Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 1 >> 

Pendahuluan

1Tuan Teofilus yang terhormat, Banyak orang telah berusaha membuat laporan tentang peristiwa yang berlaku di kalangan kami.

2Mereka menulis sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kami oleh mereka yang menyaksikan peristiwa itu dari permulaan dan kemudian mengisytihar berita itu.

3Tetapi sekarang, Tuan Teofilus yang terhormat, saya sendiri telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya juga menulis satu laporan yang teratur untuk tuan.

4Saya berbuat demikian supaya tuan dapat tahu dengan selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada tuan memang benar.

Kelahiran Yohanes Pembaptis Diumumkan

5Ketika Herodes menjadi raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia. Dia termasuk golongan imam Abia. Isterinya bernama Elisabet dan dia juga keturunan imam.

6Kehidupan suami isteri itu menyenangkan hati Allah. Mereka mentaati semua hukum dan perintah Tuhan.

7Mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul dan kedua-duanya sudah lanjut usia.

8Pada suatu hari, Zakharia dan rakan-rakan segolongannya mendapat giliran untuk bertugas di Rumah Tuhan.

9Seperti biasa para imam membuang undi dan Zakharia terpilih untuk masuk ke dalam Rumah Tuhan dan membakar kemenyan di atas mazbah.

10Sementara upacara pembakaran kemenyan berlangsung, orang ramai berdoa di luar.

11Pada waktu itu malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Zakharia. Malaikat itu berdiri di sebelah kanan mazbah tempat membakar kemenyan.

12Ketika Zakharia nampak malaikat itu, dia cemas dan takut.

13Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, "Janganlah takut, Zakharia! Allah sudah mendengar doamu. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan dia Yohanes.

14Engkau akan sangat bersukacita dan bergembira, dan banyak orang akan bersukacita apabila dia dilahirkan!

15Dia akan menjadi orang besar di sisi Tuhan. Dia tidak boleh minum wain atau minuman keras. Sejak di dalam rahim ibunya dia akan dikuasai oleh Roh Allah.

16Dia akan memimpin banyak orang Israel kembali kepada Tuhan, Allah mereka.

17Dia akan menjadi utusan Tuhan yang kuat dan berkuasa seperti Elia. Dia akan mendamaikan bapa dengan anak, serta memimpin orang yang tidak taat kembali ke jalan fikiran yang benar. Dia juga akan mempersiapkan suatu umat untuk Tuhan."

18Zakharia berkata kepada malaikat itu, "Bagaimana aku boleh tahu bahawa perkara ini akan berlaku? Aku sudah tua dan isteriku pun sudah tua."

19Malaikat itu menjawab, "Aku ini Gabriel yang sentiasa siap melakukan suruhan Allah. Dia sendiri mengutus aku kepadamu supaya menyampaikan berita baik ini.

20Apa yang aku katakan akan berlaku pada waktunya. Tetapi kerana engkau tidak percaya, engkau akan menjadi bisu sehingga apa yang aku katakan berlaku."

21Sementara itu, orang ramai sedang menantikan Zakharia. Mereka hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan.

22Ketika Zakharia keluar, dia tidak dapat bercakap kepada mereka. Dia memberikan isyarat dengan tangan kerana dia bisu. Lalu orang di situ tahu bahawa Zakharia sudah nampak satu penglihatan di dalam Rumah Tuhan.

23Setelah habis masa Zakharia bertugas di Rumah Tuhan, dia pulang ke rumah.

24Tidak lama kemudian Elisabet, isterinya mengandung, dan dia tidak keluar dari rumah selama lima bulan.

25Elisabet berkata, "Akhirnya Tuhan menolong aku. Dia telah menghapus keaibanku."

Kelahiran Yesus Diumumkan

26Setelah Elisabet mengandung enam bulan, Allah mengutus malaikat Gabriel ke Nasaret, sebuah kota di negeri Galilea.

27Gabriel membawa berita untuk seorang gadis bernama Maria. Dia telah bertunang dengan seorang lelaki bernama Yusuf, keturunan Raja Daud.

28Malaikat itu datang kepada Maria dan berkata, "Salam sejahtera, hai engkau yang sangat diberkati oleh Tuhan! Tuhan menyertai engkau!"

29Maria gelisah mendengar kata-kata malaikat itu dan dia tertanya-tanya tentang makna salam itu.

30Malaikat itu berkata kepadanya, "Janganlah takut, Maria, kerana Allah berkenan kepada engkau.

31Engkau akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan Dia Yesus.

32Dia akan menjadi agung dan akan disebut Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan menjadikan Dia raja seperti Daud, nenek moyang-Nya.

33Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan berakhir."

34Maria berkata kepada malaikat itu, "Aku masih dara. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?"

35Malaikat itu menjawab, "Roh Allah akan datang kepadamu, dan kuasa Allah akan menaungi engkau. Itulah sebabnya Anak yang akan lahir itu disebut Suci, Anak Allah.

36Ketahuilah, sanakmu Elisabet yang dikatakan mandul, sudah mengandung enam bulan, walaupun umurnya sudah lanjut.

37Bagi Allah tiada perkara yang mustahil."

38Maria berkata, "Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan." Lalu malaikat itu meninggalkan Maria.

Maria Melawat Elisabet

39Tidak lama kemudian, Maria segera berangkat ke sebuah kota di Yudea, di kawasan pergunungan.

40Dia pergi ke rumah Zakharia lalu memberikan salam kepada Elisabet.

41Ketika Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak. Elisabet dikuasai oleh Roh Allah,

42lalu dia berseru, "Berbahagialah kamu antara semua wanita! Berbahagialah anak yang akan kamu lahirkan itu!

43Mengapakah penghormatan yang sebesar ini diberikan kepadaku, sehingga ibu Tuhanku datang melawat aku?

44Sebaik sahaja aku mendengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak kerana bersukacita.

45Alangkah bahagianya kamu kerana percaya bahawa apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadamu akan berlaku!"

Ucapan Syukur Maria

46Maria berkata, "Hatiku menyanjung Tuhan;

47jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku,

48Dia ingat akan daku, hamba-Nya yang hina! Mulai sekarang semua orang akan mengatakan aku berbahagia,

49kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku. Sucilah nama-Nya.

50Dia merahmati orang yang menghormati-Nya, keturunan demi keturunan.

51Dengan tangan-Nya yang berkuasa Dia mencerai-beraikan mereka yang sombong, dan mengacaukan rancangan mereka.

52Dia menurunkan raja dari takhta lalu meninggikan orang hina.

53Dia memuaskan orang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya diusir-Nya sehingga pergi dengan berhampa tangan.

54Dia menepati janji-Nya kepada nenek moyang kita; Dia datang untuk menyelamatkan Israel hamba-Nya.

55Dia tidak lupa merahmati Abraham dan keturunannya selama-lamanya!"

56Maria tinggal dengan Elisabet kira-kira tiga bulan lamanya, lalu pulang ke rumah.

Kelahiran Yohanes Pembaptis

57Apabila tiba masanya Elisabet bersalin, dia melahirkan seorang anak lelaki.

58Semua jiran dan sanak saudaranya mendengar betapa baiknya Tuhan terhadap Elisabet, dan mereka ikut bersukacita dengan dia.

59Setelah bayi itu berumur lapan hari, mereka datang untuk menyunat dia. Mereka hendak menamakan bayi itu Zakharia menurut nama bapanya.

60Tetapi ibunya berkata, "Jangan! Dia harus dinamakan Yohanes."

61Mereka berkata kepadanya, "Tetapi tidak seorang pun antara sanak saudaramu bernama begitu."

62Lalu dengan isyarat, mereka bertanya kepada bapa bayi itu nama yang hendak diberikan kepada anaknya.

63Zakharia meminta sebuah papan tulis lalu menulis, "Namanya Yohanes." Mereka semua hairan.

64Pada masa itu juga Zakharia dapat bercakap semula lalu mula memuji-muji Allah.

65Semua jirannya ketakutan dan berita ini tersebar ke seluruh pergunungan Yudea.

66Semua orang yang mendengar perkara itu berkata dalam hati, "Anak ini tentu akan menjadi orang besar." Mereka berkata demikian kerana nyata sekali kuasa Tuhan menyertainya.

Nubuat Zakharia

67Zakharia, bapa Yohanes, dikuasai oleh Roh Allah, lalu menyampaikan berita daripada Allah. Dia berkata,

68"Marilah kita memuji Tuhan, Allah bangsa Israel! Dia sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya dan membebaskan mereka.

69Dia mengurniai kita Penyelamat yang berkuasa, seorang keturunan Daud, hamba-Nya.

70Dahulu kala melalui nabi-nabi yang dipilih-Nya, Tuhan telah berjanji

71akan menyelamatkan kita daripada musuh, dan daripada kuasa orang yang membenci kita.

72Dia berjanji akan merahmati nenek moyang kita, serta ingat akan janji-Nya yang suci itu.

73Dia bersumpah kepada nenek moyang kita Abraham, dan berjanji akan menyelamatkan kita daripada musuh, serta membolehkan kita mengabdikan diri kepada-Nya tanpa takut,

74(1:73)

75supaya kita menjadi suci dan menyenangkan hati-Nya sepanjang hidup kita.

76Engkau, hai anakku, akan disebut nabi Allah Yang Maha Tinggi. Engkau diutus terlebih dahulu daripada Tuhan supaya merintis jalan untuk-Nya,

77supaya memberitahu umat-Nya bahawa mereka akan diselamatkan, apabila Allah mengampunkan dosa mereka.

78Allah kita pengasih dan penyayang. Bagi menyelamatkan kita Dia akan datang bagaikan fajar terang yang menyinari semua orang yang hidup dalam kegelapan dan di bawah bayang maut. Dia akan memimpin kita ke jalan yang menuju kedamaian."

79(1:78)

80Anak Zakharia membesar dan semakin kuat kerohaniannya. Dia tinggal di padang gurun sehingga tiba masanya dia menampilkan diri kepada umat Israel.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Lukas 1):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Lukas 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel