Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 19 >> 

Ajaran Yesus tentang Perceraian

1Setelah Yesus mengatakan semua perkara itu, Dia meninggalkan Galilea lalu pergi ke daerah Yudea di seberang Sungai Yordan.

2Banyak orang mengikut Dia, dan Dia menyembuhkan orang sakit di situ.

3Beberapa orang Farisi datang untuk memerangkap Yesus. Mereka bertanya, "Adakah Taurat kita membenarkan seorang lelaki menceraikan isterinya dengan sebarang alasan?"

4Yesus menjawab, "Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab yang mengatakan bahawa pada mulanya Allah menjadikan orang lelaki dan perempuan?

5Kemudian Allah berfirman, ‘Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu kedua-duanya menjadi satu.’

6Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang, tetapi satu. Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia."

7Orang Farisi di situ bertanya kepada Yesus, "Jika demikian, mengapa Musa memberikan hukum yang membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai?"

8Yesus menjawab, "Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi sebenarnya bukanlah demikian pada mulanya.

9Ketahuilah, sesiapa menceraikan isterinya, kecuali kerana perzinaan, orang itu berzina jika dia berkahwin lagi dengan wanita lain."

10Pengikut-pengikut Yesus berkata kepada-Nya, "Jika demikian halnya dengan kehidupan suami isteri, lebih baik tidak berkahwin."

11Yesus menjawab, "Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang sudah dikurniai oleh Allah kemampuan untuk menerimanya.

12Banyak sebabnya mengapa orang tidak berkahwin: Ada yang dilahirkan demikian, ada yang dijadikan mandul, dan ada pula yang tidak berkahwin supaya dapat mengabdikan diri kepada Allah. Biarlah orang yang sanggup menerima ajaran ini, berbuat demikian."

Yesus Memberkati Kanak-Kanak

13Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala kanak-kanak itu dan mendoakan mereka. Tetapi pengikut-pengikut Yesus memarahi orang yang membawa semua kanak-kanak itu.

14Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah."

15Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala semua kanak-kanak itu. Kemudian Dia pergi.

Orang Muda yang Kaya

16Pada suatu hari seorang lelaki datang kepada Yesus. Dia bertanya, "Guru, perbuatan baik apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?"

17Yesus menjawab, "Mengapakah kamu bertanya kepada-Ku tentang apa yang baik? Hanya Allah yang baik. Taatilah hukum Allah jika kamu hendak beroleh hidup sejati dan kekal."

18"Hukum yang mana?" tanya orang itu. Yesus menjawab, "Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu;

19hormatilah ibu bapamu; dan kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri."

20"Semua hukum ini sudah saya taati," jawab orang muda itu. "Adakah lagi yang harus saya lakukan?"

21Yesus berkata kepadanya, "Jika kamu hendak menjadi sempurna, pergilah jual segala sesuatu yang kamu miliki, dan berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku."

22Apabila orang muda itu mendengar hal ini, dia meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya.

23Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Ketahuilah, susah sekali bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.

24Aku berkata kepada kamu: Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah."

25Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar kata-kata-Nya, mereka sangat hairan. Mereka berkata, "Jika demikian siapakah yang boleh diselamatkan?"

26Yesus memandang mereka lalu berkata, "Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi Allah dapat melakukan segala perkara!"

27Lalu Petrus berkata, "Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru. Apakah yang akan kami terima daripada Allah?"

28Yesus berkata kepada mereka, "Percayalah bahawa pada masa Anak Manusia duduk di atas takhta-Nya yang mulia di Dunia Baru Allah, kamu dua belas orang pengikut-Ku juga akan duduk di atas takhta dan memerintah dua belas suku Israel!

29Setiap orang yang sudah meninggalkan rumah, atau saudara lelaki, atau saudara perempuan, atau ibu bapa, atau anak-anak, atau ladang kerana Aku, akan menerima seratus kali ganda apa yang sudah ditinggalkan, serta menerima hidup sejati dan kekal.

30Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu."


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Matius 19):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Matius 19 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel