Doa pada Waktu Kesusahan dan Lagu Pujian
1Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Rusa di Kala Fajar. Mazmur Daud. (22-2) Allahku, ya Allahku, mengapakah Engkau meninggalkan aku? Aku berseru tetapi Engkau tetap jauh, dan tidak menolong aku.
2(22-3) Pada siang hari aku berseru kepada-Mu, ya Allah, tetapi Engkau tidak menyahut; aku berseru pada waktu malam, namun tidak juga mendapat ketenteraman.
3(22-4) Tetapi Engkau Raja Yang Maha Suci, yang dipuji oleh Israel.
4(22-5) Kepada-Mu nenek moyang kami percaya; mereka percaya kepada-Mu dan Engkau menyelamatkan mereka.
5(22-6) Mereka berseru kepada-Mu dan Engkau menjauhkan mereka daripada bahaya; mereka percaya kepada-Mu dan tidak dikecewakan.
6(22-7) Tetapi aku ini ulat, bukan manusia, yang dihina dan dicaci semua orang.
7(22-8) Semua orang yang melihat aku mempermainkan aku; mereka menjelirkan lidah dan menggelengkan kepala.
8(22-9) Mereka berkata, "Kamu percaya kepada TUHAN, tetapi mengapakah Dia tidak menyelamatkan kamu? Jika TUHAN mengasihi kamu, mengapakah Dia tidak menolong kamu?"
9(22-10) Engkaulah, ya TUHAN, yang mengeluarkan aku dari kandungan ibuku, dan ketika aku masih bayi, Engkaulah yang memelihara aku.
10(22-11) Sejak lahir, aku bergantung kepada-Mu; sejak dalam kandungan, Engkaulah Allahku.
11(22-12) Janganlah jauhkan diri daripadaku. Kesusahan sudah dekat, dan tiada sesiapa pun yang membantu.
12(22-13) Banyak musuh yang mengepung aku; mereka semua mengelilingi aku, seperti kerbau hutan dari negeri Basan.
13(22-14) Mereka mengangakan mulut seperti singa, hendak mengaum dan menerkam aku.
14(22-15) Tenagaku hilang, hilang seperti air yang tumpah. Semua tulangku terkehel; hatiku meleleh seperti lilin.
15(22-16) Kerongkongku kering seperti debu, dan lidahku melekat di lelangit. Engkau tinggalkan aku di atas debu, seperti orang yang sudah mati.
16(22-17) Sekumpulan orang jahat mengelilingi aku; seperti sekumpulan anjing, mereka mengepung aku; mereka menyiat tangan serta kakiku.
17(22-18) Semua tulangku kelihatan. Musuh memandang aku sebagai tontonan;
18(22-19) mereka membahagi-bahagikan pakaianku dan membuang undi untuk jubahku.
19(22-20) Ya TUHAN, janganlah jauhkan diri daripadaku, cepatlah datang untuk menolong aku.
20(22-21) Selamatkanlah aku daripada pedang; selamatkanlah aku daripada cengkaman anjing.
21(22-22) Aku tidak berdaya, lepaskanlah aku dari tanduk kerbau dan dari mulut singa.
22(22-23) Aku akan memberitahu rakyatku tentang perbuatan-Mu; dalam perhimpunan mereka aku akan memuji-Mu.
23(22-24) Pujilah Dia, hai hamba-hamba TUHAN! Hormatilah Dia, hai keturunan Yakub; sembahlah Dia, hai umat Israel!
24(22-25) Dia tidak memandang hina kepada orang tertindas ataupun mengabaikan penderitaan mereka; Dia tidak menjauhkan diri-Nya daripada mereka, tetapi mendengar apabila mereka meminta pertolongan-Nya.
25(22-26) Dalam perhimpunan besar umat-Mu, aku akan memuji Engkau kerana segala yang telah Engkau lakukan; di hadapan semua orang yang menyembah Engkau aku akan mempersembahkan korban yang aku janjikan.
26(22-27) Orang miskin akan makan dengan puas hati; mereka yang datang kepada TUHAN akan memuji Dia. Semoga mereka makmur selama-lamanya!
27(22-28) Semua bangsa akan mengingat TUHAN dan kembali kepada-Nya; semua suku bangsa akan menyembah Dia.
28(22-29) TUHAN itulah raja dan Dia memerintah semua bangsa.
29(22-30) Semua orang yang sombong akan sujud kepada-Nya; semua insan akan berlutut di hadapan-Nya.
30(22-31) Keturunan yang akan datang juga akan berbakti kepada-Nya; manusia akan menceritakan Tuhan kepada keturunan mereka.
31(22-32) Generasi yang akan datang akan diberitahu bahawa TUHAN telah menyelamatkan umat-Nya.