Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 89 >> 

Mazmur pada Masa Kesusahan Negara

1Sajak Etan, orang Ezrahi. (89-2) Ya TUHAN, aku akan sentiasa menyanyikan kasih-Mu yang kekal; aku akan memberitakan kesetiaan-Mu selama-lamanya.

2(89-3) Aku tahu bahawa kasih-Mu kekal, dan kesetiaan-Mu kukuh seperti langit.

3(89-4) Engkau berfirman, "Aku telah membuat perjanjian dengan orang pilihan-Ku; Aku telah berjanji kepada Daud, hamba-Ku:

4(89-5) ‘Aku akan mempertahankan takhtamu selama-lamanya, seorang keturunanmu akan sentiasa menjadi raja.’"

5(89-6) Semua makhluk syurga memuji perbuatan-Mu yang ajaib, dan menyanyikan kesetiaan-Mu, ya TUHAN.

6(89-7) Tiada sesiapa di langit yang seperti Engkau, ya TUHAN; tiada makhluk syurga yang setanding dengan Engkau.

7(89-8) Engkau dihormati di sidang makhluk suci, dan sangat ditakuti oleh semua yang di sekeliling-Mu.

8(89-9) Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, tiada yang berkuasa seperti Engkau; Engkau setia dalam segala hal, ya TUHAN.

9(89-10) Engkau memerintah laut yang bergelora, Engkau menenangkan ombak yang melambung hebat.

10(89-11) Engkau meremukkan dan membunuh Rahab, makhluk raksasa itu, dan Engkau mengalahkan musuh-Mu dengan kekuatan-Mu.

11(89-12) Bumi dan langit milik-Mu, dunia dan segala isinya ciptaan-Mu;

12(89-13) Engkau mencipta utara dan selatan; Gunung Tabor dan Gunung Hermon bersorak-sorai memuji-Mu.

13(89-14) Betapa besarnya kuasa-Mu, dan betapa hebatnya kekuatan-Mu!

14(89-15) Kerajaan-Mu berasaskan hukum dan keadilan; kasih dan kesetiaan terdapat pada segala perbuatan-Mu.

15(89-16) Berbahagialah orang yang menyembah Engkau dengan nyanyian, orang yang hidup dalam cahaya hadirat-Mu, TUHAN.

16(89-17) Sepanjang hari mereka bergembira, dan memuji Engkau kerana kebaikan-Mu.

17(89-18) Engkau memberi kami kemenangan yang besar; demi kebaikan-Mu, Engkau membuat kami berjaya.

18(89-19) Engkau, TUHAN memilih pelindung kami; Engkau, Allah Yang Maha Suci, Allah umat Israel memberi kami raja.

19(89-20)

Janji Allah kepada Daud

Dahulu kala dalam suatu penglihatan, Engkau berfirman kepada hamba-hamba-Mu yang setia, "Aku telah menolong seorang pahlawan; Aku telah memberikan takhta kepada seorang yang Kupilih di kalangan rakyat.

20(89-21) Aku telah menemukan hamba-Ku, Daud dan menjadikannya raja, dan Aku menuangi dia dengan minyak upacara.

21(89-22) Kekuatan-Ku sentiasa bersama-sama dia, kuasa-Ku akan menguatkan dia.

22(89-23) Musuh-musuhnya tidak akan dapat menewaskan dia, orang jahat tidak akan dapat mengalahkan dia.

23(89-24) Aku akan menghancurkan lawannya, dan membunuh semua yang membenci dia.

24(89-25) Aku akan sentiasa mengasihi dia dan setia kepadanya; Aku akan selalu memberikan kejayaan kepadanya.

25(89-26) Aku akan meluaskan kerajaannya dari Laut Tengah sampai ke Sungai Efrat.

26(89-27) Dia akan berkata kepada-Ku, ‘Engkaulah Bapaku dan Allahku; Engkaulah pelindung dan penyelamatku.’

27(89-28) Aku akan menjadikan dia putera-Ku yang sulung, dan menjadikan dia raja yang teragung di bumi.

28(89-29) Aku akan tetap mengasihinya, dan perjanjian-Ku dengan dia akan kekal selama-lamanya.

29(89-30) Seorang keturunannya akan bertakhta, dan kerajaannya akan kukuh seperti langit.

30(89-31) Tetapi jika keturunannya melanggar hukum-Ku, dan tidak hidup menurut peraturan-Ku;

31(89-32) jika mereka mensia-siakan arahan-Ku, dan mengabaikan perintah-Ku,

32(89-33) Aku akan menghukum mereka kerana dosa mereka, dan menyebabkan mereka menderita kerana kesalahan mereka.

33(89-34) Tetapi Aku akan terus mengasihi Daud, Aku akan terus menunaikan janji-Ku kepadanya.

34(89-35) Aku tidak akan membatalkan perjanjian-Ku dengan dia, ataupun menarik kembali sebarang janji yang Aku buat dengannya.

35(89-36) Aku berjanji sekali sahaja untuk selama-lamanya dengan nama-Ku yang suci; Aku tidak akan berdusta kepada Daud.

36(89-37) Dia akan sentiasa mempunyai keturunan, dan Aku akan memelihara kerajaannya selama matahari ada.

37(89-38) Kerajaannya akan tetap ada seperti bulan, saksi yang setia di langit."

38(89-39)

Ratapan kerana Kekalahan Raja

Tetapi Engkau murka terhadap raja pilihan-Mu; Engkau telah meninggalkan dan menolak baginda.

39(89-40) Engkau telah membatalkan perjanjian-Mu dengan hamba-Mu, dan membuang mahkotanya ke dalam lumpur.

40(89-41) Engkau telah merobohkan tembok-tembok kotanya, dan membiarkan kubu-kubunya rosak.

41(89-42) Semua orang yang lalu di sana mencuri hartanya; semua jirannya memperolok-olokkan baginda.

42(89-43) Engkau memberikan kemenangan kepada musuhnya, dan menyebabkan mereka semua gembira.

43(89-44) Engkau membuat senjatanya tidak berguna, dan membiarkan baginda kalah dalam perang.

44(89-45) Engkau mengakhiri kuasanya yang gemilang, dan mencampakkan takhtanya ke tanah.

45(89-46) Engkau menjadikan raja tua sebelum masanya, dan Engkau mempermalukan baginda.

46(89-47)

Doa Minta Pembebasan

Ya TUHAN, sampai bilakah Engkau bersembunyi? Sampai bilakah kemurkaan-Mu berkobar seperti api?

47(89-48) Ingatlah, betapa pendeknya usia manusia; ingatlah bahawa Engkau mencipta manusia sebagai makhluk fana.

48(89-49) Siapakah yang boleh hidup dan tidak pernah mati? Bagaimanakah orang dapat mengelakkan kubur?

49(89-50) Ya Tuhan, di manakah bukti tentang kasih-Mu dahulu? Di manakah janji-janji-Mu kepada Daud?

50(89-51) Janganlah lupa bagaimana aku, hamba-Mu, telah dicela; bagaimana aku menanggung kutukan bangsa-bangsa.

51(89-52) Musuh-Mu mencela raja pilihan-Mu, ya TUHAN! Mereka menghina raja ke mana sahaja baginda pergi.

52(89-53) Pujilah TUHAN selama-lamanya! Amin! Amin!


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Mazmur 89 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel