Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Nahum 3 >> 

1Malanglah kota yang dipenuhi pembunuh dan pendusta, dan juga dipenuhi harta benda yang akan dirampas dan dijarah.

2Dengarlah lecutan cambuk dan putaran roda, derap lari kuda dan goncangan kereta kuda.

3Pasukan berkuda menyerang dengan penuh semangat, pedang berkilau dan tombak berkilat. Orang yang mati tidak terhitung, mayat mereka bertimbun-timbun, menyebabkan orang tersandung.

4Niniwe pelacur itu dijatuhi hukuman. Kecantikannya sangat mempesonakan. Dia menyihir banyak bangsa, dan menjadikan mereka hambanya.

5TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, "Hai Niniwe, Aku akan menghukum engkau! Aku akan menelanjangi engkau, dan membiarkan bangsa-bangsa melihatmu; mereka akan nampak keadaanmu yang memalukan.

6Aku memperlakukan engkau dengan penuh kebencian; Aku melempari engkau dengan kotoran. Orang akan menatap engkau dengan rasa gerun.

7Semua orang yang melihatmu akan berundur dan berkata, ‘Niniwe tinggal runtuhan belaka! Siapakah yang turut berduka dengannya? Tiada lagi yang mahu menghiburkan dia.’"

8Hai Niniwe, adakah engkau lebih baik daripada Tebe, ibu kota Mesir? Tebe juga mempunyai sungai yang melindunginya seperti tembok; Sungai Nil adalah pertahanannya.

9Tebe memerintah negeri Etiopia dan Mesir; kuasanya tidak terbatas. Libia menjadi sekutu Tebe.

10Meskipun begitu, penduduk Tebe ditawan dan dibuang negeri. Di setiap sudut jalan, anak-anak mereka dipukul sehingga mati. Para pembesar mereka dirantai lalu dibahagi-bahagikan antara orang yang menangkap mereka.

11Hai Niniwe, engkau pun akan mabuk. Engkau juga akan berusaha untuk menyelamatkan diri daripada musuh.

12Semua kubumu akan menjadi seperti pokok ara yang buahnya sudah masak. Apabila pokok itu digoncang, buahnya akan terus jatuh ke dalam mulut orang yang ingin memakannya.

13Askarmu lemah seperti perempuan dan negerimu terdedah, tidak berkawal di hadapan musuh. Api akan menghanguskan palang pintu gerbangmu.

14Timbalah air untuk persediaan selama engkau dikepung. Kuatkanlah kubu-kubumu! Injak-injaklah tanah liat untuk membuat batu bata, dan sediakanlah acuan-acuannya!

15Apa pun yang engkau buat akan sia-sia sahaja, kerana engkau pasti akan dibakar sehingga mati atau dibunuh dalam pertempuran. Engkau akan lenyap seperti tanaman yang dilahap belalang. Engkau sudah berkembang biak seperti belalang!

16Pedagangmu lebih banyak daripada bintang di langit! Tetapi sekarang mereka sudah pergi, seperti belalang yang mengembangkan sayap lalu terbang menghilang.

17Para pegawaimu seperti kawanan belalang yang berlindung di tembok pada hari sejuk. Tetapi setelah matahari terbit, belalang itu segera terbang menghilang; tiada seorang pun tahu ke mana kawanan belalang itu pergi!

18Hai raja Asyur! Para gabenormu sudah mati dan para pembesarmu tertidur untuk selama-lamanya. Rakyatmu tercerai-cerai di pergunungan, dan tiada seorang pun dapat membawa mereka pulang semula.

19Kecedaraanmu tidak dapat diubati dan luka-lukamu tidak dapat disembuhkan. Semua orang yang mendengar berita kehancuranmu bertepuk tangan kerana sukacita. Tidak seorang pun dapat menyelamatkan diri daripada kekejamanmu yang tidak henti-henti.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Nahum 3 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel