Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 29 >> 

Yakub Sampai di Rumah Laban

1Yakub meneruskan perjalanannya dan pergi ke negeri di sebelah timur Kanaan.

2Tiba-tiba dia ternampak sebuah perigi di padang. Tiga kawanan domba berbaring di sekeliling perigi itu; ternakan itu biasanya diberi minum di situ. Perigi itu ditutup dengan sebuah batu besar.

3Apabila semua binatang ternakan sudah berkumpul di tempat itu, para gembala menggulingkan batu itu ke samping, lalu ternakan diberi minum. Setelah itu para gembala menutup perigi itu semula.

4Yakub bertanya kepada para gembala yang berada di situ, "Hai sahabat-sahabat, kamu datang dari mana?" "Dari Haran," jawab mereka.

5Yakub bertanya lagi, "Kenalkah kamu dengan Laban cucu Nahor?" "Ya, kami kenal," jawab mereka.

6"Adakah dia sihat?" tanya Yakub. "Dia sihat," jawab mereka. "Lihat, itu dia Rahel, anak perempuan Laban. Dia sedang menggiring ternakan bapanya."

7Yakub berkata, "Hari masih siang dan belum lagi masanya untuk memasukkan ternakan ke dalam kandang. Mengapa kamu tidak memberi ternakan minum, lalu membiarkan ternakan itu meragut rumput semula?"

8Mereka menjawab, "Ternakan ini hanya boleh diberi minum apabila semua ternakan sudah berkumpul di sini dan batu penutup digulingkan."

9Sementara Yakub bercakap-cakap dengan mereka, Rahel tiba bersama dengan ternakan bapanya.

10Apabila Yakub nampak Rahel menggiring ternakan itu, Yakub pergi ke perigi, menggulingkan batu penutupnya ke samping, lalu memberi ternakan itu minum.

11Kemudian dia mencium Rahel dan menangis kerana terharu.

12Dia berkata kepada Rahel, "Saya anak Ribka, saudara bapamu." Rahel berlari untuk memberitahukan hal itu kepada bapanya.

13Apabila bapanya mendengar berita tentang Yakub, anak saudaranya, dia berlari untuk berjumpa dengan Yakub. Laban memeluk dan mencium dia, lalu membawa dia masuk ke rumah. Apabila Yakub memberitahu Laban segala yang sudah berlaku,

14Laban berkata, "Ya, memang kamu sedarah dengan aku." Maka Yakub tinggal di situ selama satu bulan.

Yakub Bekerja bagi Laban untuk Mendapat Rahel dan Lea

15Laban berkata kepada Yakub, "Kamu tidak seharusnya bekerja untukku tanpa mendapat apa-apa, hanya kerana kamu saudaraku. Berapakah gaji yang kamu mahu?"

16Laban mempunyai dua orang anak perempuan; yang sulung bernama Lea dan yang bongsu bernama Rahel.

17Lea mempunyai mata yang cantik; Rahel pula mempunyai bentuk badan yang menarik dan wajah yang jelita.

18Yakub jatuh cinta dengan Rahel. Oleh itu dia berkata, "Saya akan bekerja selama tujuh tahun untuk pak cik, jika pak cik membenarkan saya berkahwin dengan Rahel."

19Laban menjawab, "Aku lebih suka dia menjadi isterimu daripada isteri orang lain; tinggallah di sini bersama dengan aku."

20Yakub bekerja selama tujuh tahun untuk mendapat Rahel. Bagi Yakub tahun-tahun itu berlalu seperti beberapa hari sahaja kerana dia mencintai Rahel.

21Kemudian Yakub berkata kepada Laban, "Masanya sudah tiba; benarkanlah saya berkahwin dengan anak perempuan pak cik!"

22Maka Laban membuat jamuan perkahwinan dan menjemput semua orang.

23Tetapi pada malam itu, untuk menggantikan Rahel, Laban menghantar Lea kepada Yakub, lalu Yakub bersetubuh dengan Lea.

24(Laban memberikan Zilpa, hamba perempuannya kepada anaknya Lea, untuk menjadi hambanya.)

25Pagi esoknya barulah Yakub sedar bahawa Lea yang dikahwininya. Dia pergi berjumpa dengan Laban dan berkata, "Mengapa pak cik melakukan hal ini kepada saya? Saya sudah bekerja untuk mendapat Rahel. Mengapakah pak cik menipu saya?"

26Laban menjawab, "Menurut adat di sini, adik tidak boleh berkahwin sebelum kakaknya berkahwin.

27Tunggulah sampai selesai pesta tujuh hari perkahwinanmu ini, maka aku akan menyerahkan Rahel kepadamu, jika kamu mahu bekerja untukku selama tujuh tahun lagi."

28Yakub bersetuju, dan apabila selesai pesta perkahwinan itu, Laban menyerahkan Rahel kepada Yakub untuk menjadi isterinya.

29(Laban menyerahkan Bilha, hamba perempuannya kepada anaknya Rahel, untuk menjadi hambanya.)

30Yakub juga bersetubuh dengan Rahel, dan dia mengasihi Rahel lebih daripada Lea. Kemudian Yakub bekerja untuk Laban selama tujuh tahun lagi.

Anak-Anak Yakub

31Apabila TUHAN nampak bahawa Lea tidak begitu dikasihi seperti Rahel, Dia mengizinkan Lea melahirkan anak tetapi Rahel tetap tidak mendapat anak.

32Lea mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, "TUHAN sudah melihat kesusahanku, dan kini suamiku akan mengasihi aku." Maka dia menamakan anaknya Ruben.

33Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, "TUHAN sudah mengurniakan anak ini kepadaku, kerana Dia sudah mendengar bahawa aku tidak dikasihi." Maka dia menamakan anaknya Simeon.

34Lea mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, "Kini suamiku akan lebih terikat kepadaku, kerana aku sudah melahirkan tiga orang anak lelaki baginya." Maka dia menamakan anaknya Lewi.

35Kemudian Lea mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, "Kali ini aku akan memuji TUHAN." Maka dia menamakan anaknya Yehuda. Kemudian Lea tidak melahirkan anak untuk beberapa lama.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 29 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel