Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Ratapan 2 >> 

Hukuman TUHAN terhadap Yerusalem

1Dalam keadaan murka, Tuhan telah menyelubungi Sion dengan kegelapan. Dia mengubah keagungan Israel yang setinggi langit menjadi runtuhan. Ketika Dia murka, Rumah-Nya pun ditinggalkan.

2Tuhan memusnahkan semua kampung di Yehuda tanpa belas kasihan, Dia merobohkan kubu-kubu yang menjadi pertahanan negeri. Dia mempermalukan kerajaan serta para penguasanya.

3Dengan murka Dia memusnahkan kekuatan Israel; Dia tidak mahu menolong kita ketika musuh datang. Kemurkaan-Nya terhadap kita menyala-nyala bagaikan api menghanguskan segala sesuatu.

4Dia membidikkan panah ke arah kita seolah-olah kita ini musuh-Nya; Dia membunuh semua orang yang menjadi kesukaan dan kebanggaan kita. Di kota Yerusalem kita merasakan api kemurkaan-Nya.

5Seperti musuh, Tuhan telah membinasakan Israel; Dia memusnahkan semua kubu dan istananya. Dia menambah kedukaan penduduk Yehuda.

6Dia menghancurkan Rumah TUHAN tempat kita menyembah Dia; Dia menghapuskan semua perayaan dan hari Sabat. Raja dan imam semuanya menderita akibat kemurkaan-Nya.

7Tuhan menolak mazbah-Nya dan meninggalkan Rumah-Nya yang suci; Dia membiarkan musuh merobohkan temboknya. Musuh bersorak-sorak kerana menang di tempat kita beribadat dengan sukacita dahulu.

8TUHAN telah mengambil keputusan untuk merobohkan tembok Sion; Dia mengukur tembok itu supaya semuanya dihancurkan-Nya. Menara dan tembok kini menjadi runtuhan belaka.

9Pintu-pintu gerbang roboh ditimbun runtuhan, dan palang-palangnya patah. Raja dan para pemimpin kini di negeri pembuangan. Taurat tidak lagi diajarkan, dan para nabi tidak lagi menerima penglihatan daripada TUHAN.

10Orang tua di Yerusalem duduk membisu di atas tanah, menaruh debu di kepala dan memakai kain guni. Gadis-gadis menundukkan kepala sampai ke tanah.

11Mataku bengkak kerana menangis tanpa berhenti; jiwaku merana tidak terperi. Hatiku hancur melihat kebinasaan bangsaku, melihat kanak-kanak dan bayi pengsan di jalan kota.

12Mereka berseru kepada ibu mereka kerana lapar dan dahaga; mereka jatuh di tengah jalan seolah-olah cedera, lalu meninggal di pangkuan ibu mereka.

13Hai Yerusalem, kota Sion yang tercinta, apakah yang dapat kukatakan? Aku tidak dapat menghibur engkau. Belum pernah sesiapa pun menderita seperti engkau. Bencana sebesar samudera telah menimpamu; tiada lagi harapan bagi engkau.

14Nabi-nabimu hanya tahu berdusta; mereka menipu engkau dengan tidak menyatakan dosamu. Mereka membuat engkau berfikir bahawa engkau tidak perlu bertaubat.

15Semua orang yang lalu di kotamu menghina engkau. Mereka menggeleng-gelengkan kepala dan tertawa melihat runtuhan Yerusalem. "Inikah kota yang disebut paling indah dan menjadi kebanggaan dunia?" tanya mereka.

16Semua musuhmu mengolok-olok engkau dan memandang engkau dengan benci. Mereka mencebikkan bibir sambil menista, "Kami sudah memusnahkan engkau! Inilah hari yang kami nanti-nantikan!"

17Akhirnya TUHAN melakukan apa yang telah diancamkan-Nya; Dia membinasakan kita tanpa belas kasihan seperti yang diperingatkan-Nya kepada kita dahulu. Dia memberi musuh kita kemenangan, dan mereka bersukacita kerana kejatuhan kita.

18Hai Yerusalem, biarlah tembokmu berseru kepada Tuhan! Biarlah air matamu bercucuran seperti sungai yang mengalir siang dan malam. Teruslah menangis dan berdukalah sehingga habis tenagamu.

19Bangunlah berkali-kali sepanjang malam, dan berserulah kepada Tuhan; curahkanlah isi hatimu dan mohonlah belas kasihan untuk anak-anakmu, anak-anak yang sedang kelaparan di tiap-tiap simpang jalan.

20Pandanglah, ya TUHAN! Pandanglah mereka yang Engkau seksa! Kaum wanita makan anak-anak yang dikasihi mereka! Para imam dan nabi dibunuh di dalam Rumah TUHAN!

21Orang tua dan muda semuanya mati di jalan-jalan, pemuda dan pemudi dibunuh dengan pedang musuh. Engkau membunuh mereka tanpa belas kasihan pada hari Engkau murka.

22Engkau menjemput musuhku mengadakan pesta keganasan di sekelilingku; tiada seorang pun dapat menyelamatkan diri pada hari Engkau murka. Mereka membunuh anak-anakku yang telah aku pelihara dan kasihi.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ratapan 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel