Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 14 >> 

Kematian Yohanes Pembaptis

1Pada masa itulah Herodes, penguasa negeri Galilea, mendengar berita tentang Yesus.

2Herodes berkata kepada pegawai-pegawainya, "Sesungguhnya dia itu Yohanes Pembaptis! Dia sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat."

3Herodes menyangka demikian kerana sebelum itu Herodes memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, dirantai lalu dimasukkan ke dalam penjara. Herodes berbuat demikian kerana Herodias itu, isteri Filipus, saudaranya.

4Yohanes sentiasa menegur Herodes, katanya, "Tuan bersalah kerana berkahwin dengan Herodias!"

5Herodes berniat membunuh Yohanes, tetapi Herodes takut akan orang Yahudi kerana mereka menganggap Yohanes sebagai nabi.

6Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan para hadirin dan menghiburkan hati Herodes.

7Oleh itu Herodes bersumpah akan memberikan apa sahaja yang diminta oleh gadis itu.

8Gadis itu mengikut kehendak ibunya dan meminta kepala Yohanes Pembaptis di atas talam pada waktu itu juga.

9Mendengar permintaan itu, Herodes bersedih hati. Tetapi Herodes sudah bersumpah di hadapan semua hadirin. Oleh itu Herodes memberikan perintah supaya permintaan gadis itu dipenuhi.

10Oleh itu Herodes menyuruh orang pergi ke penjara untuk memancung kepala Yohanes.

11Kemudian kepala Yohanes ditaruh di atas talam dan diserahkan kepada gadis itu. Lalu gadis itu membawa kepala Yohanes kepada ibunya.

12Setelah itu pengikut Yohanes datang untuk mengambil jenazah Yohanes dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi dan memberitahu Yesus hal itu.

Yesus Memberikan Makanan kepada Lima Ribu Orang

13Apabila Yesus mendengar berita tentang Yohanes, Dia meninggalkan tempat itu dengan perahu, lalu pergi sendirian ke suatu tempat yang sunyi. Tetapi orang ramai mendengar hal itu, lalu mereka meninggalkan bandar mereka dan mengikut Yesus melalui jalan darat.

14Apabila Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka dan menyembuhkan orang sakit di situ.

15Pada petang harinya, pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, "Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. Suruhlah semua orang ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan."

16Tetapi Yesus menjawab, "Mereka tidak usah pergi; kamu sendiri beri mereka makanan."

17Pengikut-pengikut-Nya berkata, "Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan!"

18Yesus berkata, "Bawalah makanan itu kepada-Ku."

19Kemudian Dia menyuruh orang ramai duduk di atas rumput. Lalu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Kemudian Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia membahagikan roti itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu.

20Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul.

21Jumlah orang lelaki yang makan kira-kira lima ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak.

Yesus Berjalan di atas Air

22Kemudian Yesus menyuruh pengikut-pengikut-Nya naik perahu dan menyeberangi tasik terlebih dahulu, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang.

23Setelah orang ramai pergi, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Pada petang harinya Yesus masih sendirian di situ.

24Tetapi pada masa itu perahu yang dinaiki oleh pengikut Yesus sudah jauh di tengah-tengah tasik, dan diumbang-ambingkan ombak kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan.

25Antara pukul tiga dan enam pagi, Yesus berjalan di atas air dan menghampiri mereka.

26Apabila pengikut-pengikut-Nya nampak Dia berjalan di atas air, mereka berasa gerun. "Hantu!" jerit mereka dengan ketakutan.

27Tetapi Yesus segera berkata kepada mereka, "Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut!"

28Lalu Petrus berkata, "Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar Yesus, suruhlah aku datang berjalan di atas air."

29"Marilah," jawab Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air menuju kepada Yesus.

30Tetapi apabila Petrus nampak betapa kencangnya angin bertiup, dia takut dan mula tenggelam. Lalu Petrus berseru, "Ya Tuhan, selamatkanlah aku!"

31Dengan segera Yesus menghulurkan tangan lalu memegang dia. Yesus berkata, "Mengapa engkau kurang percaya kepada-Ku? Mengapa engkau meragui Aku?"

32Lalu kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun teduh.

33Kemudian pengikut Yesus yang di perahu sujud menyembah Yesus sambil berkata, "Sesungguhnya Engkau Anak Allah!"

Yesus Menyembuhkan Orang Sakit di Genesaret

34Mereka menyeberangi tasik lalu tiba di Genesaret.

35Orang di situ mengenal Yesus. Kemudian mereka memberitahu semua orang di sekitar daerah itu bahawa Yesus datang, lalu mereka membawa orang sakit kepada Yesus.

36Mereka memohon supaya setidak-tidaknya Yesus membenarkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Semua orang sakit yang menyentuh hujung jubah-Nya sembuh.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Matius 14):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Matius 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel