Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 1 >> 

Perkhabaran Yohanes Pembaptis

1Inilah Berita Baik tentang Yesus Kristus, Anak Allah.

2Berita Baik ini bermula seperti yang ditulis oleh Nabi Yesaya, "Allah berfirman, ‘Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu, supaya dia menyediakan jalan bagi-Mu.’

3Seorang berseru di padang gurun, ‘Sediakanlah jalan bagi Tuhan; luruskanlah jalan bagi-Nya!’"

4Demikianlah Yohanes muncul di padang gurun. Dia membaptis orang dan mengisytiharkan berita daripada Allah. "Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hendaklah kamu dibaptis, supaya Allah mengampunkan dosa kamu," kata Yohanes kepada orang ramai.

5Banyak sekali orang yang datang dari negeri Yudea dan kota Yerusalem untuk mendengarkan Yohanes. Mereka mengakui dosa dan Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan.

6Yohanes mengenakan pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya dibuat daripada kulit. Dia makan belalang dan madu hutan.

7Dia mengisytiharkan berita ini, "Dia yang lebih besar daripada aku akan datang kelak. Aku tidak layak membongkok untuk mengurai tali kasut-Nya.

8Aku membaptis kamu dengan air, tetapi Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah."

Yesus Dibaptis oleh Yohanes

9Kemudian Yesus datang dari Nasaret di negeri Galilea, lalu Yohanes membaptis Dia di Sungai Yordan.

10Sebaik sahaja Yesus keluar dari sungai itu, Dia nampak langit terbuka dan Roh Allah seperti burung merpati turun ke atas-Nya.

11Lalu terdengarlah suara Allah, "Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku."

Yesus Dicubai oleh Iblis

12Roh Allah segera memimpin Yesus ke padang gurun.

13Selama empat puluh hari Yesus di situ, dan dicubai oleh Iblis. Binatang liar juga ada di situ, dan malaikat datang menolong Dia.

Yesus Memanggil Empat Orang Nelayan

14Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea dan mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah.

15Dia berkata, "Masanya sudah tiba; tidak lama lagi Allah akan memerintah. Bertaubatlah daripada dosa kamu dan percayalah kepada Berita Baik ini!"

16Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan, Simon dan saudaranya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik.

17Yesus berkata kepada mereka, "Ikutlah Aku dan Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku."

18Mereka segera meninggalkan jala lalu mengikut Yesus.

19Yesus meneruskan perjalanan-Nya, lalu melihat dua orang adik-beradik yang lain: Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka sedang mengemaskan jala di dalam perahu.

20Sebaik sahaja Yesus nampak mereka, Dia memanggil mereka. Kedua-dua orang bersaudara itu meninggalkan bapa mereka dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus.

Orang yang Dirasuk Roh Jahat

21Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di kota Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Yesus pergi ke rumah ibadat dan mula mengajar.

22Semua orang yang mendengarkan Dia kagum dengan cara Dia mengajar, kerana Dia mengajar dengan kewibawaan, tidak seperti guru Taurat.

23Pada waktu itu seorang yang dirasuk roh jahat masuk ke dalam rumah ibadat dan berseru,

24"Engkau mahu buat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan yang suci daripada Allah!"

25Yesus menengking roh itu, "Diam! Keluarlah daripada orang ini!"

26Roh jahat itu menggoncangkan badan orang itu kuat-kuat, lalu keluar dari orang itu sambil berteriak.

27Semua orang sangat hairan sehingga mereka bercakap sesama sendiri, "Apakah ini suatu ajaran baru? Orang ini berkuasa memerintah roh jahat dan roh jahat taat kepada-Nya!"

28Demikianlah berita tentang Yesus tersebar dengan cepat ke seluruh negeri Galilea.

Yesus Menyembuhkan Banyak Orang

29Yesus dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, meninggalkan rumah ibadat itu lalu terus pergi ke rumah Simon dan Andreas.

30Ibu mentua Simon sedang terbaring di tempat tidur kerana demam. Apabila Yesus tiba di situ, Dia diberitahukan hal itu.

31Yesus menghampiri ibu mentua Simon, memegang tangannya lalu menolong dia bangun. Demamnya hilang dan dia pun mula melayani mereka.

32Pada petang hari, setelah matahari terbenam, orang membawa semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat kepada Yesus.

33Semua penduduk kota itu berkumpul di hadapan rumah itu.

34Yesus menyembuhkan banyak orang yang menderita berbagai-bagai penyakit, dan Dia juga mengusir roh-roh jahat. Yesus tidak membenarkan roh-roh jahat berkata apa-apa, kerana roh-roh jahat tahu siapa Dia.

Yesus Berkhutbah di Galilea

35Esok paginya, ketika masih subuh, Yesus bangun lalu meninggalkan rumah. Dia pergi ke luar kota, ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa.

36Simon dan sahabat-sahabatnya pergi mencari Yesus.

37Apabila mereka menemui Yesus, mereka berkata, "Semua orang sedang mencari Guru."

38Tetapi Yesus menjawab, "Kita mesti meneruskan perjalanan ke pekan-pekan lain di sekitar kawasan ini. Aku mesti menyampaikan perkhabaran itu di sana juga, kerana untuk tujuan itulah Aku datang."

39Demikianlah Yesus menjelajah seluruh Galilea dan berkhutbah di rumah ibadat serta mengusir roh-roh jahat.

Yesus Menyembuhkan Seorang Berpenyakit Kulit

40Seorang berpenyakit kulit yang mengerikan datang kepada Yesus. Orang itu berlutut dan memohon pertolongan-Nya. "Tuan, jika tuan sudi," katanya, "tuan dapat menyembuhkan saya."

41Yesus mengasihaninya. Dia pun menghulurkan tangan-Nya, lalu menjamah orang itu sambil berkata, "Aku mahu, sembuhlah!"

42Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi dan orang itu sembuh.

43Lalu Yesus menyuruh dia pergi sambil memperingatkan dia,

44"Dengarlah baik-baik, jangan beritahu sesiapa pun perkara ini. Tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhanmu. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh."

45Tetapi orang itu pergi dan mula menyebarkan berita itu di mana-mana. Dia terus-menerus menceritakan hal itu sehingga Yesus tidak dapat masuk ke bandar secara terang-terangan. Yesus tinggal di luar bandar di tempat-tempat yang sunyi, tetapi orang dari berbagai-bagai tempat datang kepada-Nya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Markus 1):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Markus 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel