Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Ibrani 9 >> 

Ibadat di Bumi dan Ibadat di Syurga

1Perjanjian pertama mengandungi peraturan ibadat, dan mempunyai tempat ibadat buatan manusia.

2Khemah yang didirikan di bahagian paling depan, dinamakan Bilik Suci. Di situ terdapat sebuah kaki pelita dan sebuah meja dengan roti yang dipersembahkan kepada Allah.

3Di belakang tirai kedua, terdapat bahagian khemah yang dinamakan Bilik Maha Suci.

4Di situ terdapat mazbah emas yang digunakan untuk membakar kemenyan dan juga terdapat Tabut Perjanjian yang seluruhnya disalut dengan emas. Di dalam Tabut itu terdapat balang emas berisi manna, tongkat Harun yang telah bertunas, dan dua buah batu tulis yang bertuliskan sepuluh hukum Allah.

5Di atas Tabut itu terdapat dua kerub iaitu makhluk bersayap yang melambangkan hadirat Allah. Sayap kerub ini terbentang di atas penutup Tabut, tempat dosa diampunkan. Tetapi sekarang bukanlah masanya untuk menerangkan semuanya dengan terperinci.

6Demikianlah semua itu diatur. Setiap hari imam-imam masuk ke dalam bahagian depan khemah itu untuk menjalankan tugas mereka.

7Hanya Imam Agung yang masuk ke bahagian paling dalam daripada khemah itu, dan hal itupun dilakukannya hanya sekali setahun. Dia membawa darah yang dipersembahkannya kepada Allah bagi dirinya sendiri dan bagi dosa yang dilakukan oleh umat dengan tidak disedari.

8Dengan aturan tersebut, Roh Allah mengajar kita dengan jelas, bahawa selama bahagian depan khemah itu masih berdiri, jalan masuk ke dalam Bilik Maha Suci itu masih belum terbuka.

9Hal ini melambangkan zaman sekarang. Maknanya, semua persembahan dan korban binatang yang dipersembahkan kepada Allah tidak dapat menyempurnakan hati nurani orang yang membawa persembahan.

10Semua itu hanya berkenaan dengan makanan, minuman, dan berbagai-bagai upacara penyucian. Semua itu hanya peraturan lahir yang berlaku sehingga masanya Allah mengadakan pembaharuan.

11Tetapi Kristus sudah datang sebagai Imam Agung daripada perkara-perkara baik, yang sudah ada di sini. Khemah tempat Dia menjalankan tugas sebagai Imam Agung, adalah lebih penting dan lebih sempurna. Khemah itu tidak dibuat oleh manusia, ertinya bukan sebahagian daripada dunia yang diciptakan ini.

12Ketika Kristus memasuki Bilik Maha Suci sekali sahaja untuk selama-lamanya, Dia tidak membawa darah kambing dan darah lembu jantan untuk dipersembahkan. Tetapi Dia membawa darah-Nya sendiri, dan dengan demikian Dia membebaskan kita selama-lamanya.

13Darah kambing dan darah lembu jantan, serta abu daripada korban anak lembu, dipercikkan ke atas orang yang najis menurut peraturan agama. Perbuatan itu menyucikan mereka daripada semua yang menajiskan mereka.

14Jika orang dapat disucikan dengan cara itu, darah Kristus lebih berkuasa pula! Melalui Roh yang kekal, Kristus mempersembahkan diri-Nya sendiri kepada Allah sebagai korban yang sempurna. Darah-Nya akan menyucikan hati nurani kita daripada upacara agama yang sia-sia, supaya kita boleh mengabdikan diri kepada Allah yang hidup.

15Itulah sebabnya Kristus menjadi Pengantara bagi suatu perjanjian baru, supaya orang yang sudah dipanggil oleh Allah boleh menerima berkat kekal yang sudah dijanjikan oleh Allah. Hal itu dapat berlaku kerana Kristus telah mati untuk membebaskan orang daripada kesalahan yang dilakukan mereka pada masa perjanjian pertama masih berlaku.

16Jika ada surat wasiat, haruslah dibuktikan bahawa orang yang membuat surat wasiat itu sudah meninggal.

17Surat wasiat tidak bererti apa-apa selagi orang yang membuatnya masih hidup. Surat itu berlaku hanya setelah orang itu meninggal.

18Itulah sebabnya perjanjian pertama pun harus disahkan dengan darah.

19Mula-mula Musa menyampaikan semua perintah dalam Taurat kepada umat Israel. Setelah itu dia mengambil darah lembu jantan dan darah kambing, lalu mencampurnya dengan air, kemudian memercikkannya pada kitab Taurat dan pada seluruh umat, dengan menggunakan setangkai rumput hisop dan bulu domba berwarna merah.

20Musa berkata, "Inilah darah yang mengesahkan perjanjian daripada Allah yang harus kamu taati."

21Dengan cara yang sama, Musa juga memercikkan darah itu pada Khemah Tuhan dan pada semua alat untuk ibadat.

22Sebenarnya, menurut Taurat, hampir segala sesuatu disucikan dengan darah. Demikian juga dosa hanya dapat diampunkan jika ada penumpahan darah.

Korban Kristus Menghapuskan Dosa

23Hal-hal yang melambangkan perkara-perkara di syurga, perlu disucikan dengan cara tersebut. Tetapi perkara-perkara di syurga itu memerlukan korban yang jauh lebih baik.

24Kristus tidak masuk ke Bilik Suci buatan manusia, yang hanya melambangkan Bilik Suci sebenarnya. Tetapi Kristus masuk ke syurga; di sana Dia sekarang menghadap hadirat Allah sebagai wakil kita.

25Setiap tahun Imam Agung Yahudi masuk ke dalam Bilik Maha Suci dengan membawa darah seekor binatang. Tetapi Kristus tidak masuk untuk mempersembahkan diri-Nya berulang kali;

26kerana jika demikian, Dia harus menderita berulang kali sejak dunia ini dijadikan. Sebaliknya, sekarang pada zaman akhir ini Dia menunjukkan diri satu kali sahaja untuk selama-lamanya, bagi menghapuskan dosa dengan mengorbankan diri-Nya sendiri.

27Semua orang mesti mati satu kali, dan setelah itu dihakimi oleh Allah.

28Demikian juga Kristus dipersembahkan sebagai korban satu kali sahaja untuk menghapuskan dosa banyak orang. Dia akan menunjukkan diri sekali lagi, bukan untuk menyelesaikan masalah dosa, tetapi untuk menyelamatkan orang yang menantikan Dia.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Ibrani 9):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Ibrani 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel