu; mazbah itu bagi TUHAN, Allahmu. Kemudian ambillah lembu itu dan bakarlah seluruhnya sebagai korban. Gunakanlah tiang lambang Dewi Asyera yang telah engkau robohkan itu sebagai kayu api."

27Kemudian Gideon memilih sepuluh orang hambanya, lalu pergi melakukan apa yang diperintahkan TUHAN. Oleh sebab dia takut terhadap keluarganya dan penduduk kota itu, dia tidak berani melakukannya pada siang hari. Dia melakukannya pada waktu malam.

28Ketika penduduk kota itu bangun esok paginya, mereka mendapati bahawa mazbah Baal dan tiang lambang Dewi Asyera telah dirobohkan. Mereka nampak juga bahawa di tempat itu telah dibina sebuah mazbah, dan lembu jantan itu telah dibakar sebagai korban.

29Mereka bertanya satu sama lain, "Perbuatan siapakah ini?" Mereka menyiasat lalu mengetahui bahawa Gideon anak Yoas telah melakukannya.

30Kemudian mereka berkata kepada Yoas, "Bawalah anakmu ke mari supaya kami dapat membunuh dia! Dia telah membongkar mazbah Baal dan merobohkan tiang lambang Dewi Asyera yang di sisi mazbah itu."

31Tetapi Yoas berkata kepada semua orang yang mencabar dia, "Adakah kamu memihak Baal? Adakah kamu mahu membela dia? Sesiapa yang membela Baal akan dibunuh pada hari ini. Jika Baal itu memang tuhan, biarlah dia membela dirinya sendiri, kerana yang dibongkar itu mazbahnya."

32Sejak itu orang menamakan Gideon "Yerubaal", kerana Yoas berkata, "Biarlah Baal membela dirinya sendiri kerana yang dibongkar itu mazbahnya."

33Kemudian semua orang Midian, orang Amalek, dan suku-suku lain di padang gurun berkumpul. Mereka menyeberang Sungai Yordan lalu berkhemah di Lembah Yizreel.

34Roh TUHAN menguasai Gideon, dan Gideon meniup trompet untuk memanggil orang daripada puak Abiezer supaya mengikut dia.

35Gideon juga mengirim utusan-utusan kepada kedua-dua wilayah suku Manasye untuk memanggil mereka mengikut dia. Gideon juga mengirim utusan kepada suku Asyer, Zebulon, dan Naftali. Kemudian mereka juga datang bergabung dengan Gideon.

36Kemudian Gideon berkata kepada Allah, "Engkau telah berfirman bahawa Engkau akan menggunakan aku untuk membebaskan umat Israel.

37Sekarang aku meletakkan guntingan bulu domba ini di atas tanah tempat kami mengirik gandum. Jika esok pagi embun hanya terdapat pada guntingan bulu domba ini dan tidak terdapat di atas tanah, maka itulah buktinya bahawa sesungguhnya Engkau mahu menggunakan aku untuk membebaskan umat Israel."

38Esok paginya, perkara itu benar-benar terjadi. Apabila Gideon bangun pagi-pagi, dia memeras guntingan bulu domba itu dan mendapat air embun sebanyak satu cawan.

39Kemudian Gideon berkata kepada Allah, "Janganlah murka kepadaku; benarkanlah aku berkata satu kali lagi. Benarkanlah aku membuat satu ujian lagi dengan guntingan bulu itu. Kali ini biarlah guntingan bulu domba itu kering, tetapi tanah basah."

40Pada malam itu Allah mengabulkan permintaan Gideon. Esok paginya guntingan bulu domba itu kering, tetapi tanah dibasahi embun.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hakim-hakim 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel