Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 4 >> 

Allah Memberikan Kuasa kepada Musa untuk Melakukan Mukjizat

1Kemudian Musa berkata kepada TUHAN, "Bagaimana pula jika umat Israel tidak mempercayai aku dan tidak mahu mempedulikan kata-kataku? Apakah yang harus aku buat jika mereka berkata bahawa Engkau tidak menampakkan diri kepadaku?"

2Oleh itu TUHAN bertanya kepada Musa, "Apakah yang engkau pegang itu?" "Tongkat," jawab Musa.

3TUHAN berfirman, "Campakkanlah tongkat itu ke tanah." Apabila Musa mencampakkannya ke tanah, tongkat itu berubah menjadi ular dan Musa berundur untuk menjauhi ular itu.

4Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, "Dekatilah ular itu dan peganglah ekornya." Musa menghampirinya dan menangkap ekor ular itu, lalu ular itu berubah menjadi tongkat semula.

5TUHAN berfirman, "Buatlah demikian untuk membuktikan kepada bangsa Israel bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu."

6TUHAN berfirman lagi kepada Musa, "Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu." Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya putih sekali kerana kena penyakit kulit yang mengerikan.

7Kemudian TUHAN berfirman, "Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu sekali lagi." Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya sudah sembuh dan sihat seperti seluruh badannya.

8TUHAN berfirman, "Jika mereka tidak mahu percaya kepadamu, atau tidak yakin setelah melihat mukjizat yang pertama, maka mukjizat yang kedua akan meyakinkan mereka.

9Jika mereka masih tidak mahu percaya kepadamu walaupun sudah melihat kedua-dua mukjizat itu, dan mereka tidak mahu mempedulikan kata-katamu, ambillah sedikit air dari Sungai Nil dan curahkannya ke tanah. Air itu akan berubah menjadi darah."

10Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, "Ya Tuhan, jangan suruh aku. Aku bukan orang yang pandai berkata-kata, baik dahulu mahupun sekarang, walaupun Engkau sudah berfirman kepadaku. Aku tidak pandai berucap, aku lambat bercakap, dan tidak fasih."

11Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, "Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia? Siapakah yang membuat manusia bisu atau tuli? Siapakah yang membuat manusia celik atau buta? Aku, TUHAN.

12Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan."

13Tetapi Musa menjawab, "Ya Tuhan, aku mohon, suruhlah orang lain."

14Kemudian TUHAN murka terhadap Musa dan berfirman, "Bagaimana pula dengan saudaramu Harun, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berkata-kata. Sesungguhnya, dia sedang dalam perjalanan ke sini, dan dia akan gembira berjumpa dengan engkau.

15Engkau dapat bercakap dengan dia, dan memberitahu dia apa yang harus dikatakannya. Aku akan menolong kamu berdua, dan memberitahu kamu apa yang harus dikatakan dan dilakukan.

16Dia akan berkata-kata kepada umat itu bagi pihakmu. Dia akan menjadi jurucakapmu, dan engkau menjadi seperti Allah yang memberitahu apa yang harus dikatakannya.

17Bawalah tongkat ini; engkau akan melakukan mukjizat-mukjizat dengan tongkat ini."

Musa Balik ke Mesir

18Sesudah itu Musa balik ke rumah Yitro, bapa mentuanya. Musa berkata kepadanya, "Tolong benarkan saya balik kepada saudara-mara saya di Mesir, untuk melihat sama ada mereka masih hidup." Yitro bersetuju, lalu mengucapkan selamat jalan kepada Musa.

19Ketika Musa masih di Midian, TUHAN berfirman kepadanya, "Baliklah ke Mesir, kerana semua orang yang hendak membunuh engkau sudah meninggal."

20Oleh itu Musa membawa isteri serta anak-anaknya dan menaikkan mereka ke atas keldai, lalu mereka berangkat ke Mesir. Musa membawa tongkatnya juga, menurut perintah Allah kepadanya.

21TUHAN berfirman kepada Musa lagi, "Aku sudah memberikan kuasa kepadamu untuk melakukan mukjizat-mukjizat. Oleh itu selepas engkau tiba di Mesir, lakukanlah segala mukjizat itu di hadapan raja Mesir. Tetapi Aku akan menyebabkan dia berdegil, sehingga dia tidak membenarkan umat itu pergi.

22Lalu katakanlah kepada raja itu bahawa Aku, TUHAN, berfirman begini, ‘Israel ialah anak sulung-Ku.

23Aku telah memerintahkan engkau untuk membenarkan anak-Ku itu pergi supaya dia dapat menyembah Aku, tetapi engkau menolak. Sekarang Aku akan membunuh anak lelakimu yang sulung.’"

24Di suatu tempat perkhemahan di tengah perjalanan ke Mesir, TUHAN datang kepada Musa dan cuba membunuhnya.

25Kemudian Zipora, isteri Musa, mengambil batu tajam dan memotong kulup anaknya, lalu menyentuh kaki Musa dengan potongan itu. Zipora berkata, "Engkau suami darah bagiku."

26Zipora berkata demikian kerana upacara sunat itu. Oleh itu TUHAN tidak membunuh Musa.

27Sementara itu TUHAN berfirman kepada Harun, "Pergilah ke padang gurun untuk menemui Musa." Harun pergi lalu bertemu dengan Musa di gunung suci, dan Harun mencium dia.

28Musa memberitahu Harun segala yang telah difirmankan TUHAN ketika dia disuruh balik ke Mesir. Musa juga memberitahu segala mukjizat yang harus dilakukannya.

29Kemudian Musa dan Harun pergi ke Mesir, lalu menghimpunkan semua pemimpin umat Israel.

30Harun memberitahu mereka segala yang difirmankan TUHAN kepada Musa, dan Musa melakukan segala mukjizat di hadapan semua orang itu.

31Mereka percaya, lalu sujud menyembah apabila mendengar bahawa TUHAN sudah memperhatikan mereka dan melihat segala penderitaan mereka.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 4 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel