Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 18 >> 

Lagu Kemenangan Daud

1Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud, hamba TUHAN. Dinyanyikan kepada TUHAN pada waktu TUHAN menyelamatkan Daud daripada Raja Saul dan daripada semua musuhnya. (18-2) Aku sangat mengasihi Engkau, ya TUHAN! Engkaulah pembelaku.

2(18-3) TUHAN ialah pelindungku; Dia bagaikan kubu yang kuat bagiku. Allahku tempat perlindunganku, aku selamat bersama dengan Dia. Dia melindungi aku seperti perisai; Dia membela dan menjaga aku supaya aku selamat.

3(18-4) Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku.

4(18-5) Bahaya maut mengelilingi aku, banjir kebinasaan menggenangi aku.

5(18-6) Bahaya maut mengelilingi aku, dan kubur memasang perangkap untukku.

6(18-7) Dalam kesusahan aku berseru kepada TUHAN; aku berseru kepada Allahku minta pertolongan. Di dalam Rumah-Nya Dia mendengar suaraku; Dia memperhatikan seruanku.

7(18-8) Kemudian bumi bergempa dan bergoncang; tapak gunung bergoyang dan bergegar, kerana Allah murka.

8(18-9) Asap berhembus dari hidung-Nya, api dan bara keluar dari mulut-Nya.

9(18-10) Dia membelah langit lalu turun dengan awan gelap di bawah kaki-Nya.

10(18-11) Dia terbang laju dengan mengenderai kerub; Dia melayang di atas sayap angin.

11(18-12) Dia menutup diri-Nya dengan kegelapan; awan mendung yang tebal mengelilingi Dia.

12(18-13) Hujan batu dan api datang dari kilat yang di hadapan-Nya, menembusi awan yang tebal itu.

13(18-14) Kemudian TUHAN mengguntur dari angkasa; dan Yang Maha Tinggi memperdengar suara-Nya.

14(18-15) Dia melepaskan anak panah-Nya dan mencerai-beraikan musuh-Nya; Dia memancarkan kilat sehingga menyebabkan mereka lari.

15(18-16) Dasar lautan tersingkap, dan asas bumi terdedah, ketika Engkau menegur musuh-Mu, ya TUHAN, dan bertempik dengan murka terhadap mereka.

16(18-17) Dari atas TUHAN menghulurkan tangan-Nya, Dia memegang aku, lalu menarik aku keluar dari air yang dalam.

17(18-18) Dia menyelamatkan aku daripada musuhku yang kuat, dan daripada mereka yang membenci aku, kerana mereka terlalu kuat bagiku.

18(18-19) Ketika aku dalam kesusahan, mereka menyerang aku, tetapi TUHAN melindungi aku.

19(18-20) Dia melepaskan aku daripada bahaya; Dia menyelamatkan aku kerana Dia berkenan kepadaku.

20(18-21) TUHAN mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar; Dia memberkati aku kerana aku tidak bersalah.

21(18-22) Aku mematuhi Taurat TUHAN; aku tidak meninggalkan Allahku.

22(18-23) Aku telah mentaati segala hukum-Nya; aku tidak pernah mengingkari perintah-Nya.

23(18-24) Dia tahu bahawa aku tidak bercela, dan aku menjauhkan diri daripada kesalahan.

24(18-25) Oleh itu Dia mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar, kerana Dia tahu bahawa aku tidak bersalah.

25(18-26) Ya TUHAN, Engkau setia kepada orang yang setia kepada-Mu, dan Engkau sangat baik kepada orang yang baik.

26(18-27) Engkau menyatakan diri-Mu suci kepada orang yang suci, tetapi Engkau memusuhi orang yang jahat.

27(18-28) Engkau menyelamatkan orang yang rendah hati, tetapi Engkau merendahkan orang yang sombong.

28(18-29) Engkau memberikan cahaya kepadaku; TUHAN Allahku menerangi kegelapanku.

29(18-30) Engkau memberi aku kekuatan untuk menyerang musuhku, dan kuasa untuk menembusi pertahanan mereka.

30(18-31) Betapa sempurnanya perbuatan Allah ini, firman TUHAN dapat dipercayai. Dia umpama perisai bagi semua orang yang berlindung kepada-Nya.

31(18-32) TUHAN satu-satunya Allah; hanya Allah pembela kita.

32(18-33) Dialah Allah yang menguatkan aku, dan menjadikan jalanku aman.

33(18-34) Dia menguatkan kakiku seperti kaki rusa; Dia menjaga keselamatanku di pergunungan.

34(18-35) Dia melatih aku untuk berperang, supaya aku dapat melengkungkan busur yang terkuat.

35(18-36) Ya TUHAN, Engkau melindungi dan menyelamatkan aku; pertolongan-Mu telah menjadikan aku agung dan kuasa-Mu memelihara keselamatanku.

36(18-37) Engkau menjaga aku supaya aku tidak ditawan, dan aku tidak pernah jatuh.

37(18-38) Aku mengejar musuhku dan menangkap mereka; aku tidak berhenti sehingga aku mengalahkan mereka.

38(18-39) Aku memukul mereka sehingga mereka tidak dapat bangun; mereka rebah kerana kalah di hadapanku.

39(18-40) Engkau memberi aku tenaga untuk bertempur, dan kemenangan atas musuhku.

40(18-41) Engkau menyebabkan musuhku lari daripadaku; aku membinasakan orang yang membenci aku.

41(18-42) Mereka berteriak minta tolong, tetapi tiada sesiapa pun menyelamatkan mereka; mereka berseru kepada TUHAN, tetapi Dia tidak menjawab.

42(18-43) Aku menghancurkan mereka sehingga mereka menjadi seperti debu yang ditiup angin; aku memijak-mijak mereka seperti lumpur di jalan.

43(18-44) Engkau menyelamatkan aku daripada umat yang memberontak, dan menjadikan aku pemerintah bangsa-bangsa; bangsa yang tidak aku kenal menjadi rakyatku.

44(18-45) Bangsa asing meromok ketakutan di hadapanku, dan taat apabila mendengar perintahku.

45(18-46) Mereka hilang keberanian; mereka gementar dan keluar dari kubu pertahanan.

46(18-47) TUHAN hidup! Pujilah pembelaku! Isytiharkanlah keagungan Allah penyelamatku!

47(18-48) Dia memberi aku kemenangan atas musuhku; Dia menaklukkan bangsa-bangsa di hadapanku

48(18-49) dan menyelamatkan aku daripada lawanku. Ya TUHAN, Engkau memberi aku kemenangan atas musuhku dan melindungi aku daripada orang ganas.

49(18-50) Oleh itu aku memuji Engkau di kalangan bangsa-bangsa; aku menyanyikan pujian untuk-Mu.

50(18-51) Allah memberikan kemenangan besar kepada raja pilihan-Nya; Dia tetap mengasihi orang yang dilantik-Nya, iaitu Daud dan keturunannya, untuk selama-lamanya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Mazmur 18 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel