Allah Menyertai Kita
1Mazmur puak Korah. Untuk pemimpin koir. Dengan lagu Alamot. (46-2) Allah perlindungan dan kekuatan kita; Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan.
2(46-3) Oleh itu, kita tidak akan takut, walaupun bumi gempa dan gunung-gunung jatuh ke dasar laut;
3(46-4) walaupun laut mengamuk dan bergelora, dan gunung bergoncang dengan kuatnya.
4(46-5) Ada sebatang sungai yang menggembirakan kota Allah, tempat kediaman Allah Yang Maha Tinggi.
5(46-6) Allah tinggal di situ, kota yang tidak akan dimusnahkan; ketika masih subuh, Dia akan datang menolongnya.
6(46-7) Bangsa-bangsa ketakutan, kerajaan-kerajaan gentar; ketika Allah mengguntur, bumi pun lebur.
7(46-8) TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita; Allah Yakub melindungi kita.
8(46-9) Mari, lihatlah apa yang telah dilakukan TUHAN. Lihatlah, perbuatan Allah di bumi sangat menakjubkan.
9(46-10) Dia menghentikan perang di seluruh dunia; Dia mematahkan busur, memusnahkan lembing, dan membakar perisai.
10(46-11) Dia berfirman, "Berhentilah berperang, ketahuilah bahawa Aku ini Allah, yang agung antara bangsa-bangsa dan di seluruh bumi."
11(46-12) TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita; Allah Yakub melindungi kita.