Keyakinan akan Perlindungan Allah
1Untuk pemimpin koir. Menurut: Yedutun. Mazmur Daud. (62-2) Dengan tenang aku menantikan Allah; Dia sahaja yang menyelamatkan aku.
2(62-3) Hanya Dia pelindungku dan penyelamatku; Dialah pembelaku, dan aku tidak akan dikalahkan.
3(62-4) Sampai bilakah kamu semua akan menyerang seorang yang lemah seperti pagar yang hampir roboh, dan seperti dinding yang miring?
4(62-5) Kamu hanya ingin menjatuhkan dia dari tempat kehormatannya; kamu suka berdusta. Dengan mulut, kamu memberkati, tetapi kamu mengutuk dalam hati.
5(62-6) Dengan tenang aku menantikan Allah; Dia sahaja yang memberi aku harapan.
6(62-7) Hanya Dia pelindungku dan penyelamatku; Dialah pembelaku, dan aku tidak akan dikalahkan.
7(62-8) Penyelamatanku dan kehormatanku bergantung kepada Allah; Dialah pelindungku yang kuat; Dialah tempat perlindunganku.
8(62-9) Hai bangsaku, percayalah kepada Allah setiap masa. Beritahukanlah segala kesusahan kamu kepada-Nya, kerana Dialah penaung kita.
9(62-10) Manusia hanya seperti hembusan nafas; besar atau kecil sama-sama tidak berharga. Kalau ditimbang, mereka ternyata ringan, lebih ringan daripada sehembus nafas.
10(62-11) Jangan bergantung kepada hasil pemerasan; jangan harapkan keuntungan daripada rompakan; walaupan kekayaan kamu bertambah, jangan bergantung kepadanya.
11(62-12) Beberapa kali aku telah mendengar Allah berfirman bahawa kuasa berasal daripada-Nya,
12(62-13) dan bahawa kasih-Nya kekal. Engkau, ya Tuhan, membalas semua orang menurut perbuatan mereka.