Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Imamat 7 >> 

Korban untuk Membayar Ganti Rugi

1Inilah peraturan bagi korban untuk membayar ganti rugi; korban ini sangat suci.

2Binatang untuk korban ini harus disembelih di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan darahnya harus disiramkan pada keempat-empat sisi mazbah itu.

3Semua lemak binatang itu harus dipisahkan lalu dipersembahkan di atas mazbah: ekor yang berlemak, lemak yang membungkus isi perut,

4buah pinggang dan lemaknya, dan juga bahagian yang terbaik daripada hati binatang itu.

5Imam harus membakar semua lemak itu di atas mazbah sebagai persembahan makanan kepada TUHAN; korban ini ialah korban untuk membayar ganti rugi.

6Setiap orang lelaki daripada keluarga imam boleh makan daging korban ini, tetapi mereka mesti memakannya di tempat yang khas kerana korban ini sangat suci.

7Peraturan yang sama berlaku bagi korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk membayar ganti rugi: daging binatang itu menjadi milik imam yang mempersembahkan korban itu.

8Kulit binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, menjadi milik imam yang mempersembahkan korban itu.

9Tiap-tiap korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, sama ada korban itu dibakar di dalam ketuhar, atau dimasak di dalam kuali, ataupun dimasak di atas pemanggang, menjadi milik imam yang mempersembahkan korban itu.

10Tetapi semua korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, iaitu korban yang belum dimasak, baik yang sudah dicampuri minyak mahupun yang kering, menjadi milik imam keturunan Harun dan mesti dibahagi sama rata antara mereka.

Korban untuk Memohon Berkat TUHAN

11Inilah peraturan bagi korban untuk memohon berkat TUHAN yang dipersembahkan kepada TUHAN.

12Jika seseorang mempersembahkannya sebagai korban kesyukuran kepada Allah, dia harus mempersembahkan roti yang tidak beragi bersama-sama binatang yang dipersembahkan itu. Roti itu boleh tebal, yang dibuat daripada tepung bercampur minyak zaitun, atau roti tipis yang disapu dengan minyak zaitun, ataupun kuih yang dibuat daripada tepung bercampur minyak zaitun.

13Di samping itu, dia harus mempersembahkan roti yang dibuat dengan ragi.

14Dia harus mempersembahkan sebahagian daripada tiap-tiap jenis roti itu sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN; semua ini akan menjadi milik imam yang mengambil darah binatang itu, lalu menyiramkannya pada mazbah.

15Daging binatang itu mesti dimakan pada hari binatang itu dipersembahkan; sedikit pun tidak boleh ditinggalkan sehingga esok pagi.

16Apabila seseorang mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, dengan maksud menunaikan nazarnya atau sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela, tidak perlu seluruh korban itu dimakan pada hari korban itu dipersembahkan. Sisa korban itu boleh dimakan pada keesokan harinya.

17Tetapi jika ada daging yang masih tersisa sehingga hari ketiga, daging itu mesti dibakar semuanya.

18Jika sedikit pun daripada sisa daging itu dimakan pada hari ketiga, korban itu tidak akan diterima oleh Allah. Korban itu tidak menjadi berkat bagi orang itu, malah menjadi haram. Sesiapa sahaja yang makan sisa daging itu akan bersalah dan harus menanggung akibatnya.

19Daging yang terkena apa sahaja yang najis tidak boleh dimakan, tetapi mesti dibakar semuanya. Orang yang tidak najis boleh makan daging daripada korban itu.

20Jika seseorang makan daging itu pada masa dia najis, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.

21Apabila seseorang telah menyentuh sesuatu yang najis, lalu orang itu makan daging binatang yang sudah dipersembahkan itu, orang itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.

22TUHAN memberikan peraturan berikut kepada Musa

23bagi umat Israel. Lemak lembu, domba, ataupun kambing tidak boleh dimakan.

24Lemak daripada binatang yang mati biasa ataupun yang diterkam binatang buas, tidak boleh dimakan, tetapi boleh digunakan untuk keperluan lain.

25Orang yang makan lemak daripada binatang yang boleh dipersembahkan sebagai persembahan makanan kepada TUHAN, tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.

26Di mana sahaja orang Israel tinggal, mereka sekali-kali tidak boleh makan darah burung ataupun darah binatang.

27Sesiapa yang melanggar peraturan ini tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.

28TUHAN memberikan peraturan berikut kepada Musa

29bagi umat Israel. Sesiapa yang mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, mesti mempersembahkan sebahagian daripada korban itu sebagai korban istimewa kepada TUHAN.

30Orang itu sendiri harus membawa korban itu sebagai persembahan makanan. Dia harus membawa lemak dan dada binatang itu, lalu mempersembahkannya sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN.

31Seorang imam mesti membakar lemak itu di atas mazbah, tetapi dada binatang itu akan menjadi milik para imam.

32Paha kanan binatang itu harus diberikan sebagai persembahan istimewa

33kepada imam yang mempersembahkan darah dan lemak daripada korban untuk memohon berkat TUHAN.

34Dada dan paha kanan binatang itu adalah persembahan istimewa yang diambil oleh TUHAN daripada umat-Nya untuk diberikan kepada para imam. Bahagian inilah yang mesti diberikan oleh umat Israel kepada imam selama-lamanya.

35Inilah bahagian persembahan makanan untuk TUHAN yang diberikan kepada Harun dan anak-anaknya pada hari mereka ditahbiskan menjadi imam.

36Pada hari itu TUHAN memerintah umat Israel supaya memberikan bahagian ini kepada para imam. Inilah peraturan yang mesti ditaati oleh umat Israel selama-lamanya.

37Demikianlah peraturan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, korban untuk mengampunkan dosa, korban untuk membayar ganti rugi, korban yang dipersembahkan semasa pentahbisan, dan korban untuk memohon berkat TUHAN.

38TUHAN memberikan perintah-perintah ini kepada Musa di atas Gunung Sinai, di padang gurun itu, pada hari Dia menyuruh umat Israel mempersembahkan korban mereka.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Imamat 7 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2018
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran