Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 4 >> 

Yesus Dicubai oleh Iblis

1Yesus yang dikuasai oleh Roh Allah, kembali dari kawasan Sungai Yordan. Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun.

2Di situ Dia dicubai oleh Iblis selama empat puluh hari. Sepanjang masa itu, Yesus tidak makan apa-apa, sehingga Dia lapar.

3Iblis berkata kepada-Nya, "Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu ini menjadi roti."

4Yesus menjawab, "Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja.’"

5Lalu Iblis membawa Yesus ke tempat yang tinggi, dan dalam sekelip mata Iblis menunjukkan segala kerajaan di dunia kepada-Nya.

6"Aku akan memberikan segala kekuasaan dan kekayaan ini kepada-Mu," kata Iblis kepada Yesus. "Semuanya ini telah diberikan kepadaku, dan aku berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang aku suka.

7Semua ini akan menjadi milik-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku."

8Yesus menjawab, "Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’"

9Lalu Iblis membawa Yesus ke Yerusalem dan menaruh Dia di puncak Rumah Tuhan dan berkata kepada-Nya, "Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah,

10kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan memerintah para malaikat-Nya menjaga Engkau baik-baik.’

11Juga tertulis, ‘Malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’"

12Yesus menjawab, "Di dalam Alkitab tertulis, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’"

13Apabila Iblis selesai mencubai Yesus dengan segala upaya, dia meninggalkan Yesus untuk sementara waktu.

Yesus Memulakan Pelayanan-Nya di Galilea

14Yesus kembali ke Galilea dan kuasa Roh Allah menyertai Dia. Berita tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu.

15Yesus mengajar di rumah ibadat dan Dia dipuji oleh semua orang.

Yesus Tidak Diterima di Nasaret

16Kemudian Yesus pergi ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat, seperti biasa Yesus pergi ke rumah ibadat. Dia berdiri untuk membaca Alkitab,

17lalu Dia diberikan gulungan naskhah yang berisi perkhabaran daripada Nabi Yesaya. Yesus membuka gulungan naskhah itu, lalu mendapatkan bahagian yang tertulis,

18"Roh Tuhan ada pada-Ku. Dia telah melantik Aku supaya mengkhabarkan Berita Baik kepada orang miskin. Dia mengutus Aku supaya mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, kesembuhan bagi orang buta; dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas,

19serta mengisytiharkan masanya Tuhan menyelamatkan umat-Nya."

20Yesus menggulung gulungan naskhah itu semula dan mengembalikannya kepada petugas, lalu duduk. Mata semua orang di dalam rumah ibadat itu tertumpu kepada Yesus.

21Yesus mula berkata kepada mereka, "Pada hari ini ayat-ayat Alkitab ini sudah berlaku pada masa kamu mendengarnya."

22Kata-kata yang diucapkan oleh Yesus baik sekali sehingga para pendengar-Nya kagum. Mereka berkata, "Bukankah dia anak Yusuf?"

23Tetapi Yesus berkata, "Tentu kamu akan menyebut peribahasa ini kepada-Ku, ‘Hai doktor, sembuhkanlah dirimu sendiri.’ Kamu juga akan berkata, ‘Kami mendengar tentang semua perkara yang sudah berlaku di Kapernaum, lakukanlah semuanya di kampung halamanmu juga.’"

24Yesus berkata lagi, "Ketahuilah, seorang nabi tidak pernah dihormati di kampung halamannya sendiri.

25Dengarkan kata-kata-Ku: Memang ada banyak balu di Israel pada zaman Nabi Elia. Pada masa itu musim kemarau berlanjutan, kerana hujan tidak turun selama tiga tahun setengah sehingga bencana kebuluran yang dahsyat berlaku di negeri itu.

26Tetapi Allah tidak menyuruh Elia pergi kepada salah seorang balu itu. Dia disuruh pergi kepada seorang balu yang tinggal di Sarafat di daerah Sidon.

27Demikian juga ada banyak orang berpenyakit kulit yang mengerikan di Israel pada zaman Nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman orang Siria itu."

28Semua orang di rumah ibadat itu sangat marah apabila mereka mendengar hal itu.

29Mereka bangkit lalu menyeret Yesus ke luar bandar dan membawa-Nya ke puncak bukit tempat kota mereka dibina. Mereka bermaksud menolak Yesus ke dalam jurang.

30Tetapi Yesus terus berjalan antara orang ramai lalu pergi dari situ.

Orang yang Dirasuk Roh Jahat

31Lalu Yesus pergi ke Kapernaum, sebuah kota di Galilea. Di situ Dia mengajar orang pada hari Sabat.

32Orang kagum melihat cara Yesus mengajar, kerana Dia berkata-kata dengan wibawa.

33Di rumah ibadat itu ada seorang yang dirasuk roh jahat. Orang itu memekik dengan suara kuat,

34"Engkau mahu berbuat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan suci daripada Allah!"

35Yesus memerintah roh itu, "Diam, dan keluarlah daripada orang ini!" Kemudian roh jahat itu membanting orang itu di hadapan mereka, lalu keluar daripada orang itu tanpa menyakitinya.

36Semua orang hairan dan bercakap sesama sendiri, "Alangkah hebat kata-katanya. Dengan wibawa dan kuasa, dia memerintah roh-roh jahat keluar lalu roh-roh itu pun keluar!"

37Laporan tentang Yesus tersebar di seluruh kawasan itu.

Yesus Menyembuhkan Banyak Orang

38Yesus meninggalkan rumah ibadat itu, lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mentua Simon sakit; dia demam. Orang di situ memberitahukan hal itu kepada Yesus.

39Yesus mendekati katil ibu itu, lalu mengusir demamnya. Demam ibu mentua Simon hilang, lalu dia segera bangun untuk melayani mereka.

40Ketika matahari terbenam, semua orang yang mempunyai kawan yang menderita berbagai-bagai penyakit membawa mereka kepada Yesus. Yesus meletakkan tangan-Nya ke atas tiap-tiap orang dan menyembuhkan mereka semua.

41Roh-roh jahat pun keluar daripada banyak orang, sambil berseru, "Engkau Anak Allah!" Yesus menengking roh-roh itu dan berkata, "Diam!" Dia berkata demikian kerana roh-roh itu tahu bahawa Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah.

Yesus Berkhutbah di Rumah Ibadat

42Apabila fajar menyingsing, Yesus meninggalkan kota itu lalu pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia. Apabila mereka menjumpai Dia, mereka cuba menghalang Dia meninggalkan kota itu.

43Tetapi Yesus berkata kepada mereka, "Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah harus Aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana Allah mengutus Aku untuk melakukan tugas itu."

44Demikianlah Dia menyampaikan Berita Baik itu di rumah ibadat di seluruh Yudea.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Lukas 4):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Lukas 4 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel