Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 9 >> 

Saulus Percaya kepada Yesus

1Sementara itu Saulus meneruskan ancamannya untuk membunuh pengikut-pengikut Tuhan. Saulus pergi kepada Imam Agung,

2dan meminta surat kuasa untuk ditunjukkan kepada pemimpin rumah-rumah ibadat orang Yahudi di Damsyik. Dengan demikian, jika di situ dia menjumpai pengikut-pengikut Yesus, dia boleh menangkap mereka, baik lelaki mahupun perempuan, dan membawa mereka ke Yerusalem.

3Dalam perjalanannya ke Damsyik, apabila dia sudah dekat kota itu, tiba-tiba cahaya dari langit memancar di sekeliling Saulus.

4Dia jatuh ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadanya, "Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?"

5Saulus bertanya, "Siapakah tuan?" Suara itu menjawab, "Aku Yesus, yang engkau aniaya.

6Bangunlah dan masuklah ke bandar. Di situ engkau akan diberitahu apa yang harus engkau lakukan."

7Orang yang seperjalanan dengan Saulus berhenti dan terdiam. Mereka mendengar suara itu tetapi tidak melihat sesiapa pun.

8Saulus berdiri lalu membuka matanya, tetapi dia tidak dapat melihat apa-apa. Oleh itu mereka memegang tangannya dan memimpin dia masuk ke Damsyik.

9Tiga hari lamanya dia tidak dapat melihat, dan selama itu dia tidak makan atau minum.

10Seorang pengikut Yesus bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam penglihatan, dia melihat Tuhan berkata kepadanya, "Ananias!" "Ya Tuhan," jawab Ananias.

11Tuhan berkata kepadanya, "Bersiap-siaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Bertanyalah tentang seorang bernama Saulus dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa,

12dan dalam penglihatan, dia melihat seorang lelaki bernama Ananias datang meletakkan tangan padanya supaya dia boleh melihat semula."

13Ananias menjawab, "Ya Tuhan, banyak orang sudah memberitahu aku tentang orang ini. Dia sudah melakukan banyak perkara yang kejam terhadap umat-Mu di Yerusalem.

14Sekarang dia datang ke Damsyik dengan kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyembah Engkau."

15Tetapi Tuhan berkata kepadanya, "Pergilah, kerana Aku sudah memilih dia untuk mengabdikan diri kepada-Ku, supaya dia memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa bukan Yahudi, raja-raja, dan umat Israel.

16Semua penderitaan yang harus dialaminya kerana Aku, akan Aku tunjukkan kepadanya."

17Oleh itu Ananias pergi dan masuk ke rumah itu lalu meletakkan tangannya pada Saulus. "Saudara Saulus," katanya, "Tuhan sudah mengutus saya -- Yesus yang menampakkan diri kepada saudara dalam perjalanan ke mari, sudah mengutus saya ke sini supaya saudara boleh melihat semula dan dikuasai oleh Roh Allah."

18Pada saat itu juga sesuatu seperti sisik ikan jatuh daripada mata Saulus dan dia dapat melihat semula. Lalu dia bangkit dan dibaptis.

19Setelah dia makan, pulihlah kekuatannya.

Saulus Mengajar di Damsyik

Saulus tinggal beberapa hari dengan pengikut-pengikut Yesus di Damsyik.

20Dia terus pergi ke rumah-rumah ibadat dan mula mengisytiharkan berita bahawa Yesus Anak Allah.

21Semua orang yang mendengar kata-kata Saulus menjadi hairan. Mereka berkata sesama sendiri, "Dialah orang di Yerusalem yang membunuh semua orang yang menyembah Yesus. Dia datang ke sini untuk menangkap dan membawa pengikut Yesus kepada ketua-ketua imam."

22Tetapi Saulus semakin kuat pengaruhnya. Bukti-bukti yang dikemukakannya bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah begitu meyakinkan, sehingga orang Yahudi yang tinggal di Damsyik tidak dapat membantah lagi.

23Beberapa hari kemudian, orang Yahudi bersepakat hendak membunuh Saulus.

24Tetapi rancangan mereka diketahui oleh Saulus. Siang malam mereka menunggu di pintu gerbang kota untuk membunuh dia.

25Tetapi pada suatu malam, pengikut-pengikut Saulus menurunkan dia dengan sebuah keranjang ke kaki tembok kota melalui tingkap.

Saulus di Yerusalem

26Saulus pergi ke Yerusalem dan berusaha bergabung dengan pengikut-pengikut Yesus di situ. Tetapi mereka takut akan dia, kerana mereka tidak percaya bahawa dia benar-benar sudah menjadi pengikut Yesus.

27Kemudian Barnabas menyambut dia dan membawa dia kepada rasul-rasul. Barnabas memberitahu mereka bahawa Saulus sudah melihat Tuhan dalam perjalanan ke Damsyik, dan bahawa Tuhan sudah berkata-kata kepadanya. Dia juga memberitahu mereka bahawa dengan berani Saulus mengajar di Damsyik demi nama Yesus.

28Oleh itu Saulus tinggal bersama-sama mereka, dan mengajar dengan berani di seluruh Yerusalem dengan nama Tuhan.

29Dia juga berbincang dan berdebat dengan orang Yahudi yang berbahasa Yunani, dan mereka cuba membunuh dia.

30Apabila saudara-saudara seiman mengetahui hal itu, mereka membawa Saulus ke Kaisarea dan kemudian menghantar dia ke Tarsus.

31Dengan demikian tenteramlah jemaah di seluruh Yudea, Galilea, dan Samaria. Jemaah itu menghormati Allah dan dengan pertolongan Roh Allah, jemaah itu bertambah kuat dan bertambah banyak.

Petrus di Lida dan Yope

32Petrus berkunjung ke serata tempat. Pada suatu hari dia melawat umat Tuhan yang tinggal di Lida.

33Di situ dia berjumpa dengan seorang lelaki bernama Eneas, yang lumpuh dan tidak dapat bangun dari katilnya selama lapan tahun.

34Petrus berkata kepadanya, "Hai Eneas, Yesus Kristus menyembuhkan kamu. Bangunlah dan kemaskan katilmu." Pada saat itu juga Eneas bangun.

35Semua penduduk di Lida dan Dataran Saron melihat Eneas, lalu mereka semua percaya kepada Tuhan.

36Di Yope ada seorang wanita bernama Tabita. Dia percaya kepada Yesus. (Dalam bahasa Yunani namanya Dorkas, yang bererti ‘rusa.’) Dia menggunakan masanya untuk melakukan hal-hal baik dan menolong orang miskin.

37Pada waktu itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya diletakkan di bilik di tingkat atas.

38Yope tidak berapa jauh dari Lida. Apabila pengikut-pengikut Yesus di Yope mendengar bahawa Petrus di Lida, mereka mengutus dua orang kepadanya dengan berita, "Cepatlah datang ke mari."

39Petrus bersiap lalu mengikut mereka. Apabila dia tiba di situ, dia dibawa ke bilik di tingkat atas. Sambil menangis semua balu di situ mengerumuni Petrus dan menunjukkan pakaian dan jubah yang telah dijahit oleh Dorkas bagi mereka, semasa dia masih hidup.

40Petrus menyuruh mereka semua keluar. Lalu dia berlutut dan berdoa. Kemudian dia menghampiri jenazah itu dan berkata, "Tabita, bangunlah!" Tabita membuka matanya dan apabila dia nampak Petrus, dia pun duduk.

41Petrus memegang tangannya dan menolong dia berdiri. Kemudian Petrus memanggil semua pengikut Yesus di situ termasuk balu-balu, lalu menyerahkan Tabita yang sudah hidup itu kepada mereka.

42Berita itu tersebar ke seluruh Yope, dan banyak orang percaya kepada Tuhan.

43Petrus tinggal di Yope dengan seorang penyamak kulit bernama Simon untuk beberapa hari lamanya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Kisah Para Rasul 9):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Kisah Para Rasul 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel