Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 14 >> 

Yesus Menyembuhkan Seorang yang Sakit

1Pada suatu hari Sabat, Yesus pergi makan di rumah seorang Farisi yang terkenal. Orang di situ memerhati Yesus.

2Lalu seorang lelaki yang bengkak kaki dan lengannya datang kepada Yesus.

3Yesus bertanya kepada semua guru Taurat dan orang Farisi di situ, "Adakah Taurat membenarkan kita menyembuhkan orang sakit pada hari Sabat?"

4Mereka tidak mahu berkata apa-apa. Lalu Yesus memanggil orang itu dan menyembuhkan dia, kemudian menyuruh dia pergi.

5Setelah itu Yesus berkata kepada mereka, "Jika seorang di antara kamu mempunyai anak lelaki atau lembu yang jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, tidakkah kamu akan menariknya keluar pada hari itu juga?"

6Mereka tidak dapat menjawab Yesus tentang hal itu.

Rendah Hati dan Murah Hati

7Yesus memperhatikan beberapa orang tetamu yang memilih tempat terbaik. Oleh itu Dia menceritakan perumpamaan ini kepada mereka semua.

8Dia berkata, "Jika seseorang menjemput kamu ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Mungkin ada orang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput juga.

9Lalu tuan rumah yang telah menjemput kamu berdua datang kepadamu dan berkata, ‘Maaf, tempat ini telah disediakan untuk dia.’ Tidakkah kamu akan berasa malu, lalu terpaksa duduk di tempat yang paling belakang?

10Oleh itu apabila kamu dijemput, pergilah duduk di tempat yang paling belakang, supaya tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, ‘Marilah saudara, duduklah di tempat yang lebih baik.’ Lalu kamu akan dihormati di hadapan semua tetamu lain.

11Orang yang meninggikan diri akan direndahkan, tetapi orang yang merendahkan diri akan ditinggikan."

12Kemudian Yesus berkata pula kepada tuan rumah, "Apabila kamu menjemput orang makan siang atau makan malam, janganlah jemput sahabat, atau saudara, atau sanak keluarga, ataupun jiranmu yang kaya. Kelak mereka akan menjemput kamu pula dan dengan demikian kamu menerima balasan perbuatanmu.

13Tetapi apabila kamu menjamu orang, jemputlah orang miskin, orang lumpuh, orang tempang, dan orang buta.

14Kamu akan diberkati kerana mereka tidak dapat membalas kebaikanmu. Kebaikanmu akan dibalas oleh Allah pada waktu orang baik dibangkitkan daripada kematian."

Perumpamaan tentang Perjamuan Besar

15Salah seorang yang duduk bersama-sama Yesus mendengar kata-kata-Nya. Dia berkata kepada Yesus, "Alangkah bahagianya mereka yang akan dijamu oleh Allah di Dunia Baru Allah!"

16Yesus berkata kepada orang itu, "Ada seorang yang sedang mengadakan jamuan besar. Dia menjemput banyak orang.

17Apabila tiba masanya perjamuan itu dimulakan, dia mengutus hambanya kepada semua tetamu dengan jemputan, ‘Marilah, semuanya sudah siap!’

18Tetapi, seorang demi seorang mula memberikan alasan. Yang pertama berkata kepada hamba itu, ‘Aku baru membeli sebidang tanah dan perlu memeriksanya. Maafkanlah aku.’

19Yang lain berkata, ‘Aku baru membeli lima pasang lembu dan hendak mencuba haiwan itu. Maafkanlah aku.’

20Yang lain pula berkata, ‘Aku baru sahaja berkahwin; itulah sebabnya aku tidak dapat datang.’

21Hamba itu pulang dan memberitahu tuannya segala perkara itu. Tuan itu sangat marah, lalu berkata kepada hambanya, ‘Cepatlah pergi ke jalan dan lorong di kota. Jemput orang miskin, orang lumpuh, orang buta, dan orang tempang.’

22Kemudian hamba itu berkata, ‘Tuan, perintah tuan sudah dijalankan, tetapi masih banyak tempat yang kosong.’

23Lalu tuan itu berkata kepada hambanya, ‘Pergilah ke jalan dan lorong di luar kota, dan suruh semua orang datang supaya rumahku penuh.

24Ketahuilah, tidak seorang pun daripada tetamu yang aku jemput itu akan menikmati perjamuanku!’"

Pengorbanan Seorang Pengikut

25Orang ramai berjalan bersama-sama Yesus; Dia berpaling dan berkata kepada mereka,

26"Sesiapa yang datang kepada-Ku tetapi tidak dapat mengasihi Aku lebih daripada ibunya, bapanya, isterinya, anak-anaknya, saudara lelakinya, dan saudara perempuannya, bahkan dirinya sendiri, tidak dapat menjadi pengikut-Ku.

27Sesiapa yang tidak mahu memikul salibnya sendiri dan mengikut Aku, tidak dapat menjadi pengikut-Ku.

28Jika seorang daripada kamu hendak membina sebuah menara, dia akan duduk dahulu lalu mengira perbelanjaannya, supaya dia tahu sama ada wangnya cukup untuk menyudahkan pekerjaan itu.

29Jika tidak, setelah meletakkan batu asasnya dia tidak dapat menyudahkan pekerjaan itu. Lalu semua orang yang melihat apa yang telah berlaku akan mentertawakan dia.

30Mereka akan berkata, ‘Lihatlah, orang ini memulakan kerja tetapi tidak dapat menyudahkannya!’

31Jika seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak berperang dengan raja lain yang mempunyai dua puluh ribu orang askar, raja itu akan duduk terlebih dahulu lalu mempertimbangkan sama ada dia cukup kuat untuk melawan musuhnya.

32Jika dia tahu bahawa dia tidak kuat, dia akan mengirim utusan untuk minta berdamai, semasa musuhnya masih jauh."

33Akhirnya Yesus berkata, "Demikian juga dengan kamu. Tidak seorang pun daripada kamu dapat menjadi pengikut-Ku, kecuali dia meninggalkan segala miliknya."

Garam yang Tawar

34"Garam sangat berguna, tetapi jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi.

35Garam yang tawar tidak lagi berguna untuk menyuburkan tanah ataupun untuk dijadikan baja; sebaiknya dibuang sahaja. Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!"


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Lukas 14):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Lukas 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel