Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 8 >> 

Yesus Memberikan Makanan kepada Empat Ribu Orang

1Tidak lama kemudian, ada lagi orang ramai datang berkumpul. Apabila mereka kehabisan makanan, Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan berkata,

2"Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku, dan sekarang mereka kehabisan makanan.

3Jika Aku menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan, kerana ada antara mereka yang datang dari jauh."

4Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, "Di tempat terpencil ini, di manakah orang boleh mendapat cukup makanan untuk semua orang ini?"

5Yesus bertanya kepada mereka, "Berapa banyak roti yang ada pada kamu?" "Tujuh ketul," jawab mereka.

6Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Lalu Dia mengambil tujuh ketul roti itu dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Pengikut-Nya pun berbuat demikian.

7Mereka juga mempunyai beberapa ekor ikan kecil. Yesus mengucap syukur kepada Allah bagi ikan itu, lalu menyuruh pengikut-Nya membahagi-bahagikan ikan itu juga.

8Semua orang makan sehingga kenyang -- ada kira-kira empat ribu orang di situ. Selepas itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. Kemudian Yesus menyuruh orang ramai pulang.

9(8:8)

10Sesudah itu Dia segera menaiki perahu bersama-sama para pengikut-Nya, lalu pergi ke daerah Dalmanuta.

Orang Farisi Meminta Yesus Melakukan Mukjizat

11Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan mula bersoal jawab dengan Dia. Mereka hendak memerangkap Dia. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah.

12Yesus mengeluh lalu menjawab, "Mengapakah orang zaman ini meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Tanda semacam itu tidak akan diberikan kepada mereka!"

13Yesus meninggalkan mereka, lalu kembali ke perahu dan mula menyeberangi tasik.

Ragi Orang Farisi dan Ragi Herodes

14Pengikut Yesus lupa membawa roti yang cukup. Mereka hanya mempunyai seketul roti di perahu.

15Yesus memperingatkan mereka, "Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes."

16Mereka mula mempersoalkan hal itu. Mereka berkata, "Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti."

17Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Oleh itu Dia bertanya kepada mereka, "Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham juga? Adakah fikiran kamu sedemikian tumpul?

18Kamu mempunyai mata, mengapa tidak dapat melihat? Kamu mempunyai telinga, mengapa tidak dapat mendengar? Tidakkah kamu ingat

19bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?" Mereka menjawab, "Dua belas."

20Yesus bertanya lagi, "Ketika Aku membahagikan tujuh ketul roti untuk empat ribu orang, berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?" Mereka menjawab, "Tujuh."

21Yesus berkata, "Dan kamu masih belum faham juga?"

Yesus Menyembuhkan Seorang Buta di Betsaida

22Mereka tiba di Betsaida. Di situ beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus, dan mereka memohon supaya Yesus menyentuh dia agar dia sembuh.

23Yesus memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya keluar dari pekan itu. Setelah Yesus meludahi mata orang itu, Dia meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu, lalu bertanya kepadanya, "Dapatkah kamu lihat sesuatu?"

24Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, "Ya. Saya nampak orang, tetapi mereka seperti pokok yang berjalan."

25Sekali lagi Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Kali ini orang itu memandang dengan seboleh-bolehnya. Matanya sembuh, dan dia melihat segala-galanya dengan jelas sekali.

26Lalu Yesus menyuruh dia pulang, dan berkata kepadanya, "Jangan masuk lagi ke pekan itu."

Pengakuan Petrus tentang Yesus

27Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Yesus bertanya kepada mereka, "Menurut kata orang, siapakah Aku ini?"

28Mereka menjawab, "Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada pula yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata salah seorang nabi."

29"Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?" tanya Yesus. Petrus menjawab, "Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah!"

30Lalu Yesus memerintah mereka, "Jangan beritahu sesiapa pun perkara tentang diri-Ku."

Yesus Berkata-kata tentang Kesengsaraan dan Kematian-Nya

31Kemudian Yesus mula mengajar pengikut-pengikut-Nya, "Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, dan tidak akan diterima oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula."

32Yesus mengatakan hal ini kepada mereka dengan jelas sekali. Oleh itu Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia.

33Tetapi Yesus berpaling dan memandang pengikut-pengikut-Nya, lalu menegur Petrus, "Pergilah dari sini, hai Iblis! Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!"

34Kemudian Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai di situ. Dia berkata kepada mereka, "Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku.

35Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidupnya untuk-Ku dan untuk Berita Baik daripada Allah, akan menyelamatkannya.

36Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati?

37Dapatkah hidup itu ditukar dengan sesuatu? Tentu tidak.

38Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku pada zaman yang derhaka dan jahat ini, Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu, apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan Bapa-Nya berserta malaikat-malaikat-Nya yang suci."


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Markus 8):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Markus 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel