Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Ulangan 32 >> 

1"Hai langit dan bumi, dengarlah kata-kataku, dengarlah baik-baik ucapanku.

2Ajaranku akan turun seperti air hujan, dan menjadi seperti embun di atas bumi. Perkataanku akan turun seperti hujan yang menyirami tanaman muda, dan seperti hujan rintik-rintik yang turun ke atas rerumputan.

3Aku akan memuji nama TUHAN, dan umat-Nya akan memberitakan kebesaran-Nya.

4TUHAN pembela kamu yang perkasa, Dia sempurna dan adil dalam segala perkara; Allah kamu setia, tidak ada kecurangan pada-Nya, Dia melakukan yang baik dan yang benar.

5Tetapi kamu tidak setia, dan tidak layak menjadi umat-Nya; kamu bangsa yang suka menipu dan berdosa.

6Begitukah caranya kamu memperlakukan TUHAN, hai kamu orang bodoh, dan tidak berfikiran? Dialah Bapa kamu, Pencipta kamu, Dialah yang menjadikan kamu satu bangsa.

7Ingatlah akan masa lampau, zaman dahulu kala; mintalah bapa kamu menceritakannya kepada kamu; mintalah orang tua-tua menceritakan kisah yang lalu.

8Ketika Yang Maha Tinggi membahagi tanah kepada bangsa-bangsa, Dia menentukan wilayah tempat tinggal mereka, dengan malaikat sebagai pelindung,

9tetapi keturunan Yakub dipilih oleh TUHAN untuk diri-Nya sendiri.

10Dia menjumpai mereka mengembara di padang gurun, padang pasir yang sepi dan terdedah kepada angin. Dia melindungi dan memelihara mereka sebagaimana Dia menjaga biji mata-Nya.

11Sebagaimana burung helang mengajar anaknya terbang, dan menampungnya dengan sayap yang terbentang, demikianlah TUHAN menjaga Israel supaya tidak jatuh.

12TUHAN sendiri yang memimpin umat-Nya, tanpa dibantu oleh tuhan-tuhan lain.

13Dia membolehkan mereka memerintah di gunung-gunung, mereka makan hasil tanaman di ladang-ladang. Mereka mendapat madu hutan di bukit batu; pokok zaitun mereka tumbuh subur di tanah yang berbatu.

14Lembu dan kambing mereka menghasilkan banyak susu; mereka mempunyai domba, kambing, dan lembu yang terbaik, dan juga gandum, serta wain yang terbaik.

15Umat TUHAN menjadi kaya, tetapi suka memberontak, mereka kenyang dengan makanan, dan mereka gemuk. Mereka meninggalkan Allah, Pencipta mereka, dan menolak Penyelamat mereka yang perkasa.

16Mereka menyembah berhala, dan menjadikan TUHAN cemburu, mereka melakukan kejahatan, dan menjadikan-Nya murka.

17Mereka mempersembahkan korban kepada roh-roh jahat, dan bukan kepada Allah, tuhan-tuhan baru yang tidak dikenal oleh nenek moyang mereka, dewa-dewa yang tidak pernah ditaati oleh Israel.

18Mereka lupa akan Allah, Penyelamat yang perkasa, Dia yang memberi mereka kehidupan.

19Apabila TUHAN melihat hal itu, Dia murka, anak-anak-Nya lelaki dan perempuan, ditolak oleh-Nya.

20‘Aku tidak mahu menolong mereka lagi,’ firman-Nya, ‘Aku hendak melihat apa yang akan berlaku kepada mereka, umat yang degil dan tidak setia.

21Mereka menyebabkan Aku cemburu kepada yang bukan Allah, dan murka kepada patung berhala mereka. Oleh itu Aku akan menyebabkan mereka marah terhadap yang bukan bangsa. Aku akan menyebabkan mereka cemburu terhadap bangsa yang bodoh.

22Kemurkaan-Ku akan bernyala-nyala seperti api, dan membakar segala sesuatu di atas bumi. Api itu akan turun ke dunia orang mati, dan menghanguskan akar gunung-gunung.

23Aku akan menimpakan bencana yang tidak habis-habis kepada mereka, dan membidikkan semua anak panah-Ku kepada mereka.

24Mereka akan mati kerana demam dan kelaparan; mereka akan mati kerana penyakit yang mengerikan. Aku akan mendatangkan binatang buas untuk menerkam mereka, dan ular berbisa untuk mematuk mereka.

25Peperangan akan membawa maut di jalan-jalan raya, kengerian akan menimpa orang di rumah-rumah. Orang muda, lelaki dan perempuan akan mati, bayi dan orang tua juga tidak terkecuali.

26Aku seharusnya membinasakan mereka semua, supaya tidak seorang pun ingat akan mereka.

27Tetapi Aku tidak dapat membiarkan musuh membanggakan diri, bahawa merekalah yang mengalahkan umat-Ku, sedangkan Akulah yang menghancurkan umat-Ku.’

28Israel suatu bangsa yang tidak ada pengetahuan; mereka sama sekali tidak ada kebijaksanaan.

29Mereka tidak tahu mengapa mereka dikalahkan, mereka tidak dapat memahami apa yang sudah berlaku.

30Mengapakah seribu orang dikalahkan oleh seorang, dan sepuluh ribu orang dikalahkan hanya oleh dua orang? TUHAN, Allah mereka sudah meninggalkan mereka; Allah mereka yang perkasa sudah menyerahkan mereka kepada musuh.

31Musuh Israel tahu bahawa pelindung mereka lemah, tidak perkasa seperti Allah, Pelindung Israel.

32Musuh Israel jahat seperti Sodom dan Gomora, seperti pokok anggur yang pahit dan beracun buahnya,

33seperti wain yang dibuat daripada racun ular berbisa.

34TUHAN ingat akan perbuatan musuh umat-Nya; Dia menantikan masa yang tepat untuk menghukum mereka.

35TUHAN akan membalas dendam dan menghukum mereka; masanya akan tiba apabila mereka jatuh dan binasa, hari kehancuran mereka segera tiba.

36TUHAN akan menyelamatkan umat-Nya apabila Dia melihat mereka kehabisan tenaga. Dia akan mengasihani hamba-hamba-Nya, apabila Dia melihat mereka tidak berdaya.

37Lalu TUHAN akan bertanya kepada umat-Nya, ‘Di manakah tuhan-tuhan perkasa yang kamu percayai itu?

38Kamu mempersembahkan wain dan korban terbaik kepada mereka, kamu memberi mereka minum wain. Sekarang biarlah mereka menolong kamu, biarlah mereka menyelamatkan kamu.

39Akulah satu-satunya Allah; tiada yang lain kecuali Aku. Aku mencabut nyawa, dan Aku memberikan nyawa, Aku melukai orang, dan Aku menyembuhkan orang; tidak seorang pun dapat melawan perbuatan-Ku.

40Demi Aku sendiri, Allah yang hidup, Aku mengangkat tangan dan bersumpah

41bahawa Aku akan mengasah pedang-Ku yang berkilauan, dan menegakkan keadilan. Aku akan membalas dendam terhadap musuh-Ku, dan menghukum orang yang membenci Aku.

42Anak panah-Ku akan dilumuri darah mereka, dan pedang-Ku akan membunuh semua orang yang menentang Aku. Tidak seorang pun yang melawan Aku akan hidup; bahkan orang terluka dan orang tawanan pun akan mati.’

43Hai bangsa-bangsa, pujilah umat TUHAN. TUHAN menghukum semua orang yang membunuh umat-Nya; Dia membalas dendam terhadap musuh-Nya, dan mengampunkan dosa umat-Nya."

44Musa dan Yosua anak Nun mengucapkan nyanyian itu supaya umat Israel dapat mendengarnya.

Perintah Musa yang Terakhir

45Selepas Musa menyampaikan ajaran Allah kepada umat itu,

46dia berkata, "Kamu mesti patuh kepada semua perintah yang aku berikan kepada kamu hari ini. Beritahukanlah semuanya kepada anak-anak kamu, supaya mereka taat dengan setia kepada segala ajaran Allah.

47Ajaran ini bukanlah kata-kata kosong, tetapi ajaran ini adalah nyawa kamu. Taatilah semuanya supaya kamu panjang umur di tanah di seberang Sungai Yordan, tanah yang segera akan kamu duduki."

48Pada hari itu juga TUHAN berfirman kepada Musa,

49"Pergilah ke Pergunungan Abarim di tanah Moab, yang bertentangan dengan kota Yerikho. Dakilah Gunung Nebo, dan pandanglah tanah Kanaan yang segera akan Aku berikan kepada umat Israel.

50Engkau akan meninggal di atas gunung itu seperti saudaramu Harun meninggal di atas Gunung Hor,

51kerana kamu berdua tidak setia kepada-Ku di hadapan umat Israel. Semasa engkau berada dekat mata air Meriba, yang berhampiran kota Kades di gurun Zin, engkau tidak menghormati Aku di hadapan umat Israel.

52Engkau akan memandang tanah itu dari jauh, tetapi engkau tidak akan pergi ke tanah yang akan Aku berikan kepada umat Israel."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ulangan 32 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel